PERNAH dengar iklan satu jenama biskut, “Sekejap ada, sekejap tak ada”? Iklan ini popular suatu masa dahulu di kaca TV.
Seperti iklan ini, begitulah silap mata oleh pemilk restoran atau kedai makan, juga premis perniagaan terhadap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Gambar hiasan... Laluan awam bukan tempat untuk berniaga sehingga menghalang laluan orang ramai dan menyusahkan mereka.
Penguat kuasa
DBKL terpaksa menghadapi gelagat dan karenah mereka yang meletakkan kerusi meja
atau barang perniagaan menghalang kaki lima dan laluan awam, serta ruang parkir.
Permainan mereka ibarat silap mata tiada penghujung.
Sekali penguatkuasa serbu dan sita barangan yang menghalang laluan, secepat itu pula kerusi meja diletak kembali sebaik penguat kuasa beredar. Stok kerusi meja sudah tersedia.
Perlakuan pemilik restoran dan kedai makan serta premis perniagaan ini menonjolkan sikap tidak bertanggung jawab, seperti seronok sengaja melanggar peraturan.
Bukan mereka tidak tahu kaki lima atau laluan awam tidak boleh dihalang dengan meletakkan apa-apa objek.
Laluan awam adalah untuk kemudahan orang ramai lalu lalang. Kerana itu mesti sentiasa bebas halangan.
Begitu
juga dengan kawasan parkir. Ramai pemilik premis meletak kerusi meja sehingga
memenuhi ruang parkir di hadapan premis.
Akibatnya orang ramai menghadapi masalah meletakkan kenderaan. Sejak petang mereka ‘tawan’ kawasan parkir sebaik kenderaan keluar dari parkir.

Gambar hiasan... Meletak kerusi meja di hadapan restoran mengganggu keselesaan orang ramai dan mencacatkan pemandangan.
Di premis restoran misalnya, mereka meletakkan kerusi meja sehingga keesokan pagi. Keesokan pagi itu pula hanya setelah menjelang tengah hari baharu kerusi meja dikemas simpan.
Inilah
sikap peniaga tamak dan degil, hanya memikirkan kepentingan dan kemudahan diri
sendiri. Menghalang laluan awam atau parkir bukan masalah mereka.
Bukan DBKL tidak membuat pemantauan berkala. Tetapi pemilik premis tidak takut jika barang disita.
Barang ganti ada tersedia. Tidak peduli kena bayar kompaun. Maklum untung berniaga sebanyak, bayar sedikit kompaun bukan masalah.
Kerena
itu mereka menjadikan laluan awam dan parkir hak milik peribadi. Orang ramai
pula yang terpaksa menangung beban.
Usaha DBKL bertindak terhadap pemilik premis degil memang wajar dipuji. Namun usaha mereka seperti diperlekeh oleh pemilik premis.
Sekejap kerusi meja ada, sekejap tidak ada dan sekejap ada balik.
Barang dirampas isu kecil sahaja. Boleh segera diganti. Bayar saman hanya dianggap ‘duit kecil’ kerana mereka banyak wang.

Gambar hiasan... Penguat kuasa DBKL bertindak merampas dan menyita barang niaga yang diletakkan di salah satu laluan awam di Kuala Lumpur sehingga menyusahkan orang ramai.
Pihak DBKL tentu tidak mampu untuk menjalankan pemantauan setiap hari, sepanjang waktu. Ia berdepan kekangan tenaga dan masa untuk berbuat demikian.
Kuala Lumpur bandar raya besar. Ada ratusan atau puluhan ribuan restoran dan premis makanan. Masakan DBKL mampu memantau 24 jam kerana mereka juga ada kerja lain.
Pemilik premis seharusnya mempunyai kesedaran sivik yang tinggi. Usah letak halangan sesuka hati.
Lagi pun itu mencacatkan pemandangan sekeliling sedangkan DBKL mahu mewujudkan bandar raya yang bersih dan indah.
Dalam
menangani isu ini, pihak DBKL tidak usah terlalu berlembut. Jika premis tetap
degil selepas dikompaun dan barang-barang disita, batalkan lesen niaga atau arahkan ditutup terus.
Biar ini jadi pengajaran kepada peniaga lain jangan sewenang-wenangnya melanggar undang-undang. Setiap peraturan dibuat adalah untuk kepentingan awam.
Mungkin Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu boleh meneliti masalah ini dan mengambil tindakan tuntas menyelesaikan masalah "macam biskut" ini. - KitaReporters