Insan & Komuniti 24 Sep, 2025

Jaga kebersihan pantai! Usaha YADIM, Beach Cleanup Kedah! Sukarelawan YADIM dan Rakan Siswa YADIM!

@abd razak osman
Bekas stringer Kosmo! dan mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Menulis selagi masih hidup. Emel: [email protected]

Share this

Menjaga kebersihan pantai di negara ini adalah tanggungjawab semua dan tidak sewajarnya diletakkan di bahu satu pihak sahaja.


Peserta membersihkan sampah di kawasan Pantai Tanjung Dawai, di Merbok, Kedah. 


Pada masa ini, masih ada lagi pihak tertentu bertindak membuang sampah dan lain-lain dengan sewenang-wenang setelah berada di kawasan pantai.

Atas kesedaran itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Kedah dan Perlis bergandingan dengan Beach Cleanup Kedah dan rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi membersihkan kawasan Pantai Tanjung Dawai, di Merbok, Kedah.

Mereka mengadakan aktiviti itu pada 20 September 2025 lalu.



Ia dianjurkan sempena sambutan Hari Pembersihan Sedunia 2025 dan para peserta mula melakukan kerja-kerja pembersihkan kawasan pantai itu seawal jam 7 pagi.

Urus setia program itu, Mohd Irfan Shaffik Idris berkata, kerja-kerja pembersihan menjadi mudah jika dilakukan dengan semangat prihatin dan gotong royong.

"Melalui kerja oleh peserta pelbagai latar belakang itu, terdiri 35 orang sukarelawan, termasuk Sukarelawan YADIM (SAY), Rakan Siswa YADIM (RSY) dan rakan-rakan NGO lain telah berhasil mengutip sebanyak 23 beg sampah seberat 238 kilogram," katanya.


Beberapa orang peserta bukan Melayu turut sama menjayakan program YADIM itu.


Turun padang melakukan kerja itu, termasuk Pengasas Beach Cleanup Kedah, Yap Kim Ean; Timbalan Pengerusi SAY Sungai Petani, Rosli Idris; 10 orang pimpinan RSY dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani; serta wakil-wakil komuniti tempatan.

"Semua acara disusun berjalan dengan lancar dan pihak penganjur amat berpuas hati dan merancang untuk mengadakan program di tempat  lain pula selepas ini," katanya lagi.


Kumpulan Sukarelawan YADIM (SAY) dan Rakan Siswa YADIM (RSY) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bergambar kenangan di program ini.


Menurutnya, jika sampah di kawasan pantau dibiarkan, ia boleh memberi pelbagai kesan tidak menyenangkan kepada pelancong tempatan dan dari luar.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana memberi sokongan kepada program YADIM dan kerjasama bersama dengan komuniti tempatan itu akan melahirkan golongan masyarakat lebih bertanggungjawab dan pasti memberi impak positif untuk semua. - KitaReporters

10
11
0
10
0
You will be interested