Insan & Komuniti 08 Nov, 2020

Alhamdulillah! Akhirnya sebuah masjid dapat dibuka di Athens

@sarfarizmal saad
Penulis merupakan pemimpin pelajar IPTA suatu ketika dulu. Pernah bertugas di 4 kementerian dan beberapa pasukan komunikasi strategik. Mula menulis di akhbar sejak 2009. Bekas Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan bekas Pegawai Khas YBM.

Share this

Ungkapan "Alhamdulillah, Allahu Akbar" mengiringi sepanjang hari Isnin, 2 November 2020 di ibu kota Yunani (Greece), iaitu Athens apabila masjid pertama di kota raya itu berjaya dibuka untuk umat Islam sepenuhnya, seterusnya mereka dapat melaksanakan solat Jumaat pada 6 Novermber 2020. Kenapa pembukaan masjid ini menjadi menarik? : KitaReporters



Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Eropah:

https://kitareporters.com/search?search=eropah


Ini kerana pembukaan masjid di negara Eropah ini terpaksa mengambil masa selama 14 tahun selepas pembinaannya diluluskan pihak pemerintah akibat pertikaian dan pelbagai birokrasi daripada pelbagai pihak mengenai pembinaannya.

Menurut laporan Yunani Ekathimerini yang dikeluarkan pada 3 November 2020, imam pertama masjid berkenaan ialah Zaki Mohammed berusia 49 tahun, seorang warga Greece yang berasal dari Maghribi.

Beliau akan bertanggungjawab mengimarahkan masjid baharu tersebut, di samping tanggungjawabnya untuk menyebarkan kesucian agama Islam di sekitar kota Athens.




Sebagai meraih keberkatan Ilahi, suatu majlis pembukaan masjid dan doa telah dianjurkan dalam amalan norma baharu iaitu mengekalkan penjarakan fizikal dan kehadiran jemaah pada kuantiti yang terhad.

Iringan air mata gembira para jemaah menjadi saksi bahawa masjid berkenaan telah menukarkan status yang menyedihkan sebagai satu-satunya ibu kota Kesatuan Eropah tanpa masjid.

Setiausaha Kerajaan Agama di Greece, Giorgos Kalantzis, mengatakan pembukaan masjid itu menjadi simbolik baharu kepada amalan demokrasi, kebebasan beragama dan menghormati kepercayaan masing-masing.



Bagi mereka yang masih belum tahu, pembinaan masjid tersebut telah mendapat tentangan amat keras dan hebat daripada Gereja Ortodoks Yunani sejak tahun 1979. 

Walaupun telah diluluskan pihak kerajaan, amalan birokrasi telah menyebabkan pembinaan masjid tersebut terus lambat walaupun izin telah diberikan pada tahun 2006. 

Malah masjid ini dilaporkan sebagai yang pertama dapat dibuka di Athens selepas tempoh 100 tahun.



Keputusan untuk membangun sebuah masjid di Athena pertama kali dibuat pada tahun 2006, dengan anggaran AS$1.04 juta (lebih kurang RM4.33 juta), tertangguh kerana rintangan birokrasi, protes daripada kelompok sayap kanan dan halangan undang-undang menghentikan proses tersebut.

Pada 2017, seorang mufti dari Kota Komotini (Gumulcine) di Thrace Barat, Ibrahim Serif mendedahkan kepada umum bahawa setengah juta umat Islam di bandar itu harus menggunakan ruang bawah tanah yang kotor dan lokasi yang tidak bersih untuk menunaikan solat setiap hari. Nampaknya, Muslim menjadi masyarakat minoriti dan ditindas di Greece. 



Untuk rekod, majoriti penduduk Greece, 97 peratus, adalah berpegang kepada kepercayaan Kristian Ortodoks.

Namun, terdapat puluhan ribu pekerja serta pelarian Muslim yang telah lama menetap di kota-kota negara Yunani itu terutama di kawasan Greece hingga Turki.

Turki telah lama mengecam pelanggaran hak-hak minoriti Turki dan Muslim oleh Greece, daripada tindakan mereka menutup masjid dan membiarkan masjid bersejarah dirosakkan, hinggalah usaha menafikan pemilihan umat Islam terhadap mufti sendiri. 

“Langkah-langkah ini melanggar Perjanjian Lausanne pada tahun 1923 dan juga keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR),” kata satu sumber dari Turki. - KitaReporters


2
0
0
0
0
You will be interested