Insan & Komuniti 03 Aug, 2021

Sukarelawan hampir pengsan pakai PPE! Tapi tak serik! Mahu terus tabur bakti santuni penduduk!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dalam keadaan cuaca panas terik begitu mencabar sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Makmur Negeri Johor (PKMNJ). 


Salah seorang sukarelawan PKMJ membuat semakan nama penduduk semasa program Ujian Saringan Bersasar Covid-19 di Tenang Stesen, Labis, Johor.


Pengalaman pitam dan hampir pengsan ketika pertama kali memakai peralatan perlindungan diri (PPE) tidak mematahkan semangat seorang sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Makmur Negeri Johor (PKMNJ) untuk terus mencurah bakti membantu pelbagai pihak memerangi Covid-19.

Mohd. Rassid Jumat ketika berkongsi pengalaman pertama kali mengenakan PPE berkata, hanya tuhan sahaja yang tahu betapa seksanya memakai PPE, selain panas, perasaan cemas terdedah dijangkiti juga tidak mudah dikikis ketika itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PKMNJ

Mohd.Rassid Jumat berehat melepaskan lelah ketika terlibat sebagai sukarelawan program Ujian Saringan Bersasar Covid-19 Tanang Stesen, Labis, Johor.


“Apa yang boleh saya katakan pengalaman memakai PPE sesuatu yang begitu mencabar, namun sukar dilupakan dan menjadi pembakar semangat untuk saya dan rakan-rakan lain untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat terutama dalam usaha menyantuni golongan terkesan Covid-19.

“Ketika itu saya terpaksa “berkurung” selama lima jam di dalam PPE dalam keadaan panas terik dan tidak seinci pun pakaian saya yang tidak basah disimbah peluh. Saya seperti dimandikan dan hampir pengsan kepanasan,” katanya menceritakan pengalaman pertama kali memakai PPE.

Namun itu katanya pengalaman pertama kali memakai PPE sewaktu terlibat dengan program Ujian Saringan Bersasar penduduk di beberapa taman perumahan di sekitar Tenang Stesen, Labis bagi membantu kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Segamat hujung bulan Julai 2021.



Biarpun sebenarnya keletihan dan kepanasan memakai PPE, namun sukarelawan PKMNJ tetap ceria ketika mengedarkan barangan makanan ke rumah penduduk terjejas Covid-19.


Cabaran tersebut turut dirasakan oleh tiga lagi rakannya Abdul Halim Hassan, Abdul Hadi Nur Iman Azmee dan Fahrul Mukhriz Roslan yang sama-sama terlibat sebagai sukarelawan program tersebut yang melibatkan lebih 200 penduduk.

Selain program tersebut, Rassid bersama rakan-rakan sukarelawan turut terpaksa memakai PPE ketika menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang menjalani kuarantin di rumah masing-masing selepas disahkan dijangkiti Covid-19.


Sukarelawan PKMNJ yang memakai PPE lengkap ketika mengedarkan bekalan makanan kepada penduduk yang menjalani kuarintin.


Menurutnya, cabaran memakai PPE ketika melakukan kerja-kerja sanitasi serta menghantar bekalan makanan ke rumah penduduk dijangkiti Covid-19 tidaklah sesukar ketika pertama kali kerana aktiviti tersebut selalunya dilakukan pada waktu petang atau malam di mana cuaca ketika itu tidak begitu panas.

Dia yang juga Ahli Majlis Zon Tenang Stesen dalam masa sama turut menyeru agar setiap anggota masyarakat di sini agar dapat sama-sama memainkan peranan untuk membantu usaha pihak berkuasa memutuskan rantaian kes Covid-19 yang semakin meningkat di kawasan ini sejak kebelakangan ini.

“Jika petugas barisan hadapan keselamatan boleh berkorban berpanas dan berhujan ketika melakukan sekatan jalan raya (SJR) dan petugas kesihatan yang keletihan kerana sudah lebih setahun tidak mendapat rehat mencukupi, maka kenapa kita tidak boleh berkorban demi kepentingan bersama.

“Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab melawan Covid-19 kepada kerajaan sahaja, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab semua daripada kita walaupun sekecil mana peranan yang dimainkan. Jika tidak mampu tidak mampu memainkan peranan lebih besar, mematuhi SOP pun sudah mencukupi,” katanya. - KitaReporters


Sukarelawan PKMNJ terpaksa menghantar bekalan makanan ke rumah penduduk pada waktu malam bagi mengelakkan "terseksa" kepanasan memakai PPE.

6
0
0
0
0
You will be interested