GAMBAR HIASAN... Lantaran hari-hari bertengkar dengan isteri kerana isteri malas mandi, lelaki di Aligarh tekad mahu menceraikan isteri.
ADA pelbagai sebab dan alasan untuk pasangan suami isteri mengakhiri ikatan perkahwinan sehingga bahtera kehidupan yang dikongsi terdampar di tepian. Antara puncanya sudah tidak ada kesefahaman, tidak mendapat anak, curang atau bermain kayu tiga dan macam-macam lagi.
Namun bagi sepasang suami isteri beragama Islam di Aligarh, Uttar Pradesh, India, punca keretakan rumah tangga mereka dianggap remeh, malah lucu pun ada. Ini kerana suami mahu menceraikan isterinya lantaran isterinya malas mandi setiap hari.
Memetik laporan indiatimes, pasangan tersebut bertengkar setiap hari kerana apabila si suami menyuruh isterinya mandi dia enggan.
Akibat pertengkaran setiap hari, suami lama kelamaan menjadi bosan, tidak tahan dan marah dengan isu yang berlarutan itu. Kerana itu dia nekad mahu menceraikan isterinya dengan talak tiga.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perceraian
PEMANDANGAN sebahagian bandar Aligarh, Uttar Pradesh di India, 140 kilometer dari New Delhi. Kira-kira 43 peratus penduduk Aligarh beragama Islam. - Kredit foto: jargan.com
Nama pasangan berkenaan bagaimana pun tidak dinyatakan. Dilaporkan si suami berasal dari desa Chandaus dan isteri dari desa Kwarsi. Mereka telah dua tahun berkahwin dan mempunyai seorang anak berumur setahun.
Kisah suami
isteri ini terbongkar apabila wanita berkenaan memfailkan aduan bertulis kepada Bahagian Perlindungan Wanita (Women Protection Cell atau WPC) Aligarh menyatakan
suaminya telah menceraikannya dengan talak tiga dengan alasan dia (isteri) malas mandi.
Dia
memfailkan aduan tersebut untuk menyelamatkan rumah tangganya. Pihak WPC kemudian
memanggil kedua-dua suami isteri itu
untuk sesi kaunseling.
Dalam sesi
berkenaan, wanita itu menyatakan dia mahu menyelamatkan rumah tangganya dan tidak
mahu bercerai. Dia mahu terus bersama suami dan menjalani hidup bahagia
bersama.
Suami bagaimanapun tegas dengan keputusan mahu menceraikan isteri dan berkali-kali menyatakan dia tidak mahu lagi hidup bersamanya kerana malas mandi. Malah dia mengemukakan permohonan meminta bantuan WPC bagi membolehkan perceraian dilaksanakan.
Masjid Jamek Aligarh, Uttar Pradesh. - Kredit foto: Pinterest
Pihak WPC
masih berusaha memujuk lelaki berkenaan membatalkan hasratnya kerana alasan perceraian yang diberi adalah
isu kecil yang boleh diselesaikan. Turut diberi kaunseling ialah ibu bapa
pasangan tersebut.
Kaunselor
di WPC juga menasihati lelaki itu, jika sampai berlaku perceraian ia akan
menjejaskan proses penjagaan dan pembesaran anak mereka sehingga mendatangkan
masalah terhadap masa depan anak itu.
Pihak WPC masih memberi masa kepada pasangan itu untuk memikirkan dengan mendalam bagi menyelamatkan perkahwinan mereka. Namun tidak diketahui sama ada usaha ini boleh berjaya kerana si suami memang nekad mahu berpisah. - KitaReporters