Sebagai simbolik penyerahan komputer riba oleh Dr Ahmad Shahir Makhtar (dua dari kiri) yang disumbangkan kepada anak-anak yatim cemerlang di rumah -rumah anak yatim seliaan YIDE yang diadakan di Shah Alam, Selangor. - Kredit foto: MAIS dan MBSJ.
SEKALIPUN serba kekurangan namun anak-anak yatim masih mampu untuk berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran. Dengan berbekalkan semangat jitu dan keinginan untuk berjaya sudah tentulah tidak akan mematahkan impian mereka untuk mengapai kejayaan.
Biarpun menghadapi berbagai-bagai halangan yang mampu mematahkan semangat dan impian tetapi dengan kecekalan serta keinginan untuk terus merangkul kejayaan pastinya hasrat tersebut akan dapat dicapai.
Melalui kegigihan dan semangat kuat memperolehi kejayaan dengan mengharung pelbagai suka duka akhirnya 19 anak-anak yatim yang cemerlang dalam bidang pelajaran diberikan penghargaan begitu bernilai buat mereka bakal disimpan dalam memori masa depan.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan anak yatim:
https://kitareporters.com/search?search=anak+yatim
Dr Ahmad Shahir Makhtar (kiri) menyumbangkan komputer riba kepada salah seorang anak yatim cemerlang dalam bidang pelajaran.
Mereka merupakan anak-anak yatim di bawah seliaan agensi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) iaitu Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dihadiahkan sebuah komputer riba setiap seorang sebagai menghargai pengorbanan mereka hingga memperolehi kejayaan cemerlang dalam bidang pelajaran.
Sehubungan itu, MAIS menyalurkan dana sejumlah RM38,000 melalui peruntukan Baitulmal bagi pembelian 19 buah komputer riba akan diberikan kepada anak-anak yatim berkenaan dalam masa terdekat.
Sumbangan bantuan MAIS selain sebagai menghargai pengorbanan anak-anak yatim berkenaan juga sebagai suntikan motivasi untuk mereka berusaha lebih gigih dibidang pelajaran.
Terima kasihn MAIS yang memberikan penghargaan buat anak-anak yatim berkenaan bagi mengalakkan rakan-rakan lain khususnya peringkat adik-adik mencontohi untuk sama-sama berjaya dengan cemerlang.
Malahan menurut Setiausaha MAIS Dr Ahmad Shahir Makhtar ia juga bertujuan membantu anak-anak yatim yang terpilih menerima sumbangan tersebut mengadaptasi norma baharu sesi pengajian melalui dalam talian dan pengajaran luar kampus.
Majlis penyampaian replika cek dan komputer riba yang diadakan di Shah Alam pada Selasa, 10 Februari 2021 disampaikan oleh Dr Ahmad Shahir kepada Pengurus Operasi YIDE Md Ariffin Jaafar.
Pengetua Rumah Anak Anak Yatim Kasih Harmoni, Jalaluddin Wahab mengucapkan terima kasih atas inisiatif MAIS menyumbang komputer riba kepada anak-anak yatim di bawah seliaannya.
Katanya, semoga pemberian komputer riba kepada anak-anak yatim yang mengikuti pengajian di pusat tinggi pengajian awam dan swasta akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu kejayaan mereka pada masa hadapan.
Jalaluddin Wahab (kanan) bersama salah seorang pelajar cemerlang dari rumah anak-anak yatim seliaan YIDE pada majlis sumbangan komputer riba di Shah Alam, Selangor.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melalui Tabung Amalnya menyumbang tiga buah kumputer riba kepada tiga orang pelajar cemerlang melalui Program Pangsapuri dan Kampung Angkat Komuniti Berdaya MBSJ yang disampaikan oleh Datuk Bandar, Noraini Roslan di pejabatnya di Subang jaya.
Pelajar terpilih adalah Nur Zakiah Evanis Mohd Noor, penuntut Diploma Perakaunan, Politeknik Melaka dari Pangsapuri Sri Tanjung; Ilham Norizan, penuntut Tingkatan 6 Kolej Shah Alam dari Pangsapuri Sri tanjung 16, Subang Jaya; dan Nur Ainul Mardiah Roslin, penuntut Sains Pentadbiran UiTM Kampus Raub, Pahang. - KitaReporters
Noraini Roslan (tiga dari kanan) bersama tiga pelajar cemerlang di bawah Program Pangsapuri dan Kampung Angkat Komuniti Berdaya MBSJ selepas majlis penyerahan komputer riba di pejabatnya di Subang Jaya, Selangor.