Insan & Komuniti 03 Jun, 2020

Puding buih: Mangsa pertama meninggal dunia! Wanita 25 tahun

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Seorang wanita berumur 25 tahun dari Marang, Terengganu menjadi mangsa pertama meninggal dunia akibat keracunan puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei 2020. Mangsa menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.40 pagi Rabu, 3 Jun 2020 selepas menerima rawatan selama 10 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). : KitaReporters

Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu


Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus, ketika mengesahkan perkara itu berkata kematian wanita berkenaan dipercayai berpunca daripada kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis. Difahamkan beberapa ahli keluarganya turut dirawat di HSNZ kerana mengalami keracunan makanan yang sama.

Sebelum ini, mangsa dimasukkan di wad HSNZ pada 24 Mei 2020 sebelum dipindahkan di ICU dan disahkan meninggal dunia disebabkan kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis.


Dalam hantatannya yang terkini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa keracunan yang meninggal dunia dan berharap akan tabah dengan kehilangan itu. 

"Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini dan semua peniaga diharapkan dapat mematuhi SOP perniagaan makanan oleh Jabatan Kesihatan Negeri bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang," tegasnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak yang dimaklumkan mengenai kes kematian itu turut menziarah mangsa di HSNZ.

Katanya, siasatan terperinci dan tindakan lanjut telah dikenakan ke atas peniaga puding buih berkenaan.

“Bagi pihak kerajaan negeri kami bersimpati dengan tragedi terbabit dan kita harap mereka tabah dan sabar,” katanya.

Dr Alias Razak (tengah berketayap) turut melawat mangsa di HSNZ Kuala Terengganu


Katanya,  orang ramai terutama peniaga dan pengendali makanan dinasihatkan agar lebih berhati-hati kerana ia melibatkan keselamatan dan boleh mengancam nyawa.

Beliau berkata, kerajaan juga telah merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada peniaga yang menjual makanan dari rumah supaya lebih menitikberatkan aspek kebersihan kerana ia membabitkan nyawa.

“Walaupun ia merupakan kes yang berisiko kepada sesiapa sahaja, ia juga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya lagi.

Puding buih yang menjadi kegemaran. - Gambar hiasan


Minggu lalu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara dalam talian. 

Jumlah itu membabitkan 20 keluarga berlainan, 77 pesakit dari Kuala Terengganu, manakala 22 lagi dari daerah Marang.

“Mangsa-mangsa lain yang juga dirawat akibat keracunan puding buih telah beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat-peringkat,” katanya. - KitaReporters

2
4
30
0
2
You will be interested