Insan & Komuniti 10 Mar, 2024

Syabas Surau Platinum Al-Mawaddah, Shah Alam! Bantu pusat jagaan dan rumah kebajikan warga emas!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


SURAU Platinum Al-Mawaddah di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor akan terus mengaktifkan Dana Food Bank dalam usaha menyantuni serta membantu golongan yang memerlukan bantuan khusus barangan makanan keperluan asas harian.

Dana Food Bank yang diwujudkan sejak beberapa tahun lalu sentiasa menerima sumbangan daripada dermawan yang menetap di kawasan berkenaan apabila sentiasa bermurah hati dalam bersedekah di samping jemaah datang bersolat di surau itu termasuk ketika menunaikan solat Jumaat.

Pengerusinya, Prof Madya Muhammad Yusoff, berkata sebuah syarikat korporat pula turut menyumbang atau menginfak pelbagai barangan makanan keperluan asas kepada dana berkenaan pada setiap bulan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan bantuan bagi meneruskan kehidupan.


Azman Rasman (kanan) menerima sumbangan daripada Prof Madya Muhammad Yusoff.


Menurutnya, dengan sumbangan setiap bulan itu pihak jawatankuasa surau sentiasa mengemas kini serta menyusun atur program turun padang bagi menghulurkan sumbangan sebagaimana diamanahkan oleh mereka yang menginfak.

Tambahnya, program menyalurkan sumbangan itu akan diperluas lagi kepada rumah kebajikan atau pusat jagaan warga emas serta anak yatim kerana mereka juga memerlukan bantuan terutama apabila terpaksa menanggung kos perbelanjaan bahan mentah dan makanan yang semakin meningkat. 

“Jika sebelum ini kami banyak menyantuni dalam kalangan golongan asnaf, keluarga fakir miskin dan maahad tahfiz tetapi mulai tahun 2024 jawatankuasa bersetuju untuk lebih menyeluruh sumbangan berkenaan disalurkan supaya tiada yang terlepas pandang,” katanya ketika ditemui pada Program Lawatan Ramah Mesra/Menyantuni Warga Emas dan Penyampaian Sumbangan kepada Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor, pada 6 Mac 2024.

Program lawatan itu turut disertai ahli Perkumpulan Orang Pencen (POP) surau berkenaan yang diketuai mudirnya, Mohd Som di samping turut hadir Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, Mohiadin Bahado; dan Setiausaha serta Pengurus PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin dan Sazali Mohiden. 

Pada program itu, surau berkenaan menyumbangkan beras, minyak masak dan bantuan kepada PJMM dan PJNH. 


Prof Madya Muhammad (tengah) bersama ahli POP dan pengurusan PJMM menunjukkan sumbangan Dana Food Bank oleh Surau Platinum Al-Mawaddah, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.


Prof Madya Muhammad berkata, sebelum itu beberapa ahli jawatankuasa surau berkenaan sudah mengunjungi PJMM pada akhir Januari 2024 lalu bagi melihat sendiri mengenai pengurusan pusat jagaan berkenaan dan dimaklumkan mereka amat memerlukan sumbangan barangan makanan keperluan asas serta kewangan bagi menampung kos pengurusan.

Katanya, daripada maklumat yang dikumpul oleh ahli jawatankuasa surau itu membuat keputusan untuk mengadakan lawatan semula bagi menyalurkan sumbangan berkenaan selain membuka minda semua untuk turut membantu pusat jagaan seperti PJMM dan juga rumah kebajikan lain.

Menurutnya, bagaimanapun kepada mereka yang memerlukan bantuan boleh datang ke surau bagi mendapatkan barangan makanan keperluas asas itu dengan berjumpa pihak pengurusan atau ahli jawatankuasa.

Jelasnya, dalam perkara itu pihak surau juga terpaksa berwaspada bagi mengelak daripada ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kerana ada kes yang datang meminta bantuan semata-mata memerlukan kewangan dengan pelbagai alasan dan bukannya barangan makanan keperluan asas. 

“Apabila pihak ahli jawatankuasa menyelidiki bagi mendapat kebenaran terlebih dahulu alasan yang diberikan itu tidak benar, semata-mata teknik bagi mengaburi mata kami untuk menipu bagi meraih simpati,” ujarnya. 


Azman memberi taklimat ringkas mengenai pengurusan warga emas serta kemudahan yang dilengkapi di PJMM.


Sementara itu, warga emas yang mendiami PJNH disarankan supaya beristiqamah untuk turut serta berpuasa pada bulan Ramadan walaupun tidak penuh bagi sehari sebagai menunaikan tanggungjawab seorang Islam.

Penceramah bebas, Ustaz Syahrul Nizam Talib, berkata bagaimanapun mereka tidak perlu memaksakan diri jika menghadapi masalah kesihatan yang mungkin boleh memudaratkan apabila terpaksa bergantung kepada ubat kerana keuzuran dan sebagainya. 

Jelasnya, bagi mereka yang sihat hendaklah mengambil kesempatan sepanjang bulan mulia itu untuk meningkatkan amal ibadat seperti menunaikan banyak amalan sunat dengan membaca al-Quran, solat tarawih di samping tidak meninggalkan solat berjemaah di surau.


Ustaz Syahrul Nizam Talib beramah mesra dan bersalaman dengan warga emas selepas selesai menyampaikan ceramah.


“Saya kagum dengan PJNH ini yang sememangnya menyediakan guru agama dan ustaz untuk mengetuai solat berjemaah di surau termasuk sepanjang bulan Ramadan yang akan membuka peluang kepada warga emas bermuhasabah serta mentaati perintah Allah SWT walaupun disisihkan oleh ahli keluarga.

“Walaupun dalam usia lanjut kita tidak perlu lagi melihat kehidupan masa lalu sebaliknya sentiasa memperbaiki diri dan meningkatkan amalan supaya menjadi insan terbaik sebelum dijemput ‘pulang’,” katanya dalam ceramah program Sambutan Pada Ambang Ramadan 2024 PJNH di pusat jagaan berkenaan pada 9 Mac 2024.

Program itu dihadiri 21 warga emas penghuni PJNH, ahli Kelab Sukarelawan Hospital Kajang, Selangor dan Kelab Sukarelawan Mahmudah Malaysia. - KitaReporters


Mohd Redza (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Syahrul Nizam sambil diperhatikan oleh Mohiadin Bahado.

16
14
0
11
0
You will be interested