Oleh: MUHAMMAD FATKHURROZAK SOKHIPUL HADI
Pengetua, Saridah Abdul Majid bersama barisan pendidik SMK Kota Masai baru-baru ini meraikan bakal haji dalam kalangan guru dan menyempurnakan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 214 orang pelajar yang terpilih.
Majlis berkenaan diadakan sempena Majlis Penutupan Ihya Ramadan yang berlangsung di Sanggar Ilmu Haji Jamaluddin dan Dewan Sari Bestari SMK Kota Masai di Pasir Gudang.
Tidak hanya itu, Majlis Khatam al-Quran dan Iftar Jamaie juga disambut meriah dengan penglibatan keseluruhan guru, murid dan wakil PIBG yang mewarnai Ramadan dengan kebersamaan.
“Kami sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan guru-guru yang bakal menunaikan haji supaya ibadah yang dijalankan berjalan lancar dan mendapat haji yang mabrur,” katanya.
Ramadan adalah bulan keberkatan di mana segala kebaikan yang dibuat akan memperoleh ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.
Kebersamaan yang dijalin serta ikatan ukhwah yang dijaga menjadi salah satu sifat mahmudah yang membawa kepada asbab kebaikan yang akan memberi banyak manfaat buat diri dan masyarakat.
Sifat saling berkongsi antara sesama masyarakat pastinya akan menjadi amalan mulia dan sebagai pendidik, pembentukan nilai ini akan ditiru oleh para pelajar, sekali gus membangun suasana harmoni dalam kalangan warga sekolah. - KitaReporters