Sudah menjadi lumrah, menjelang Ramadan al-mubarak setiap ceruk kampung dan desa mahupun pekan dan kota sudah pasti turun padang membersihkan kawasan surau, masjid mahupun kediaman penduduk.


Kesempatan ini turut diambil oleh golongan tua dan muda mahupun kanak-kanak dan remaja Blok A, Desa Cemara, Persiaran Sembilang, Seberang Jaya untuk turun padang beramai-ramai mencantas pokok-pokok besar dan berbahaya serta membersihkan kawasan sekitar pada 8 Februari 2026 lalu.
Malah bagi yang kecil dan ibu-ibu pula, mereka pun tidak mahu ketinggalan melepaskan ganjaran peluang dan ganjaran pahala menjelangnya bulan yang penuh keberkatan Ramadan Al-Mubarak tahun ini (2026).


Bagi pengerusi persatuan penduduk Blok A, Desa Cemara, Akbar Khan Abdul Hamid, inisiatif ini sudah menjadi rutin setiap tahun dan mampu mengeratkan hubungan antara penduduk setempat dan harus diteladani semua golongan masyarakat.

Sementara itu, 40 pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di Kuantan, Pahang menzahirkan keringat untuk meraih ganjaran menjelang Ramadan dengan menyertai Gotong-Royong Perdana Pengakap yang diadakan di Surau Fatimah Az-Zahra Polisas pada 4 Februari 2026 lalu.
Malah aktiviti ini merupakan salah satu program amal dan persediaan surau bagi menyambut kehadiran bulan puasa yang begitu hampir tidak berapa lama lagi.

Bagi mempercepat proses gotong-royong dan pembersihan para peserta dibahagikan setiap tugas agar ia tidak bertindih.
Ini termasuklah mencuci tandas, longkang lantai, tingkap serta kawasan sekitar agar ia lebih kelihatan ceria dan bersih.


Adalah diyakini melalui program sebegini ia bukan sahaja mampu membina jati diri pelajar sebaliknya mendidik mereka untuk terus bersedia meraih ganjaran daripada Allah SWT menjelang Ramadan Al-Mubarak. - KitaReporters
