Warisan budaya dan seni tradisi merupakan nadi identiti bangsa yang perlu terus dipelihara agar tidak hilang ditelan arus moden.


Semangat inilah yang menjadi tunjang penganjuran Festival Seni Warisan Anak Madani 2025, yang berlangsung penuh meriah di Sekolah Kebangsaan (SK) La Salle, Brickfields pada 11-12 Oktober 2025.
Dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Sinaran Matahari (PKSM) Kuala Lumpur/Selangor dengan sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), festival selama dua hari itu menjadi platform bagi memperkukuh kecintaan terhadap seni, budaya, dan warisan bangsa dalam kalangan generasi muda.

Menurut Suraya Abdul Rahman, Ketua Publisiti dan Program PKSM (gambar atas, tengah) festival ini yang menelan belanja lebih kurang RM40,000 diadakan bagi menyemai kesedaran tentang kepentingan memahami, menghargai, dan memelihara warisan budaya yang menjadi akar perpaduan rakyat Malaysia.
“Kami percaya bahawa pendedahan awal terhadap seni dan warisan dapat membentuk anak-anak yang berjiwa bangsa, berdisiplin serta menghargai kepelbagaian budaya negara,” kata Suraya ketika ditemui pada majlis penutup Festival. Seni Warisan Anak MADANI 2025 yang disempurnakan oleh Datuk Rajah Symon, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan (gambar bawah, tengah) pada. 12 Oktober 2025.

Turut hadir Pengerusi PKSM, Pallani Al Saviarapan (tiga dari kanan), Setiausahanya Rebecca George (kanan), dan Bendahari PKSM, Suraya Abdul Rahman (dua dari kanan).
Festival yang meneruskan kejayaan Festival Seni Warisan India 2023 ini turut menampilkan pelbagai aktiviti dan persembahan berasaskan seni serta warisan tempatan.
"Misi utama kami adalah memastikan anak-anak generasi baharu mengenali dan menghargai sistem budaya serta warisan bangsa-bangsa yang ada di Malaysia. Kita mahu mereka faham bahawa setiap budaya itu penting dan menjadi sebahagian daripada identiti negara," tambah Suraya.


Antara tarikan utama ialah persembahan silat oleh Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia, demonstrasi Wushu Taijiquan oleh Persatuan Dong Bei Bei, persembahan seni pertahan diri India, Silambam, tarian oleh Artis-artis Cilik Setiawangsa, dan persembahan penuh bertenaga daripada MJ Dance Troupe.
Pihak PKSM turut menzahirkan penghargaan kepada MOTAC dan Unit GSKK atas sokongan berterusan dalam menjayakan inisiatif seni dan kebudayaan komuniti.

Sementara itu, Rajah Symon ketika ditemui media menyambut baik usaha yang dianjurkan oleh PKSM dalam memelihara dan memperkukuh warisan, sekali gus mengeratkan hubungan komuniti dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum.
“Saya sarankan PSKM menganjurkan sebuah program di Dataran Merdeka berkonsepkan festival makanan tradisional.
'"Dalam program ini kita boleh mempersembah pelbagai jenis kuih muih dan hidangan tradisional yang disediakan oleh masyaarat Melayu, Cina dan India secara langsung.” ujar Rajah.
Menurutnya, dengan cara itu, pelancong yang hadir bukan sahaja dapat merasai keenakan makanan tradisional tetapi juga mengenali kepelbagaian budaya Malaysia dengan lebih dekat.

“Program ini bukan sekadar acara sosial tetapi satu usaha memartabatkan warisan dan memperkukuh perpaduan masyarakat.
"Kita mahu jadikan ia pesta rakyat yang hidup, penuh kreativiti, kemeriahan serta makanan tradisional yang menyatukan semua lapisan masyarakat.” tambah Rajah.
Majlis diakhiri dengan penyerahan siil dan cenderhati kepada semua yang terlibat, malah PKSM komited untuk terus menjadi jambatan antara masyarakat kebajikan dan budaya, ke arah pembentukan Malaysia Madani yang sejahtera, harmoni dan berbudaya tinggi. - KitaReporters
