Insiden yang dikenali sebagai “Parti Yeye” di sebuah pangkalan tentera, walaupun melibatkan segelintir anggota, tidak boleh dipandang ringan.
Ia merupakan satu isyarat amaran serius terhadap tahap disiplin, nilai, dan budaya dalam institusi yang sepatutnya menjadi benteng terakhir pertahanan negara.

Angkatan tentera bukan sekadar sebuah organisasi pekerjaan. Ia adalah institusi amanah negara, dibina atas disiplin tinggi, kawalan diri, integriti moral, dan kesetiaan mutlak kepada perlembagaan serta kedaulatan negara.
Sebarang tingkah laku yang mencemarkan nilai ini, apatah lagi berlaku dalam kawasan pengkalan tentera, mencerminkan kerapuhan budaya dan kegagalan kawalan dalaman yang perlu ditangani dengan segera.
Perlu ditegaskan bahawa isu ini bukan soal hiburan semata-mata. Ia adalah soal keselamatan, profesionalisme, dan imej angkatan tentera.
Aktiviti tidak bermoral, tidak berdisiplin, atau bertentangan dengan etika ketenteraan membuka ruang kepada:
- kelonggaran kawalan keselamatan
- penyalahgunaan kuasa dan kemudahan
- pengaruh budaya songsang dan hedonisme
- manipulasi dan kompromi oleh pihak luar

Dalam konteks ancaman moden, kelemahan nilai adalah lebih berbahaya daripada kelemahan senjata.
Hakikat bahawa hanya segelintir anggota terlibat tidak mengurangkan tahap keseriusan isu ini. Dalam sistem pertahanan, satu kelonggaran kecil boleh membawa implikasi besar.
Sejarah ketenteraan dunia membuktikan bahawa keruntuhan institusi sering bermula dengan pengabaian disiplin dan normalisasi pelanggaran kecil yang dibiarkan tanpa tindakan tegas.
Insiden ini juga mencerminkan cabaran budaya yang lebih luas.
Pengaruh hiburan tidak terkawal, normalisasi tingkah laku melampau, dan kelonggaran nilai dalam masyarakat turut meresap ke dalam institusi beruniform jika tidak dibendung dengan sistem nilai yang kukuh. Angkatan tentera tidak kebal daripada arus ini.
Oleh itu, tindakan yang perlu diambil bukan sekadar menghukum individu terlibat, tetapi membaiki ekosistem nilai secara menyeluruh, antaranya:
- siasatan menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana mana pihak
- tindakan disiplin tegas sebagai pengajaran dan pencegahan
- pengukuhan pendidikan nilai, etika dan disiplin ketenteraan
- pemantauan berterusan terhadap budaya dalaman pengkalan
- kepimpinan yang jelas, berani, dan tidak berkompromi terhadap pelanggaran nilai

Lebih penting, kepimpinan tertinggi angkatan tentera mesti menjadikan isu ini sebagai titik muhasabah institusi, bukan sekadar episod terpencil.
Disiplin tidak boleh bermusim. Nilai tidak boleh bersifat kosmetik.
Rakyat menaruh kepercayaan kepada angkatan tentera sebagai penjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Kepercayaan ini hanya dapat dipertahan jika angkatan tentera konsisten menegakkan disiplin tinggi dan budaya berintegriti, tanpa toleransi terhadap tingkah laku yang mencemarkan maruah pasukan.
Insiden “Parti Yeye” mesti menjadi pengajaran keras.
Ia adalah peringatan bahawa pertahanan negara bukan sahaja tentang kekuatan fizikal, tetapi kekuatan nilai. Apabila nilai rapuh, keselamatan turut terdedah.
Membendung isu ini adalah tanggungjawab bersama kepimpinan, anggota, dan negara. Kegagalan bertindak tegas hari ini akan membuka ruang kepada krisis yang lebih besar pada masa hadapan.
Mohd Azmi Abdul Hamid, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
