Insan & Komuniti 17 Dec, 2025

Video| Demimu Medina! Dr Akmal serahkan RM120k! Simpanan untuk tunaikan haji! Agar cepatkan pembedahan!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Hukum mengerjakan haji adalah wajib (fardu) bagi setiap Muslim yang berkemampuan (dari segi kewangan, fizikal, dan masa) sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. 

Namun jika ada keperluan yang lebih mendesak, mengerjakan haji boleh ditangguhkan ke tahun-tahun berikutnya.




Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, 37, melakukan satu pengorbanan besar dengan menangguhkan keputusan menunai ibadah haji demi memberi sinar hidup baharu kepada seorang kanak-kanak. 

Dr Akmal sudah memperuntuk simpanan RM120,000 untuk dia dan isteri bagi menunai ibadah haji akan datang secara pakej.  
Namun hati Dr Akmal, yang juga seorang doktor perubatan, cukup tersentuh dengan penderitaan Nur Asyura Medina Muhammad Ikmal Haziq, 2 tahun 4 bulan,  yang menderita penyakit hati tersumbat atau disebut biliary atresia sejak lahir.



Pihak keluarga tidak mempunyai cukup wang untuk menjalani pemindahan hati di sebuah hospital di Shanghai, China yang memerlukan kos kira-kira RM180,000. 

Kutipan sumbangan sudah dijalankan sejak November 2025, namun jumlahnya masih jauh dari mencukupi sedangkan pembedahan perlu segera dilakukan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Dr Akmal dalam laman medianya, dia dan isteri Dr. Fatin Nadhirah Idrus menziarahi rumah Muhammad Ikmal Haziq Mazlan di Kampung Serkam Tengah, Jasin, Melaka, pada Rabu, 10 Disember 2025 untuk menyerahkan sumbangan sebanyak RM120,000 hasil wang simpanannya bagi memastikan Medina dapat menjalani pemindahan hati segera.


"Kalau kita nak bagi sesuatu kepada orang, bagi benda yang paling kita sayang, saya memang nak sangat pergi haji tapi tak mengapa. Tahun ni kita tak pergi haji tapi yang penting Medina dapat rawatan," kata Dr Akmal.
Dalam nada sebak, Dr Akmal menjelaskan bahawa dia tidak sanggup melihat keadaan Medina yang semakin merosot dari hari ke hari.


"Nyawa dia bergantung kepada masa, lagi lama, walaupun kita nampak dia okey, sebenarnya dia akan drop, saya tak boleh tengok, saya anggap dia macam anak saya," katanya yang mempunyai dua anak.
Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk sesi 2023-2026, dikenali sebagai antara pemimpin yang aktif turun padang, khususnya dalam isu kebajikan rakyat serta bantuan kesihatan.  

Tindakan Dr Akmal memberi sumbangan peribadi itu mendapat pujian daripada ramai netizen dan masyarakat umum di Melaka. 


Medina versama ibu bapanya

Sementara itu menurut agensi berita BERNAMA, si bapa  Muhammad Ikmal Haziq, 24, amat berterima kasih dengan Dr Akmal dan kebaikan itu akan dikenang sepanjang hayatnya. 

Dia menyifatkan pengorbanan itu bukan mudah dilakukan, namun dapat memberikan harapan kepada anaknya itu terus berjuang untuk hidup dan membesar seperti kanak-kanak lain. 

Medina dan keluarga dijangka berangkat ke Shanghai, China pada minggu ketiga Disember 2025 dengan bantuan Persatuan Biliary Atresia Malaysia (BAMA).

Bagi meneruskan rawatan dan kehidupan selepas pembedahan, keluarga itu masih memerlukan bantuan berikutan terpaksa menampung kos susu khas dan ubat-ubatan yang mencecah RM5,000 sebulan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Islam 05049020332559 atas nama Muhammad Ikmal Haziq Mazlan. - KitaReporters

10
15
0
15
0
You will be interested