

Desakan agar kemudahan Rehat dan Rawat (R&R) dibina di sepanjang Lebuh Raya Timur-Barat (FT04) semakin mendapat perhatian ramai, susulan peningkatan aliran trafik dan ketiadaan kemudahan asas seperti tandas, surau, dan gerai makanan sepanjang laluan Jeli, Kelantan ke Gerik, Perak.
Pengguna berpendapat sudah tiba masanya kerajaan menyediakan sekurang-kurangnya satu R&R berskala penuh dan setaraf dengan kemudahan PLUS Expressways, yang dilengkapi dengan stesen minyak, tempat makan bersih, medan selera, ruang solat selesa serta kawasan parkir luas.

Rosdi Ismail, 58, yang kerap berulang-alik dari Perlis ke Kota Bharu menyifatkan perjalanan melalui laluan itu amat memenatkan kerana tiada tempat berhenti yang selesa untuk berehat, terutama bagi pemandu yang membawa keluarga.
“Saya sering guna laluan ini dari Perlis ke Kota Bharu. Cantik memang cantik, tapi bila tiada R&R lengkap, susah nak berhenti makan, solat atau rehat. Sekurang-kurangnya perlu satu hentian yang betul-betul lengkap dan selamat,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kawasan sekitar Hentian Titiwangsa dijadikan lokasi rasmi R&R dengan fasiliti moden dan mesra pengguna, memandangkan ia kini hanya menjadi tempat persinggahan sementara tanpa kemudahan mencukupi.

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai peruntukan untuk menaik taraf lebuh raya antara negeri termasuk Lebuh Raya Timur-Barat, memberi sinar harapan kepada pengguna.
Moga cadangan ini turut membuka ruang kepada pembangunan ekonomi setempat, sekali gus menjadikan Lebuh Raya Timur-Barat bukan sekadar laluan penghubung, tetapi juga koridor pertumbuhan luar bandar yang lebih holistik. - KitaReporters
