Insan & Komuniti 11 Jun, 2025

UMCares@Taiping! Pilih Bukit Larut jadi Kampung Angkat Madani! Adakan MoU dengan MPT, Zoo Taiping!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this

Khairul Amir Mohamad Zubir (tiga dari kanan) dan Prof Ir. Dr Noor Azuan Abu Osman (dua adri kiri) menunjukkan dokumen MoU selepas majlis perasmian UMCares@Taiping.


Universiti Malaya (UM) dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menjalinkan kerjasama apabila kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sebagai simbol komitmen dalam pembangunan komuniti dan pemindahan ilmu.

MoU itu melibatkan kerjasama dan kajian UM dengan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dan Bukit Larut.

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata UM telah memilih ZTNS sebagai tapak kajian bagi menjalankan aktiviti penyelidikan. 

Menurutnya, kajian ini akan melibatkan ekologi tingkah laku dan penilaian kebajikan haiwan mamalia besar seperti Golden Cat, Leopard Cat dan karnivor yang lain serta penilaian kualiti air dan rawatan kolam.

“Kerjasama dan kajian ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak universiti dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah turut membantu meningkatkan pengurusan dan tambah nilai dalam usaha menarik pelancong ke ZTNS.

“Kajian oleh UM dilihat amat signifikan dalam membantu ZTNS mencapai kelestarian dari pelbagai aspek terutamanya Kelestarian Alam Sekitar dan Biodiversiti,” katanya pada majlis pelancaran program UMCares@Taiping di Pavillion ZTNS di Taiping, Perak pada 28 Mei 2025. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penasihat kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.



Khairul Amir berkata, kerjasama yang kedua pula adalah melalui Projek Kampung Angkat Madani yang mana Bukit Larut (Maxwell Hill) dipilih sebagai salah satu projek berkenaan.

Katanya, projek ini bukan sahaja meningkatkan ekonomi setempat melalui keusahawanan dan pelancongan tetapi dalam masa yang sama mempromosikan warisan sejarah Taiping.

“Semoga kerjasama strategik ini membuahkan limpahan manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat demi kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan bidang ilmu serta Pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UM,  Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, kerjasama antara Universiti Malaya-Kementerian Pendidikan Tinggi (UM-KPT) dan MPT ini akan membuka jalan kepada pelbagai bentuk kolaborasi – dalam bidang penyelidikan, pembangunan sosial, pengupayaan wanita, belia dan sebagainya.

Beliau berkata, UM bukan sahaja institusi pendidikan, tetapi rumah kepada intelektual yang bersedia berkongsi kepakaran. Apabila ilmu bertemu fahaman tempatan, apabila penyelidikan dipandu oleh keperluan rakyat – maka lahirlah penyelesaian yang bukan hanya canggih, tetapi juga relevan dan berakar di bumi sendiri.

Katanya, menerusi UMCares@222, UM-KPT mempunyai satu strategik peringkat nasional dalam aspek komuniti untuk projek 222 ini.

“Kini, kami sedang menyusun langkah, mengatur gerak ke setiap pelosok negara – 222 kawasan Parlimen Malaysia – bagi menyumbang secara langsung kepada pembangunan komuniti.

“Taiping, menjadi lokasi utama kerana di sinilah kita temui keseimbangan antara alam dan insan. Maka tidak hairanlah Bukit Larut dipilih sebagai lokasi Program Kampung Angkat Madani – simbol kasih universiti kepada rakyat.” katanya.


Sebahagian kakitangan Universiti Malaya dan tetamu jemputan menunjukkan isyarat bagus semasa majlis perasmian UMCares@Taiping di Taiping.


Noor Azuan berkata, UM-KPT akan melaksanakan sembilan projek besar di Taiping – melibatkan alam sekitar, pendidikan khas, kesihatan awam dan banyak lagi, dengan jumlah keseluruhan hampir RM2 juta.

“Ini bukan jumlah kecil. Ia tanda kesungguhan dan kepercayaan pelbagai pihak – kementerian, industri, NGO dan juga KPT-UM sendiri.

“Kita harap permulaan ini akan membuka lebih banyak pintu kerjasama, menarik lebih banyak dana dan menyemai lebih banyak manfaat untuk rakyat Taiping.

Noor Azuan berkata, Taiping akan jadi model kepada seluruh negara – bagaimana universiti dan komuniti boleh berganding bahu, membina masa depan bersama. - KitaReporters


14
14
0
11
0
You will be interested