
PANTAS masa berlalu, kita sudah memasuki 10 hari terakhir
Ramadan 1446H dan bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri 2025 tak lama lagi.
Kalau dulu-dulu, inilah masa paling sibuk bagi emak penulis, Allahyarham Aishah Mohd Desa. Sejak selepas sahur pada subuh lagi emak sudah sibuk di dapur membawa hingga ke malam. Kadang-kadang ketika kami sudah nyenyak melayan mimpi, emak masih ‘bersilat’ di dapur.
Walaupun kami boleh digolongkan sebagai keluarga susah atau sekarang dipanggil golongan B40 namun setiap kali menjelang hari raya, emak akan tetap memastikan ada kuih akan dihidangkan pada sambutan Aidilfitri nanti.
Dan kami anak-anak pun memang menanti air tangan Istimewa emak yang dapat kami rasa setahun sekali. Dulu-dulu, kuih muih tradisional seperti bahulu, putu kacang, kuih siput, kuih bakar, ketupat dan lain-lain hanya dapat dinikmati pada hari raya Aidilfitri saja.

ALLAHYARHAM AISHAH MOHD DESA.
Memandangkan kami tidak mempunyai adik-beradik perempuan, semua enam orang hero, maka suka atau tidak, kamilah menjadi harapan emak untuk membantunya menyediakan kuih. Semua ada tugas khusus mengikut kuih kegemaran masing-masing.
Kuih kegemaran penulis adalah putu kacang, maka penulis ditugaskan untuk menumbuk kacang dan gula menggunakan lesung kaki yang juga berfungsi untuk menumbuk padi dan barang lain. Seterusnya membantu menekap adunan kacang yang sudah digaul dengan gula halus ke acuan dan kemudian menjemurnya.
Abang penulis pula suka makan kuih bahulu, jadi dia ditugaskan 'menimbuk' (memukul) telur di dalam pasu menggunakan pemukul spring sehingga ‘naik’ sebelum dimasukkan tepung gandum.
Adik yang suka kuih siput juga tidak terkecuali daripada tugasan. Dia akan membantu emak menguli tepung dan menggetel adunan itu menjadi bentuk siput dengan menggunakan satu pekakas yang diperbuat daripada kayu.

LESUNG kaki digunakan menumbuk kacang hijau untuk dibuat kuih putu kacang.
Begitu juga dengan adik-beradik yang lain, masing-masing diberikan tugas. Tapi semangat itu sudah tidak wujud sekarang. Anak-anak hanya tahu makan dan ibu-ibu juga sudah malas ke dapur. Mereka lebih guna konsep ‘tunjuk’ kuih di pasar raya walaupun tidak sesedap mana.
Emak suka masak kuih pada waktu malam. Semuanya dimasak secara tradisi kerana ketika itu yang ada hanya dapur kayu. Kuih bahulu contohnya, dimasak menggunakan tempurung di bawah periuk dan bakaran sabut di atas.
Kadang-kadang dek terleka dengan tugas lain, kuih itu akan hangit sedikit. Emak cukup menjaga kualiti, kuih yang hangit akan diasingkan. Inilah satu-satunya peluang untuk kami merasa kuih itu sebelum raya kerana emak menganggapnya sebagai kuih rosak atau kuih reject!

KUIH bahulu dibakar secara tradisonal.
Kadang-kadang jika emak menyuruh kami ‘menjaga api’
memang akan hangit memanjang kuih yang dimasak. Itu muslihat kami nak merasa
kuih itu. Kalau tidak kena tunggu hari raya kerana emak akan sorok kuih itu dan
hanya akan dikeluarkan pada hari raya.
Satu lagi air tangan emak yang kami tunggu-tunggu adalah kari daging dan ketupat pulut berdaun pisang. Entah apa resipinya, kari daging memang diakui keenakannya bukan saja oleh kami tapi oleh semua tetamu yang berkunjung pada hari raya.
Bila ada yang bertanya apa resipinya, emak dengan selamba menjawab ‘Aku main campak-campak saja’.
Emak juga membuat ketupat tanpa menggunakan daun palas sebaliknya daun pisang. Pulut akan ditanak setengah masak sebelum dibalut dengan daun pisang dan direbus. Keharuman dari daun pisang itulah yang menjadikan ketupat emak Istimewa.

KETUPAT daun pisang.
Sebagaimana kuih, emak hanya akan menghidangkan
masakan istimewanya itu pada hari raya. Jangan cuba-cuba mengendeng atau buat
muka kasihan dengan emak, memang tidak dilayannya.
“Kalau semua hangpa nak makan hari ini, raya nanti hangpa nak makan apa?” tegas emak.
Ada yang tidak dapat menahan nafsu akan cuba curi-curi makan tapi ‘instinct’ emak cukup tajam, belum sempat kuih atau lauk masuk ke mulut, emak sudah berdiri di belakang sambil bercekak pinggang.
“Aku ingat kucing rupanya kucing ‘kepala hitam!” sergah emak. Terkulat-kulat ‘si kucing’ sambil menelan air liur!
Anak-anak sekarang sudah tak kisah dengan hidangan ayam atau daging kerana ia sudah menjadi makanan ruji mereka. Ia berbeza dengan kami hanya dapat menikmati makanan sedap-sedap hanya pada hari raya.

PENULIS berusia 8 tahun, bergaya dengan baju raya dalam satu sesi fotografi di studio.
Mungkin kerana itu, hari raya menjadi terlalu Istimewa
kepada kami dan ditunggu-tunggu. Bukan saja dapat makan sedap-sedap tapi juga
dapat pakai baju baru.
Penulis masih ingat, beberapa hari sebelum Aidilfitri, ayah akan membawa kami ke sebuah kedai Cina kawan baiknya di Pekan Sungai Bakap, untuk memilih sendiri baju raya tapi dihadkan hanya seorang sehelai saja.
Bayangkan betapa seronok kami ketika itu. Hanya setahun sekali kami mendapat keistimewaan itu, memilih baju yang tentu harganya lebih mahal dari baju yang kami pakai setiap hari. Pada ketika itu jenama tidak jadi pertimbangan, asal nampak cantik dan berkenan, terus sambar.
Dah namanya ‘baju raya’, ia danggap special . Justeru, selain hari raya, ia dipakai untuk ke acara-acara tertentu seperti majlis kahwin atau kalau hendak berjalan-jalan ke bandar. Selain itu, ia akan disimpan kemas di dalam almari.

PEKAN Sungai Bakap, Seberang Perai, Pulau Pinang, tempat penulis membeli baju raya semasa kanak-kanak dahulu.
Kasut pula selalunya kami digalakkan membeli kasut sekolah saja dan untuk raya dapatlah memakai yang berjenama, selalunya jenama Bata dan Fung Keong jadi pilihan, kira dah gempak la tu!
Untuk ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri, kami memakai baju Melayu sama yang dipakai untuk ke sekolah agama atau ke kelas mengaji Al-Quran. Selagi boleh dipakai, pakailah hingga koyak.
Ia berbeza dengan anak-anak sekarang yang membeli baju Melayu setiap tahun kerana setiap tahun warna tema keluarga bertukar, jika tahun ini memakai warna unggu, tahun depan tukar pula kepada biru laut. Begitulah setiap tahun.
Penulis dapat bayangkan reaksi anak-anak hari ini jika ibu ayah hanya membeli sehelai baju raya seperti penulis dahulu. Dahlah sehelai, tak berjenama pula.
Baju Melayu pula pakai saja baju Melayu ke sekolah KAFA. Mahu mereka merajuk dan tak mahu raya!

GAMBAR hiasan... Acara kira duit raya selepas seharian 'kunjung mengunjung' di seluruh kampung.
Tapi, ya lah, zaman sudah berubah, mana sama dengan zaman tahun 1960-an dan 1970-an dahulu. Jauh beza, Banyak perkara sudah berubah.
Contohnya, anak-anak hari ini sudah hilang budaya 'kunjung mengunjung'. Mereka lebih suka terperuk di rumah sambil melayan gajet atau televisyen. Kadang-kadang balik solat sunat, terus mengurung diri dalam bilik.
Budak-budak zaman dahulu cukup terkenal dengan budaya kunjung mengunjung. Kami sanggup berjalan dari rumah ke rumah, tak cukup kampung sendiri, beraya pula ke kampung sebelah dari pagi hingga malam.
Ia bukan kunjungan kosong tapi turut membawa harapan dapat mengutip duit raya sebanyak mungkin. Walaupun pada setiap rumah hanya dapat 10 sen atau 20 sen tapi ketika itu, nilainya cukup besar. Kalau satu hari dapat kumpul RM20 dah kira lumayan.

PUTU kacang, kuih kegemaran penulis.
Esoknya, kami ramai-ramai berjoli di pekan. Selalunya
duit raya digunakan untuk membeli barang mainan seperti pistol atau senapang
Combat.
Selepas raya, aktiviti ‘berperang’ akan disambung setelah sebulan berehat kerana menghormati Ramadan. Masing-masing sudah bersedia dengan machine gun Sgt Saunders (Vic Morrow) dan Leftenan Gil Hanley (Rick Jason).
Kini semua tinggal kenangan. Setiap kali datang Aidilfitri, penulis teringat kepada emak yang meninggal dunia pada 2014.
Terasa rindu sangat air tangannya. Terbayang ketupat daun pisang, kari daging dan kuih putu kacang kegemaran penulis. - KitaReporters