Insan & Komuniti 18 Apr, 2025

Terima kasih Tabung Kasih @ HAWANA! Penuhi impian Sudirman! Tampung kos rawatan pulih daripada strok!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

SUDIRMAN kini berusaha memulihkan strok menerusi kaedah rawatan bio energi.


SEJAK diserang strok yang serius pada tahun 2020 lalu sehingga membataskan pergerakannya, Sudirman Rosli tidak pernah putus asa berikhtiar untuk memulihkannya.

Selain di hospital, beliau turut melakukan rawatan menerusi kaedah urutan tapi keadaannya tidak banyak berubah. Begitupun ia tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berusaha sekali pun memerlukan kos yang tinggi.

Namun, dengan sumbangan yang diterima daripada Tabung Kasih @ HAWANA baru-baru ini, ia sedikit sebanyak membantu meringankan kos rawatan ditanggungnya malah membolehkan beliau mencuba kaedah baharu dalam usaha memulihkan strok dihidapinya.


SUDIRMAN ROSLI.


Terkini, Sudirman mencuba pula kaedah rawatan bio energi di sebuah pusat rawatan di Seri Kembangan, Selangor. Beliau sangat bersyukur kerana sumbangan diterima menerusi Tabung Kasih @ HAWANA akhirnya membolehkan beliau mencuba rawatan di situ.

“Saya sudah lama berhasrat untuk mencuba kaedah rawatan bio energi selepas melihat ramai pesakit strok yang pulih menerusi rawatan itu. Tapi, kosnya agak tinggi iaitu RM3,400 bagi 30 sesi.

“Alhamdulillah, baru-baru ini saya menerima bantuan Tabung Kasih @ HAWANA. Ia amat bermakna kepada saya kerana menerusi sumbangan itu, saya akhirnya dapat menjalani rawatan di tempat berkenaan.

“Saya memanfaatkan keseluruhan wang sumbangan itu yang mampu menampung hampir 90 peratus kos rawatan. Terima kasih kepada sekretariat HAWANA dan Kelab Alumni Karangkraf yang membantu saya mendapatkan sumbangan itu,” kata Sudirman.


SUDIRMAN dibantu oleh dua petugas di pusat rawatan bio energi di Seri Kembangan, Selangor.


Tabung Kasih @ HAWANA adalah inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) bagi menyantuni pengamal media yang berdepan pelbagai masalah terutama kasihatan dan kewangan. Sejak diwujudkan pada April 2023, ia sudah memberi manfaat kepada hampir 400 orang pengamal media.

Sudirman yang merupakan bekas kakitangan stesen televisyen TV3 pada awalnya diserang strok ringan pada 2003 serta melakukan pembedahan pintasan jantung pada 2014.

Pada 2020, beliau menghidap strok lebih serius, menyebabkan anggota badan sebelah kiri lemah, membataskan pergerakannnya sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

“Saya sudah mencuba pelbagai kaedah termasuk berurut tapi tidak banyak perubahan. Saya harap keadah bio energi ini dapat memulihkan penyakit strok yang saya tanggung.

“Setakat ini, saya baru menjalani empat sesi rawatan. Alhamdulillah tindak balasnya positif apabila kaki saya yang lemah semakin kuat,” katanya.


ANTARA pesakit yang mendapat rawatan di sebuah pusat bio energi di Seri Kembangan, Selangor.


Menurut Sudirman, menerusi kaedah rawatan itu, pesakit akan dirawat secara bio energi selama dua jam, disusuli rawatan fisioterapi selama satu jam bagi setiap sesi.

Setiap pesakit perlu menjalani 30 sesi rawatan dengan mereka diberi kebebasan menentukan sendiri hari dan waktu rawatan.

“Memandangkan saya menetap di Melaka, maka saya hanya mengambil tiga kali sesi rawatan seminggu iaitu pada Selasa, Rabu dan Khamis.

“Saya sangat berharap ikhtiar kali ini akan berjaya memulihkan strok yang saya hidapi. Setakat ini, ia menunjukkan hasil positif. Sekali lagi terima kasih HAWANA kerana membantu saya mendapatkan rawatan di sini,” ujar Sudirman. - KitaReporters

14
6
0
10
0
You will be interested