Insan & Komuniti 06 Sep, 2022

Haji Bidin nak kembalikan martabat ghazal! Tak rela lihat ghazal berkubur! Sudah sebati dalam diri!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Jantan Ahmad atau Haji Bidin bermain alat muzik arkodion setiap kali masa lapang bagi melepaskan rindu pada ghazal.

Antara alat muzik ghazal yang dimliki Haji Bidin ketika ini.

SEORANG warga emas di Pekan Ayer Panas, Labis, Johor yang juga merupakan pengasas beberapa kumpulan ghazal melahirkan kebimbangan terhadap masa depan warisan seni budaya negeri Johor itu yang semakin 'malap' dan disifatkannya sebagai hanya 'menanti mati' berikutan tiada sebarang usaha dilakukan oleh mana-mana pihak untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan warisan tersebut.

Jantan Ahmad, 84, yang lebih mesra disapa Haji Bidin dalam kalangan rakan-rakannya telah terlibat dengan aktiviti  seni sejak tahun 1965 lagi berpendapat banyak faktor yang menyebabkan ghazal semakin tenggelam dan tidak mampu bersaing dengan kebanjiran pelbagai genre muzik moden dan dari luar ketika ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan muzik tradisional

Jantan Ahmad atau Haji Bidin


"Bagi saya kita tidak boleh menyekat kemasukan pelbagai genre muzik baharu ke negara kita, sebaliknya kita perlu meraikan kepelbagaian tersebut kerana ia mampu memperkayakan lagi dunia seni tanah air, tapi dalam masa yang sama janganlah kita terlalu mendewakan seni orang luar sehinggakan 'terlupa' untuk mengukuhkan seni budaya warisan peninggalan nenek moyang sendiri.

"Sebuah bangsa itu dikenali daripada budayanya, namun jika kita melupakan warisan dan seni budaya sendiri ketika ini, bayangkan kita ini  mahu dikenali sebagai bangsa apa nanti," katanya yang berharap satu usaha digerakkan oleh kerajaan negeri melalui agensi berkaitan untuk memartabatkan kembali seni ghazal sebagai satu warisan budaya Johor. 

Katanya, selepas bersara sebagai penjawat awam pada tahun 1993, dia ketika itu dia yang menetap di Terengganu kembali ke kampung halamannya di Labis dan turut menubuhkan kumpulan ghazal dengan membawa semula nama Suktra Ghazal di mana keanggotaan kumpulan ini terdiri daripada pengiat ghazal dari luar seperti Muar, Mersing dan Selangor.

Namun kumpulan tersebut hanya mampu bertahan beberapa tahun disebabkan usia ahlinya yang semakin meningkat dan terdapat dalam kalangan mereka yang meninggal dunia dan dalam masa sama dia tidak mampu mencari orang muda yang berminat untuk menjadi ahli baharu kumpulannya.


Haji Bidin sanggup berbelanja puluhan ribu wang simpanan untuk membeli peralatan muzik ghazal semata-mata minatnya kepada muzik ghazal. 

Menurut anak jati Labis itu, dia bangga menjadi sebahagian daripada Bangsa Johor walaupun hampir separuh daripada usianya dihabiskan di negeri Terengganu kerana tuntutan tugasnya di Kementerian Kesihatan, namun dalam masa sama dia terkilan tidak lagi mampu 'menjulang' tinggi ghazal yang menjadi kebanggaan Johor satu ketika dahulu dek kerana batasan usia.

Mengimbau kembali penglibatannya dalam aktiviti seni, langkahnya  bermula dalam tahun 1965 selepas diterima mengangotai kumpulan Bangsawan Bintang Timur yang diasaskan oleh Alahyarham Rahman B dan Minah B sebelum menubuhkan kumpulan ghazal sendiri yang diberi nama Suktra Ghazal ketika masih menetap di Terengganu pada awal tahun 1970-an.

Menurutnya selama 18 tahun bersama kumpulan ghazal tersebut dia berpeluang mengadakan persembahan ghazal di luar negara bersama badan kesenian negeri Terengganu. Antara negara yang pernah dilawati untuk memperkenalkan warisan seni ghazal  adalah Singapura, Indonesia, Hong Kong, Jerman dan Itali di mana ketika di Hong Kong dia dan kumpulannya membuat persembahan setiap hari selama sebulan.


Selain boleh bermain gitar, arkodion dan gambus, Haji Bidin juga berkemampuan bermain harmonium dengan baik.

"Tidak dinafikan ketika Datuk Seri Abdul Ghani Othman menjadi menjadi Menteri Besar Johor dahulu. terdapat usaha yang dijalankan beliau untuk 'menghidupkan' semula ghazal di negeri ini dengan menubuhkan kumpulan ghazal di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika itu.

"Namun entah di mana silapnya, usaha tersebut tidak berjaya selepas beberapa tahun dijalankan dan kumpulan yang ditubuhkan itu tidak diketahui nasibnya ketika ini. Saya percaya usaha itu yang  memerlukan peruntukan besar dan sesuatu yang merugikan apabila ianya gagal mencapai matlamat," katanya.

Dia yang sedia berkongsi pengalaman dengan mana-mana pihak yang berhasrat untuk menaikkan kembali martabat ghazal sebagai satu warisan budaya negeri Johor turut mencadangkan usaha mewujudkan kumpulan ghazal yang pernah dilakukan di setiap PBT disambung semula.


Haji Bidin kali terakhir menyertai pertandingan ghazal bersama kumpulannya pada tahun 2011 dan berjaya mengondol hadiah naib johan ketika itu.

Katanya, bagi memastikan ghazal tidak terus lenyap, kumpulan ghazal yang diwujudkan nanti perlu diberi peluang untuk membuat persembahan di majlis-majlis rasmi kerajaan selain promosi berterusan bagi menarik minat penglibatan  golongan muda sebagai pelapis pada masa hadapan.

Selain itu katanya, soal dana juga tidak harus dikesampingkan dan kerajaan negeri melalui agensi berkaitan perlu membantu dengan menyediakan dana bagi tujuan menghidupkan semula roh ghazal dalam kalangan masyarakat hari ini yang disifatkannya semakin lupa terhadap kewujudan seni ghazal satu ketika dahulu.

"Bagi menarik minat golongan muda, ghazal juga perlu melakukan perubahan dengan cara memasukkan unsur-unsur seni lagu masa kini tanpa mengetepikan seni ghazal itu sendiri. Kena melakukan sedikit perubahan, namun jangan sampai terkeluar dari landasan.

"Tidak salah rasanya jika menyelitkan satu dua lagu yang mempunyai unsur muzik masa kini dalam sepuluh lagu yang dipersembahkan. Kita tidak perlu 'merosakkan' lagu-lagu ghazal seperti Kuala Mersing, Kuala Endau, Kuala Sedeli, Gunung Panti dan Bukit Treh yang begitu tinggi nilai seninya. Tapi tidak salah sekiranya mencipta lagu-lagu ghazal  baharu yang ditambah nilai dengan unsur muzik masa kini," katanya yang pernah membelanjakan lebih RM20,000 wang simpanannya untuk membeli kelangkapan peralatan muzik ghazal yang masih disimpan rapi sehingga hari ini. - KitaReporters


Gambus, biola, marakas dan tamborin merupakan antara alat muzik penting  kumpulan ghazal.  

9
14
0
10
0
You will be interested