SEORANG guru adalah pengganti ibu dan bapa kepada murid-murid sepanjang berada di sekolah.
Malah tidak keterlaluan ada dalam kalangan pelajar hari ini yang lebih mempercayai dan patuh dengan kata-kata guru berbanding ibu bapa mereka sendiri.
Itulah gambaran yang diberikan betapa kagumnya seorang murid kepada gurunya.
Malah hormat kepada seorang guru itu tidak terhenti selepas tamat sekolah sahaja sebaliknya mereka sentiasa dikenang sehingga akhir hayatnya.
Lagi kisah-kisah jenayah berkaitan kes-kes penderaan
Namun berbeza pula dengan seorang guru di India yang kini menjadi buruan pihak polis apabila didakwa memukul seorang muridnya sehingga mati angkara kesalahan ejaan.
Memetik english.alarabiya.net, mangsa yang dikenali sebagai Nikhil Dohre itu dipercayai dipukul dengan batang besi oleh guru berkenaan.
Lebih mengejutkan mangsa juga ditendang sehingga tidak sedarkan diri oleh suspek pada awal bulan September 2022 ini.
Kisah tragis berkenaan dipercayai berlaku selepas mangsa dipukul kerana gagal mengeja perkataan ‘sosial’ ketika dalam peperiksaan.
Pelajar berusia 15 tahun itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya pada 25 September 2022 lalu di sebuah hospital di negeri Uttar Pradesh.
Pegawai polis, Mahendra Pratap Singh memberitahu, pihaknya kini sedang giat memburu suspek dan bekerjasama dengan beberapa pihak lain bagi memastikan individu berkenaan ditahan dan dikenakan hukuman setimpal.
“Suspek boleh lari ke mana sahaja, namun kami tetap memburunya sehingga berjaya menahannya semula,” katanya lagi.
Dohre dikatakan dari komuniti Dalit yang disifatkan sebagai kasta paling rendah di India.
Situasi berkenaan menyebabkan ratusan penunjuk perasaan turun ke jalanan bagi membantah perlakuan kejam yang dilakukan oleh seorang guru selepas mendapat tahu mengenai kematian Dohre.
Penunjuk perasaan mendesak guru berkenaan ditahan sebelum mayat pelajar tersebut dibakar dalam upacara pengebumian yang akan berlangsung dalam masa terdekat ini.
Tergamak sungguh seorang cikgu yang dipandang mulia melakukan perbuatan kejam sepatutnya dibantu supaya pelajar berkenaan menjadi pandai bukannya diperlakukan dengan kejam. - KitaReporters