Video ini bertajuk "Why did I make Masjid?" (Mengapa saya buat masjid?) untuk mengetahui maklumat penuh mengenai rumah Allah yang diusahakan oleh Daud Kim, yang dizahirkan daripada hasil sumbangan orang ramai. "Terima kasih kepada semua yang membantu," katanya. - YouTube Daud Kim
Sekitar enam bulan lalu, tepatnya Mei 2024, KitaReporters melaporkan kejayaan YouTuber Muslim Korea Selatan, Daud Kim membina sebuah masjid dan tentu ramai nak tahu bagaimanakah perkembangannya sekarang?
Apakah masjid itu benar-benar berfungsi atau sekadar gajah putih? Adakah ia diguna oleh masyarakat Islam di sekitar atau masihkah ada halangan dalam usaha ke arah menjayakannya?
Daud Kim ketika menerangkan alasan pemilihan nama Al Sabr untuk masjid yang diusahakan sempena dugaan dan kepayahan dilalui dalam usaha menzahirkan impian mengadakan rumah Allah ini yang menuntut kesabaran amat tinggi. - Kredit foto: YouTube Daud Kim
Menjenguk laman sosial Daud Kim, ternyata masjid itu giat diguna mengikut fungsinya. Ruang dalamannya telah diperlengkap sebagaimana sebuah masjid, dengan menyediakan tempat solat untuk lelaki dan wanita yang berpenghadang.
Tidak sukar baginya untuk memperlengkap masjid berkenaan kerana selain sumbangan diterima untuk pembinaan, semua kelengkapan meliputi permaidani sepenuh lantai, rak kitab dan buku agama, sistem PA, jam digital, sejadah, tasbih, rehal, telekung dan abaya ditaja oleh syarikat dan individu dermawan.
Papan putih, kelengkapan untuk mengajar turut disediakan. - Kredit foto: YouTube Daud Kim
Daud Kim meluahkan rasa syukur akhirnya impian untuk membina masjid tercapai.
Biarpun niat asal untuk mengadakannya di bangunan tersendiri atas sebidang tanah yang dibeli di Incheon terhalang, namun beliau bersyukur kerana Allah mentakdirkan kejadian masjid itu adalah di bangunan sedia ada, yang diubah suai ruang dalamannya sahaja.
Laporan sebelum ini menyebut, usaha asal beliau terikat dengan peraturan dan undang-undang pembinaan rumah ibadat Islam, yang dikatakan di Korea Selatan, pembinaan masjid hanya diberi kuasa kepada satu pertubuhan di negara itu selain terkait isu had kutipan sumbangan menggunakan akaun peribadi.
Bilik wuduk lengkap berjubin di keseluruhan lantai dan dinding, bersih lagi kemas. Kredit YouTube Daud Kim
Berkemungkinan Daud Kim baru mengetahui mengenai peraturan-peraturan itu, pada masa sama pelbagai syak wasangka telah ditimbulkan mengenai kegiatannya, lantaran beliau pantas menukar pelan mencari tempat lain yang sesuai, kini bertempat di bangunan sedia ada.
Sebaik diperolehi, terus dimulakan dengan kerja pengubahsuaian untuk mewujudkan masjid, dan akhirnya segala tohmahan tenggelam begitu saja.
Penghadang skrin untuk ruang solat wanita. "Saya ingin buat besar tetapi buat masa ini wanita tidak ramai datang," ujarnya. - Kredit foto: YouTube Daud Kim
Hikmah di sebalik pelbagai halangan awal tadi, dengan pelan kedua, penyediaan masjid di bangunan sedia ada lebih mudah, hanya memerlukan pengubahsuaian yang mengambil masa tidak lama, tanpa terkait dengan banyak masalah, berbanding membina bangunan baru di atas tanah.
Merujuk perkembangan setakat ini, kata personaliti media sosial itu, hajatnya tidak mungkin berjaya dicapai tanpa bantuan dan sumbangan daripada orang ramai sama ada pengikutnya mahupun badan dan syarikat terbabit.
Dengan usaha, kegigihan dan keyakinan yang tinggi, masalah sesukar mana sekali pun akan diberikan jalan keluar dan diberi arah haluan lain yang lebih lancar dan bebas kemelut.
Sejadah dwifungsi, boleh diguna untuk duduk solat dan membaca al-Quran, sumbangan England Co. - Kredit foto: YouTube Daud Kim
Menurutnya, beliau menamakan masjid itu Masjid Al Sabr.
"Kenapa saya pilih nama itu kerana ia bermaksud 'sabar', seperti mana anda tahu, usaha saya nak menzahirkan sebuah masjid sangat susah (penuh dugaan dan rintangan) tetapi saya tidak berputus asa kerana saya tahu, Allah sentiasa bersama saya dan membantu saya.
"Buktinya, pelbagai sumbangan diterima daripada orang ramai dalam bentuk wang ringgit, barangan keperluan dan peralatan. Semua tajaan itu adalah bantuan daripada Allah jua.
Skrin televisyen sumbangan syarikat Kazakhstan. - Kredit foto: Youtube Daud Kim
"Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya! Dengan bantuan anda semua, saya berjaya membina rumah Allah SWT (masjid). Saya juga tahu ramai mengambil berat tetapi saya tidak pernah berputus asa dengan impian saya untuk membina masjid," katanya.
Sebelumnya, beliau mengumumkan sudah menandatangani kontrak sebuah tanah untuk membina masjid di Incheon, namun ia kemudian menjadi isu sensasi apabila dimaklumkan hanya sebuah badan pertubuhan Islam diberi kuasa untuk membina masjid atas tanah di Korea Selatan.
Akur dengan dengan hakikat halangan dan situasi itu lalu beliau pantas menganjurkan pendekatan lain.
Himpunan tasbih sumbangan dan yang dibeli. - Kredit foto: YouTube Daud Kim
Kini beliau lega dan gembira dapat mengabdikan diri dalam pengurusan rumah Allah itu, di mana terdapat satu bilik khas untuk kegunaan beliau, sebagaimana diimpikan. Ibarat pejabat, di situ juga beliau menguruskan kerja-kerja mengedit dan menghasilkan video untuk media sosialnya.
Kitab al Quran dan terjemahan sumbangan Kedutaan Arab. - Kredit foto: YouTube Daud Kim
Banyak lagi pelannya perancangan yang harus disempurnakan termasuk mengadakan kelas agama secara tetap, yang mana buat masa ini belum dapat diadakan setiap hari kerana membabitkan penyediaan guru yang layak dan komited.
Namun alhamdulillah setakat ini, sudah ada satu masjid untuk kegunaan muslim di sekitarnya, termasuk pelajar dari negara asing, dan persinggahan solat buat musafir, selain pelbagai kegiatan lain termasuk menjadi tempat untuk belajar mengenali Islam dan mengislamkan saudara baru.
Daud Kim menunjukkan Quran kulit tebal warna merah jambu yang diambil daripada rak di ruang solat wanita
Dengan apa yang telah dizahirkan setakat ini, wajarkah orang ramai masih sangsi dengan ketulusan beliau dalam melaksanakan impiannya?
Masjid sudah pun siap dan sudah diguna, walau apa sambutannya, tidakkah selayaknya kita memberi penghargaan kepada Daud Kim, yang mana telah berapa kali beliau melahirkan hasrat untuk menjadi pengembang syiar Islam di negaranya yang mana penganut Islam masih sekelumit cuma.
Maka dugaan dan halangan yang diterima dalam usaha itu adalah lumrah. Semoga Daud Kim istiqomah dalam usahanya ke arah mengembangkan Islam di bumi penganut agama asing itu.
Dan usaha untuk membina masjid tidak terhenti pada satu saja. Sesiapa ingin membantu usahanya, dapatkan maklumat dalam YouTube dan media sosialnya untuk memberi sumbangan. - KitaReporters
Jam digital untuk paparan waktu solat, sumbangan Kazakhstan Prayer Application co. Kredit Foto - YouTube Daud Kim