Muhammad Syukri Mokthar menunjukkan foto arwah ayahnya di kampung ibunya di Hutan Perca, Alor Gajah, Melaka.
"Kerja elok-elok sebab kau ada tanggungjawab besar lepas ini," ujar Mokthar Othman, 61, kepada anak tunggalnya, Muhammad Syukri Mokhtar, 23, selepas solat subuh di rumah mereka di Shah Alam, Selangor, pada Jumaat 15 November 2024 lalu.
Mokthar seorang pengurus kilang di Shah Alam ditemukan lemas di Sungai Pengkalan, Taman Persisiran Sungai, Alor Gajah, Melaka pada petang Isnin, 18 November 2024 selepas dilaporkan hilang apabila keluar dari rumah di Taman Manggis, Machap, Alor Gajah kira-kira pukul 1.50 pagi Ahad, 17 November 2024.
Muhammad Syukri berkata, bapanya tidak pernah berpesan begitu dan biasanya hanya bersalaman sebelum terus keluar pergi kerja.
Mokthar Othman (dua dari kanan) bergambar kenangan bersama keluarga termasuk Muhammad Syukri (tengah) dan Rahmah Jantan (dua dari kiri).
Katanya, itu adalah pesanan terakhir ayahnya sebelum mereka sekeluarga bertolak balik ke Machap, Alor Gajah bagi menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya.
"Saya langsung tidak terfikir pesanan itu mempunyai maksud yang mendalam kerana pada awalnya saya anggap sebagai pesanan biasa.
"Sewaktu ayah dilaporkan hilang pada awal pagi Ahad sehingga mayatnya ditemukan lemas di Sungai Pengkalan barulah saya teringat pesanan terakhirnya itu," ujarnya.
Muhammad Syukri berkata, dia masih tidak percaya dalam sekelip mata kehilangan seorang ayah.
"Kami sekeluarga termasuk ibu, Rahmah Jantan reda dengan pemergian ayah. Dia sangat gembira dan sihat sewaktu dalam perjalanan dari Shah Alam ke Machap tidak nampak sebarang perubahan ketara," ujarnya.
Sebelum ini akhbar melaporkan mayat seorang pengurus kilang, Mokthar Othman, 61, yang dipercayai lemas kerana tergelincir di Sungai Pengkalan, Taman Persisiran Sungai, Alor Gajah berjaya ditemukan anggota mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 2.25 petang Isnin, 18 November 2024 lalu.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian kira-kira 200 meter dari tebing sungai iaitu lokasi seliparnya dijumpai pada Isnin.
Anggota bomba mengangkat mayat Mokthar yang ditemukan lemas di Sungai Pengkalan, Alor Gajah, Melaka.
Mengulas lanjut Muhammad Syukri berkata, doktor yang menjalankan bedah siasat di Hospital Alor Gajah memberitahu bapanya dipercayai mengalami serangan jantung sebelum rebah dan terjatuh ke dalam sungai dan bukan disebabkan lemas.
Bagaimanapun katanya, apa yang menjadi tanda tanya ahli keluarganya apa yang menyebabkan arwah bapanya berada ke Taman Rekreasi Seri Sutera, Sungai Pengkalan kerana pada awalnya dia keluar dari rumah kerana ingin pergi membeli makan.
Ujarnya, hati ibunya serba tidak kena setelah menyedari ayahnya tidak pulang kira-kira pukul 3.00 pagi dan telefon bimbit milik arwah tidak berjawab setelah beberapa kali cuba dihubungi.
"Susulan daripada itu ibu, anak saudara dan adik angkat saya keluar pergi mencari dan akhirnya menemukan kereta ayah di parkir taman rekreasi itu.
"Mereka mencari di sekeliling kawasan namun tidak menemukan apa-apa," katanya.
Katanya lagi, ibunya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meminta bantuan untuk membuka tandas awam di taman rekreasi itu bimbang ayahnya terkunci dari dalam.
Jelasnya, sejurus pihak bomba tiba kira-kira pukul 5.20 pagi dan membuka pintu tandas mendapati tiada siapa berada di situ lalu pihak terbabit melakukan pencarian dan selanjutnya menemukan sepasang selipar di tebing sungai.
Anggota bomba mengusung jenazah Mokthar Othman untuk dibawa ke Hospital Alor Gajah, Melaka.
Dalam pada itu ujarnya, arwah bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hutan Perca selepas solat Isyak malam Isnin, 18 November 2024. - KitaReporters