Insan & Komuniti 27 Aug, 2024

Video| Panjang umurnya! Wanita Jepun individu paling tua masih hidup di dunia! Berusia 116 tahun!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this


Individu tertua di dunia, Tomiko Itooka, 116 tahun, menyambut ulang tahun kelahiran pada Mei 2024 lalu di rumah penjagaan di bandar raya Ashiya, Jepun.  


MEMANG panjang umur! Wanita Jepun, Tomiko Itooka, kini merupakan individu tertua di dunia yang masih hidup. 

Berusia 116 tahun dia muncul individu tertua berikutan kematian penyandang, Maria Branyas Morera dari Olot, Sepanyol pada usia 117 tahun baru-baru ini. Perbezaan umur mereka hanya satu tahun.

Menurut Guiness World Records, tarikh lahir Itooka pada Mei 1908 dan umurnya disahkan oleh Kumpulan Penyelidikan Gerontologi (Gerontology Research Group). Kumpulan penyelidikan ini mengesah dan menyenaraikan perincian mereka yang dalam lingkungan umur 110 tahun atau lebih.

Apa reaksi Tomiko Itooka apabila diberitahu dia kini adalah individu tertua di dunia? 

Wanita yang tinggal di rumah penjagaan (nursing home) di bandar raya Ashiya dalam Wilayah Hyogo itu hanya meluahkan kata-kata ringkas “terima kasih”.


TOMIKO Itooka, individu tertua di dunia gemar aktiviti lasak walaupun pada usia senja.


Itooka yang dilahirkan di Osaka menyambut ulang tahun kelahirannya pada Mei 2024 lalu. Dia menerima hadiah bunga, kek dan sekeping kad daripada datuk bandar. Penghargaan ini sangat menggembirakan Itooka.

Makanan dan minuman rutin hariannya ialah setiap pagi minum yogurt berperisa sementara makanan kegemaran ialah pisang.

Itooka dilahirkan di Osaka dan merupakan seorang pemain bola tampar sewaktu di sekolah tinggi. Dia berkahwin pada usia 20 tahun dan mempunyai empat orang anak, dua lelaki dua perempuan.

Ketika pecah Perang Dunia Kedua, Itooka menguruskan kilang pakaian milik suaminya. Selepas kematian suami pada 1979, dia tinggal bersendirian di Nara sebelum tinggal di rumah penjagaan.

Walau pada usia senja, Itooka tetap sihat dan menjalani kehidupan lasak. Dia berjaya mendaki Gunung Ontaka setinggi 10,062 kaki dua kali. Dia tetap aktif dengan aktibiti mendaki walau pun ketika usia mencecah 100 tahun.

Tentunya ini sesuatu yang membanggakan kerana sebagai wanita yang berusia dia mampu melakukan sesuatu yang sukar. Malah lelaki pun belum tentu dapat melakukan seperti apa yang telah dia lakukan. Barangkali kerana itu juga dia sentiasa sihat dan panjang umur.  


MARIA Branyas Morera meninggal dunia dalam tidur pada 19 Ogos lalu dalam usia 117 tahun. 


Mengenai Maria Branyas, individu tertua sebelum ini, dia dilahirkan di Amerika pada 1907. Suaminya ialah Joan Moret yang meninggal dunia pada 1976. Mereka mempunyai tiga orang anak.

Branyas kemudian berpindah ke Sepanyol. Sejak dua dekad lalu, dia tinggal di rumah penjagaan Santa Maria del Tura di Olot, di bahagian timur laut Sepanyol. Sepanjang hidupnya dia melalui dua pandemik, dua perang dunia dan perang saudara Sepanyol. 

Wanita tertua itu meninggal dunia semasa tidur. Menurut jurucakap rumah penjagaan berkenaan, itulah yang dia inginkan, iaitu mati dalam tidur dalam keadaan tenang dan damai serta tiada kesakitan.

Ketika hampir kematiannya, Branyas mencatatkan dalam akaun yang diurus oleh keluarganya bahawa dia rasa lemah dan menduga masanya sudah terlalu hampir untuk pergi.

Dia tidak mahu pemergiannya ditangisi baik oleh keluarga, saudara mara atau kenalan kerana dia tidak suka air mata. Dia juga tidak mahu orang meratapi pemergiannya kerana dia akan gembira di mana jua berada. - KitaReporters

 

 

15
9
0
11
0
You will be interested