
Kutip Sampah Sambil Riadah atau singkatan KUDAH telah diperkenal di negara kita sebagai inisiatif menggabungkan aktiviti membersihkan sampah dengan riadah atau senaman.
Selain meningkatkan kesedaran dan memupuk masyarakat untuk cintakan kebersihan alam sekitar, KUDAH juga menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal.
Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) turut tidak ketinggalan memainkan peranan sebagai pelaksana aktiviti KUDAH sebagai usaha menggalakkan komuniti untuk sama-sama pastikan kelestarian alam sekitar.
Bertempat di Dataran Sheikh Abdul Qahar, Kampung Dusun, Hulu Terengganu pada 12 Jun 2025 baru-baru ini, kira-kira 200 peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur memeriahkan Program KUDAH.
Yang Dipertua MDHT, Mohd. Nasir Kasim berkata pelaksanaannya sebagai kesinambungan empat siri Program KUDAH telah dijalankan pada tahun lepas (2024) yang telah mendapat sambutan masyarakat setempat, agensi kerajaan dan swasta.

Senamrobik turut diadakan sebagai salah satu pengisian Program Gotong-royong Kutip Sampah Sambil Riadah di Kampung Dusun, Hulu Terengganu. - Kredit Foto: MDHT

MOHD. NASIR KASIM (kiri) selepas selesai menanam anak pokok sempena Program Gotong-royong Kutip Sampah Sambil Riadah di Kampung Dusun, Hulu Terengganu. - Kredit Foto: MDHT
"Pemilihan lokasi kali ini selaras dengan program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dengan aktiviti mengutip sampah dan membersihkan kawasan Dataran Sheikh Abdul Qahar yang bersebelahan Sungai Terengganu.
"Program ini juga bagi tingkatkan kesedaran awam berhubung kepentingan penjagaan alam sekitar dan membersihkan kawasan denai kebangsaan.
"Selain itu, kita ingin galakkan aktiviti yang berteraskan ekopelancongan sungai di daerah Hulu Terengganu ini," katanya kepada KitaReporters.
Tambah beliau, selain gotong-royong mengutip sampah Program KUDAH tersebut turut di meriahkan dengan pengisian senamrobik, ceramah kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma dan cabutan bertuah.


Dalam perkembangan berlainan, beliau turut memaklumkan MDHT sentiasa memandang serius berkaitan isu haiwan ternakan yang dilepas bebas berkeliaran di tempat awam khususnya jalan raya kerana ia mengancam keselamatan awam.
Katanya, selain operasi tangkapan dijalankan secara berterusan dengan keutamaan kepada kawasan-kawasan kerap berlaku kemalangan kadar kompaun dikenakan ialah RM1,000 seekor.
"MDHT telah berjaya menangkap 93 ekor haiwan ternakan berkeliaran di atas jalan raya termasuk di kawasan 'hotspot' kemalangan bagi tempoh Januari sehingga Mei 2025.
"Tangkapan itu melibatkan sebanyak 74 ekor lembu serta 17 ekor kerbau. Sikap penternak merupakan faktor utama terhadap masalah haiwan ternakan berkeliaran ini.
"Ada dalam kalangan penternak sengaja biarkan ternakan kerana mereka tidak mahu sediakan makanan haiwan," ujarnya.
Mohd. Nasir berkata lagi, segelintir penternak juga dikesan sengaja menggunakan kad pengenalan orang lain sewaktu menebus haiwan ternakan ditangkap MDHT bagi elakkan caj tambahan RM500. - KitaReporters

Antara murid sekolah yang hadir menjayakan dan memeriahkan Program Gotong-royong Kutip Sampah Sambil Riadah di Kampung Dusun, Hulu Terengganu. - Kredit Foto: MDHT
