Insan & Komuniti 14 Apr, 2025

Terima kasih Metamorph Group! Santuni warga emas! Sumbang duit raya dan beras! Bina sahsiah mulia!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Muzakkir Anaqi Mohd Ayob dan Unit Manager, Hamzah Zainul (kiri) beramah mesra dan menyeerahkan sumbangan duit raya kepada warga emas.


Rutin setiap tahun mengadakan program amal jariah dan kebajikan bagi berkongsi rezeki serta menghulur bantuan membela nasib mereka yang memerlukan pembelaan berjaya membina sahsiah mulia dalam kalangan kakitangan Metamorph Group, agensi untuk syarikat Prudential Assurance & PruBSN Takaful.

Tanpa sebarang pengecualian dan rasa rendah diri mereka akan mengunjungi rumah anak yatim, keluarga miskin, asnaf, ibu tunggal serta pusat jagaan warga emas dengan membawa keceriaan dan sumbangan barangan keperluan asas harian.

Unit Manager Metamorph Group, Muzakkir Anaqi Mohd Ayob, berkata apabila sering menyertai program Prihatin Warga Emas Selaut Kasih Bertaut Sayang “Sedikit Tanda Ingat, Banyak Tanda Ada” banyak membawa perubahan sikap kepada kakitangan syarikat itu sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, mereka itu yang datang dan membesar dalam pelbagai keluarga kini berjaya menjadi seorang yang bertanggungjawab, sanggup memikul amanah malah semakin kerap menyantuni ahli keluarga khusus ibu bapa apabila berjaya dalam kerjaya yang diceburi.


Nor Zakiah Ahmad (tiga dari kanan) melakukan gimik penyerahan sumbangan beras kepada Azman Rasman.


Tambahnya, semua itu berlaku daripada motivasi secara tidak langsung yang mereka peroleh hasil pembabitan dalam program berkenaan apabila melihat nasib anak yatim piatu, keluarga miskin, asnaf hatta warga emas emas yang menelusuri pelbagai kesusahan untuk hidup.

Jelasnya, perkara itu juga terpalit kepada kerjaya mereka apabila menyantuni masyarakat atau orang ramai yang memerlukan maklumat tepat perkhidmatan disediakan syarikat diwakili untuk jaminan diri sendiri dan keluarga pada masa depan.

“Mereka akan berasa bertanggungjawab serta bersikap jujur untuk memberi penjelasan mengenai tawaran perkhidmatan supaya orang ramai disantuni ini berasa diri mereka terbela sekiranya ditimpa musibah dan meneruskan kehidupan pada usia warga emas.

“Perubahan paling ketara kakitangan ini semakin mendekatkan diri dengan Allah SWT iaitu tidak mengabaikan solat dan ibadat lain seperti bersedekah apabila kesedaran disemaikan selepas sering terbabit dalam program berkenaan,” ujarnya pada program berkenaan di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor pada 13 April 2025.

Turut hadir pada program itu, Senior Agency Manager Metamorph Group, Nor Zakiah Ahmad; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; dan 24 kakitangan syarikat berkenaan.


Nor Zakiah mendengar penerangan daripada Azman mengenai warga emas perempuan sambil kakitangan Metamorph Group menyampaikan duit raya di pusat jagaan itu.


Nor Zakiah menyantuni seorang warga emas yang menghadapi masalah penglihatan serta uzur sambil ditemani Azman.


Pada program itu, selain menyantuni warga emas dengan jamuan makan tengah hari sempena Hari Raya Aidilfitri, Nor Zakiah bersama-sama pegawai kanan syarikat turut menyampaikan duit hari raya dan sumbangan beras.

Berucap merasmikan program berkenaan, Nor Zakiah melahirkan rasa terharu melihat kemajuan dan perubahan yang berlaku kepada PJMM berbanding kali pertama mengadakan program itu enam tahun lalu.

Menurutnya, kunjungan mereka menerusi program kali ini dirancangkan secara kebetulan apabila penelitian dibuat OLEH PJMM menjadi pilihan, manakala kakitangan syarikat yang merupakan sebahagian besar ejen takaful bertungkus lumus mencari sumbangan untuk diinfak.

Tambahnya, program itu bukan sahaja untuk menceriakan warga emas meraikan Hari Raya Aidilfitri tetapi juga sebagai membuka minda semua pihak untuk turut berkeprihatinan membantu pusat jagaan yang menempatkan orang tua disisih ahli keluarga dan sebagainya.

“Apabila kakitangan syarikat khusus ejen takaful berada di lapangan mereka diharapkan akan berkongsi perkara ini dengan pelanggan yang ditemui sebagai menguar-uarkan mengenai pusat jagaan, anak yatim, keluarga miskin, asnaf dan ibu tunggal yang memerlukan pembelaan,” ujarnya. - KitaReporters


Muzakkir Anaqi (duduk, kiri sekali) dan Nor Zakiah (duduk, tiga dari kiri) bersama-sama kakitangan Metamorph Group merakamkan kenangan dengan warga emas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor.

18
7
1
8
0
You will be interested