

Persediaan dan sumbangan beras serta barangan asas untuk veteran PVTTB sempena Ramadhan baru-baru ini.
Hampir 13 tahun menerajui kepimpinan Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) Bahagian Pulau Pinang, telah banyak pembelaan dilaksanakan demi membela nasib bekas tentera tidak berpencen.
Malah dengan keahlian seramai 1,325 bekas tentera tidak berpencen di Pulau Pinang ia memerlukan komitmen yang besar dan serius.
Yang Dipertuanya, Abu Hasan Abdul Malik berkata, kerjasama erat dan bersungguh-sungguh yang dilaksanakan oleh barisan jawatankuasa PVTTB berjaya membantu banyak bekas tentera tidak berpencen menyelesaikan kesulitan yang mereka hadapi.
"Ramai veteran yang uzur, kurang upaya, daif, kesihatan melarat dan pelbagai lagi kesukaran yang mereka hadapi.
"Di Pulau Pinang sahaja keahlian veteran tidak berpencen persatuan ini telah pun mencecah 1,325 orang dan ia bukan satu jumlah yang kecil.
"Namun begitu pelbagai cara dan usaha dilakukan oleh PVTTB bahagian Pulau Pinang bagi mendapatkan dana dan sumbangan demi membantu veteran yang sedang menghadapi masalah.
"Alhamdulillah banyak pihak termasuk ADUN dan Ahli Parlimen serta orang perseorangan maupun pihak yang prihatin turut membantu PVTTB," ujar beliau yang juga merupakan Naib Presiden PVTTB Malaysia.

Veteran PVTTB yang uzur di Teluk Kumbar turut disantuni Abu Hasan Abdul Malik (kanan) dan ahli jawatankuasanya.

Abu Hasan (kanan) menziarahi salah seorang veteran PVTTB yang uzur.

Tambahnya bantuan yang disumbangkan termasuklah barangan asas, bakul makanan, kerusi roda, khidmat nasihat, khairat kematian melalui agensi terlibat dan seumpamanya.
Manakala kawasan yang diberi tumpuan adalah melalui jawatankuasa PVTTB merangkumi semua kawasan Parlimen yang ada dalam Pulau Pinang.
Selain itu, jelas Abu Hasan siang dan malam tidak menjadi halangan untuk beliau dan jawatankuasa sedia ada memberi khidmat dan dokongan kepada veteran tentera tidak berpencen.
Yang pasti kata beliiau, pembelaan terhadap veteran tentera tidak berpencen adalah satu kemestian kerana mereka tidak mempunyai pencen apalagi pendapatan yang tetap, sedangkan kebanyakan mereka sudah pun mencecah usia warga emas.
"Sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, Ahli Parlimen Nibong Tebal merangkap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut menyumbangkan seekor lembu kepada PVTTB.
"Majlis korban tersebut telah pun diadakan di dalam kawasan Nibong Tebal dan agihan daging telah dibuat kepada ahli PVTTB dalam kawasan parlimen terbabit.
"Sumbangan tersebut membawa banyak makna kerana ia membuktikan kepedulian Ahli Parlimen terhadap veteran PVTTB di Pulau Pinang," tambah Abu Hasan. - KitaReporters

Ahli-ahli Jawatankuasa PVTTB turun padang beramai-ramai untuk majlis korban sempena Hari Raya Aidiladha di Nibong Tebal.