Insan & Komuniti 10 Feb, 2026

Berhati-hati! Pakaian dalam disidai di halaman rumah dicuri! Mayat reput tanpa identiti ditemukan!

Share this

Sidai baju di halaman rumah pun orang hendak curi ya! Kadang-kadang risau dengan berbagai kes yang berlaku dalam komuniti kita kebelakangan ini.

Ada yang terpana dengan kes terbaharu ini apabila mangsa menyidai pakaian di halaman rumah pun kena curi dek pencuri!


Gambar hiasan


Baru-baru ini, pihak polis daerah Tangkak sedang memburu suspek berhubung satu kes kecurian pakaian termasuk pakaian dalam di Tangkak pada awal Februari 2026 ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib, pihak polis mengesahkan telah menerima makluman berhubung satu video tular dalam media sosial yang memaparkan kejadian seorang individu disyaki menceroboh dan mencuri pakaian di halaman sebuah rumah.

 "Satu laporan polis telah diterima berkaitan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi mengesan serta mengenal pasti identiti suspek.


Roslan Mohd. Talib


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian hotline IPD Tangkak di talian 06-9785222 atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Syakirah Kamarulzaman di talian 012-3108970.

"Pihak polis ingin menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan kegusaran awam," katanya ketika dihubungi.

Pihak polis komited dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Orang ramai diharapkan berhati-hati dan jika ada modal sedikit, boleh pasang kamera litar tertutup (CCTV) di luar rumah bagi memantau sekitar rumah jika berlaku kecurian atau kecelakaan pada kemudian hari. 


Balai Polis daerah Tangkak


Sementara itu, penduduk di Parit Bunga Laut, Sungai Mati, Tangkak digemparkan dengan satu penemuan mayat seorang lelaki yang telah reput di Kawasan kebun kelapa sawit pada 3 Februari 2026 lalu.

Penduduk mendapat tahu mengenai kes ini pula sudah rasa seram sejuk memandangkan banyak pula kes penemuan mayat akhir-akhir ini di Malaysia.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian di mana pihak polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan satu mayat lelaki berkenaan di kawasan tersebut pada pukul 3.15 petang pada hari kejadian.


 

Mayat reput tanpa identiti yang ditemukan.


"Pemeriksaan awal mendapati identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti, termasuk status kewarganegaraan, berikutan keadaan mayat yang telah mereput.

"Selain itu, tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian dan siasatan awal dijalankan mendapati tiada unsur-unsur jenayah.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa di bawa ke Hospital Tangkak untuk tindakan selanjutnya.

"Sehubungan dengan kejadian yang berlaku, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, kenalan atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini, diminta untuk tampil membantu siasatan,"katanya beliau.

Roslan juga berkata, orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat mengenai kes ini dengan menghubungi Ketua Polis Balai Sungai Mati, Muar, SM Azaam Nordin di talian 012-2416116 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian 06-978 5222. - KitaReporters

11
7
0
7
0
You will be interested