Menjelang ambang Ramadan yang begitu hampir semua peringkat umur Muslimat, kecil besar dan tua muda menggemblengkan tenaga bagi mencari pahala dengan menzahirkan keringat melalui gotong-royong untuk membersihkan kawasan persekitaran Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak, Selangor.


Mengecat tapak parkir kenderaan turut dilaksanakan secara gotong-royong.
Aktiviti raih pahala pada 7 Februari 2026 tersebut melibatkan pelbagai tugasan seperti mengecat kawasan parkir, mengutip sampah, menukar lampu yang rosak dan memotong pokok bagi memastikan kawasan sekitar senantiasa bersih serta selesa bagi menyambut kehadiran Ramadan Al-Mubarak.
Selain itu menyusun al-Quran dan buku-buku di ruang solat juga menarik minat kaum Muslimat untuk turut sama menzahirkan keringat.
Ternyata aktiviti seawal 8 pagi hingga 12 tengah hari itu mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan menggandakan pahala menjelangnya bulan suci yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam.


Sementara itu, walaupun hanya roti canai percuma yang disediakan bersama teh tarik oleh Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 26 Januari 2026, tetapi bagi para pelajar yang sedang menghadapi musim peperiksaan pada masa itu, ia banyak membantu dan memberi manfaat.

Roti canai percuma hasil sumbangan orang ramai ini mula diedarkan pada jam 5.30 petang hingga selesai melalui Program Dapur Siswa UUM, di bawah inisiatif Dapur Siswa Madani.
Bagi memudahkan para pelajar melalui Program Dapur Masjid Sultan Badlishah ini, ia turut disalurkan melalui Masjid Imam Syafei, Bukit Kachi dan laluan Surau Al-Muqarrabin. - KitaReporters

