Kurang daripada dua minggu lagi, seluruh umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut kedatangan bulan yang penuh barakah dan mulia iaitu bulan Ramadan dan seterusnya bulan Syawal.

Program Kuru Kuru Kongsi Rezeki Awal Persekolahan dan Aidilfitri di Segamat pada tahun lalu (2025) telah mencatatkan sejarah tersendiri apabila penganjur berjaya mengumpul dan mengagihkan sebanyak 50,000 helai baju raya, baju sekolah serta banyak lagi.
Sejujurnya kita wajar berasa sebak dan gembira dengan sikap rakyat Malaysia yang amat pemurah meskipun kita sendiri sedang berjuang menghadapi kehidupan sehari-harian yang mencabar dengan kos sara hidup yang terus meningkat.
Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra, Segamat, Rosnani Aminon, program yang kali kedua diadakan pada tahun 2025 itu berjaya menyantuni lebih 100 buah keluarga.

"Mesti ramai yang tertanya-tanya maksud Kuru Kuru ini apa kan? Ia membawa maksud 'pusingan' atau kitar semula dalam bahasa jepun.
"Jadi, ia sangat bertepatan dengan tema kita di mana pakaian ini adalah sumbangan daripada orang ramai dan kembali disumbangkan kepada orang ramai.
"Anggaran jumlah pakaian terkumpul lebih daripada tahun
2024 iaitu mencapai 50,000 helai termasuk pakaian sekolah dan baju raya untuk
kanak-kanak hingga dewasa.

Sementara itu, Guru Penyelaras program, Azian Abd. Hamid menyatakan objektif utama program ini diadakan adalah berkongsi rezeki berupa pakaian bersama masyarakat yang memerlukan.
"Selain itu, Program Kuru kuru ini dapat membantu ramai orang untuk mengatasi masalah kewangan asbab kos taraf hidup yg kian meningkat.
"Ia juga dapat menggalakkan sikap bersedekah dengan mengumpulkan pakaian dan alatan rumah serta dapur supaya dapat digunakan oleh orang lain.
"Salah satu masalah kita di rumah adalah terlalu banyak pakaian yang tidak lagi dipakai walaupun masih elok. Jadi kita juga dapat bantu orang ramai yang tidak tahu nak letak pakaian yang tidak mahu digunakan lagi di tempat yang betul," katanya.

Menarik bukan Program Kuru Kuru ini? Kita dapat menyelesaikan satu masalah di mana orang ramai sudah ada tempat untuk menyumbang pakaian terpakai dan orang yang memerlukan pakaian sudah tahu di mana mahu mendapatkan pakaian demi kelansungan hidup. - KitaReporters