“Lama dah umi teringin motor ni…” kata warga emas, Azizah Yaakob, 63, dari Taman Pasu di Jitra, sambil menahan sebak selepas menerima motosikal atau skuter roda tiga elektrik sumbangan Kerajaan Negeri Kedah pada 23 Oktober 2025 lalu.

Impian umi yang sudah lama terpendam itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah, hadir sendiri menyerahkan bantuan berkenaan kepada wanita berkenaan di kediamannya.
Bagi Azizah, bantuan itu umpama hadiah besar dalam hidupnya selepas sekian lama hanya mampu menolak kerusi roda ke pekan Jitra setiap hari untuk menjual kuih buatan sendiri.
“Alhamdulillah, syukur sangat... motor ni memang umi dah lama teringin. Umi tak sangka hari ni rezeki umi sampai juga.
"Sekarang nak ke pekan, nak jual kuih atau pergi masjid pun senang,” katanya terharu.

GIGIH MENCARI REZEKI... Azizah Yaakob, 63, menggunakan kerusi roda manual yang menjadi teman setia setiap hari untuk ulang-alik ke pekan Jitra bagi menjual kuih.
Dr Haim berkata, sumbangan skuter elektrik itu bukan sekadar bantuan kebajikan, tetapi pengiktirafan terhadap semangat juang Azizah yang tidak pernah mengeluh walaupun diuji dengan kekangan fizikal dan usia.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa meneliti nasib rakyat yang memerlukan melalui inisiatif Prihatin Rakyat, termasuk bantuan mobiliti dan keperluan asas bagi memudahkan urusan seharian golongan terbabit.
“Kerajaan negeri kagum dengan kecekalan umi yang saban hari menolak kerusi roda ke pekan untuk menjual kuih.
"Bantuan ini diharap dapat memudahkan urusannya dan memberi semangat baharu untuk terus berdikari,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar sentiasa menekankan pendekatan pembangunan berteraskan kesejahteraan rakyat, bukan hanya melalui angka ekonomi, tetapi usaha kecil yang membawa makna besar dalam kehidupan seharian.

Sebelum ini, Azizah sering menjadi perhatian penduduk sekitar kerana kegigihannya mencari rezeki meskipun keadaan kesihatannya terbatas.
Malah, dalam satu kunjungan sukarelawan komuniti baru-baru ini, Azizah pernah menyatakan hasrat untuk memiliki skuter elektrik bagi memudahkan pergerakannya.
Kini, dengan wajah ceria dan senyuman tidak lekang pada bibir, Azizah mampu menarik nafas lega apabila hasratnya benar-benar tercapai.
Program penyerahan bantuan itu turut disaksikan oleh penduduk setempat yang hadir memberi sokongan dan meluahkan rasa bangga terhadap keprihatinan kerajaan negeri terhadap golongan yang memerlukan.

Kisah umi ini menjadi simbol bahawa kasih sayang, empati dan semangat kebersamaan masih kuat dalam masyarakat apabila rakyat dan pemimpin sama-sama memainkan peranan membantu insan yang kurang berupaya. - KitaReporters

SEMANGAT BARU... Azizah mencuba kerusi roda elektrik yang baharu diterimanya.