Semua jentera dan aset Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah digerakkan sepenuhnya untuk membantu mangsa banjir di kawasan-kawasan terjejas khususnya di tujuh negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun jauh di Kenya, beliau tetap mengikuti dengan teliti perkembangan musibah banjir yang semakin memburuk dan menjejaskan lebih 15,000 mangsa di tujuh negeri.
"Menurut laporan yang diterima, NADMA bersama semua aset agensi berkaitan telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi menyelamatkan rakyat yang masih terperangkap, di samping memastikan bantuan segera sampai kepada semua mangsa.
"Selain itu, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga telah dikerah ke Kelantan yang paling teruk terkesan, serta bersedia ke negeri-negeri lain bagi mempercepat operasi menyelamat dan bantuan kecemasan di lapangan," ujar beliau.
Katanya, kerajaan turut menggerakkan Skuad Ihsan Madani ke semua kawasan terjejas untuk membantu menguruskan kebajikan mangsa banjir di hampir 100 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di tujuh negeri tersebut.

Kredit foto: PDRM
Menurut laporan, mangsa banjir di tujuh negeri terus bertambah apabila direkodkan seramai 16,177 orang daripada 5,557 keluarga telah ditempatkan di lebih 106 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 10 malam, 24 November 2025.
"Saya menyeru penduduk di kawasan berisiko untuk kekal waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama apabila diminta segera berpindah. Keselamatan keluarga harus menjadi keutamaan.
"Dalam tempoh yang sukar dan mencabar ini, saya mendoakan agar semua mangsa banjir dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dilindungi daripada sebarang kemudaratan.
"Semoga kita semua dipermudahkan dalam menghadapi ujian ini," ujar beliau lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media

Kredit foto: FB PDRM (Official)