Memang benar kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Begitu juga perumpamaan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Siapa sangka seramai 515 peserta orang kurang upaya (OKU) telah berhimpun dalam satu acara mewarna batik dan berjaya melakar sejarah apabila tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penyertaan OKU teramai dalam mewarna batik pada 20 Disember 2025.
Batik gergasi sepanjang 60 meter yang dihasilkan ini adalah batik terpanjang pernah dihasilkan oleh OKU teramai dalam tahun ini (2025).


Antara yang terlibat adalah OKU penglihatan, pendengaran, pembelajaran, autisme, sindrom Down, pertuturan dan fizikal.
Mereka berhimpun dalam satu acara mewarna batik yang sarat dengan nilai keterangkuman, kreativiti dan kebersamaan.
Program anjuran Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM serta AEON Co. (M) Bhd menyediakan ruang yang selamat dan positif untuk para peserta mengekspresikan diri melalui seni. - KitaReporters


Para peserta bersama pihak penganjur semasa majlis pengiktirafan OKU.