ukarelawan Free Market Bandar Baru Bangi Community (BBBC) akan mengadakan program Free Market BBBC: Beri Dan Terima SBuku Percuma pada 28 September 2025. Ia akan diadakan di Open University Malaysia (OUM) Bangi Learning Centre, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. - KitaReporters

Program Free Market (Pasaran Bebas) yang dijalankan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau komuniti ialah inisiatif kebajikan di mana barangan keperluan seperti pakaian, makanan, buku, dan barangan rumah diberikan secara percuma kepada mereka yang memerlukan, tanpa sebarang bayaran.
Ia bertujuan membantu sesiapa sahaja tidak kira anda golongan B40 atau mereka yang terjejas.
Free Market menggalakkan amalan memberi dan semangat komuniti selain mengurangkan pembaziran dengan mengitar semula barang yang masih elok.
Free Market juga bertujuan meringankan beban golongan memerlukan, menggalakkan budaya berkongsi, mengurangkan pembaziran barangan terpakai dan memupuk empati dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat.

Gambar hiasan... Program "Free Market" Beri Dan Terima Buku Percuma anjuran Sukarelawan BBBC hanya memberi fokus kepada buku kerana mahu menyemarak budaya membaca di kalangan masyarakat, terutamanya anak-anak dan remaja.
Melalui program Free Market, orang ramai menyumbang barang masih elok seperti pakaian, kasut, mainan, buku dan makanan kering manakala sukarelawan akan menyediakan lokasi, tapak, dan logistik. Penerima boleh datang dan mengambil secara percuma.
Justeru, bagi penduduk Lembah Klang terutama sekitar Bandar Baru Bangi, Selangor tandakan tarikh ini, 28 September 2025 (Ahad) kerana Sukarelawan Free Market Bandar Baru Bangi Community (BBBC) akan mengadakan program Free Market BBBC: Beri Dan Terima Buku Percuma.
Ia akan diadakan di Open University Malaysia (OUM) Bangi Learning Centre, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor. Program bermula dari jam 8 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Gambar hiasan... Pelbagai aktiviti sampingan boleh diadakan terutama untuk kanak-kanak bagi memeriahkan suasana program.
Pada hari itu, anda boleh membuka bonet kereta masing-masing atau menyerahkan buku-buku terpakai yang tidak digunakan lagi dan serahkan kepada sukarelawan. Jika berminat, anda juga boleh datang untuk mengambil mengikut keperluan secara percuma.
Program itu mendapat kerjasama Open University Malaysia (OUM) Bangi Learning Centre, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 16 Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Pembangunan Masyarakat MPKj, Parlimen Bangi, Penyelaras DUN Sungai Ramal dan Bekind Malaysia.
Ia juga diadakan bersempena Hari Terbuka dan Ulang Tahun OUM ke-25. OUM juga adalah tuan rumah, penaja lokasi, jamuan, cenderahati VIP dan sukarelawan.
Urusetia Program, Khansa' Zulkiflee, berkata pihaknya hanya menerima buku pendidikan dan ilmu, buku kanak-kanak, buku bacaan umum, majalah bermanfaat, komik dan novel.

Khansa' Zulkiflee
Beliau berkata, orang ramai mengelak daripada menyumbang buku rosak atau tidak lengkap, buku tidak sesuai dari segi kandungan, buku politik dan propaganda, buku komersial yang tidak memberi nilai dan buku agama kecuali diurus sendiri oleh pemberi.
"Bagi program kali ini, kami hanya memberi fokus kepada buku kerana mahu menyemarak budaya membaca dalam kalangan masyarakat, terutama anak-anak dan remaja.
"Selain itu, buku terpakai seringkali disimpan dan tidak dimanfaatkan, sedangkan ia masih boleh memberi ilmu dan manfaat kepada orang lain. Ini juga bertepatan dengan musim cuti persekolahan dan keperluan bahan bacaan di rumah.
"Sasaran kami adalah semua lapisan masyarakat, khususnya pelajar dan keluarga B40 yang mungkin tidak mampu membeli buku baharu. Tapi, ia terbuka kepada semua - anda boleh memberi dan menerima buku secara percuma," katanya.

Gambar hiasan... Sasaran Free Market anjuran Sukarelawan BBBC ialah semua lapisan masyarakat, khususnya pelajar dan keluarga B40 yang mungkin tidak mampu membeli buku baru.
Matlamatnya, kata Khansa ialah menggalakkan budaya membaca dan perkongsian ilmu dalam kalangan masyarakat, mengurangkan pembaziran dengan memberi nafas baharu kepada buku yang masih elok dan mewujudkan jaringan komuniti berasaskan sumbangan ikhlas selain semangat kekitaan tanpa mengira latar belakang.
"Ya, program pada 28 September 2025 khusus untuk buku terpakai. Maksudnya, barangan terpakai seperti pakaian memang tidak dibenarkan. Tapi jika ada pihak ingin menderma pakaian terpakai, mereka perlu menguruskannya sendiri dari mula sehingga selesai," katanya.
"Saya berharap Free Market BBBC: Beri Dan Terima Buku Percuma ini mendapat sambutan dan menjadi titik tolak kepada program seumpama ini pada masa hadapan. Jika sambutan baik, kami bercadang menjadikannya acara tahunan atau berkala, mungkin dengan tema berbeza-beza.
"Program Free Market pakaian terpakai tetap diteruskan mengikut kesesuaian masa dan keperluan komuniti," katanya.

Gambar hiasan... Jika ada pihak ingin menderma barangan selain buku, mereka perlu menguruskan sendiri dari mula sehingga selesai.
Sementara itu, pelbagai acara sampingan diadakan sempena program itu, antaranya pemeriksaan kesihatan percuma oleh Klinik Salam, Ujian pap smear HPV DNA (percuma) - secara kendiri oleh LPPKN, pendaftaran ujian subsidi mamogram (percuma) oleh LPPKN dan aktiviti kanak-kanak Percuma oleh SedeqahSquad
Hubungi Khansa' Zulkiflee melalui talian 011-37924585 jika mahu mendapat maklumat lanjut mengenai program "Free Market BBBC: Beri Dan Terima Buku Percuma. - KitaReporters