Setuju atau pun tidak, Muslim daripada kalangan mualaf atau revert memiliki kelebihan untuk berdakwah dan mereka dapat menarik bukan Muslim kepada Islam dengan lebih mudah. Kebiasaan individu itu sudah membuat perbandingan antara agama sehingga sampai ke tahap faham dan yakin dengan kebenaran Islam dan kitabnya, al-Quran. - KitaReporters

Pendakwah asal mualaf, Dondy Tan (kiri) berkongsi ilmu mengenai sejarah @ asal usul agama lain dan kaitan antaranya (agama) kepada rakan pendakwah Ustaz Fatih Karim (kanan). - Kredit foto: Youtube Dondy Tan
Setuju atau pun tidak, Muslim daripada kalangan mualaf atau Muslim revert memiliki kelebihan untuk berdakwah dan mereka dapat menarik bukan Muslim kepada Islam dengan lebih mudah.
Tidak dinafikan bukan senang bagi seseorang menukar agama, melainkan dia sudah benar-benar faham mengenai ketuhanan Islam. Kebiasaan individu itu sudah membuat perbandingan antara agama sehingga sampai ke tahap faham dan yakin dengan kebenaran Islam dan kitabnya, al-Quran.
Sebelum menyertai Islam mereka sudah kaji dengan mendalam fakta dalam al-Quran dan telah berkali-kali khatam terjemahannya.
Pernah dengar cerita mengenai bukan Muslim sengaja ingin mencari kesalahan dalam kitab al-Quran gagal menemui sebarang kesilapan mahupun percanggahan, akhirnya menerima Islam? Bukan satu dua, bahkan banyak juga kisah pengalaman seperti itu.
Kegagalan menemui kesalahan atau kelemahan dalam kitab al-Quran menyebabkan individu itu akhirnya mengalah membuang keegoan taksub terhadap agama asal, lalu meninggalkannya untuk menjadi Muslim.
Ini disebabkan akhirnya mereka sedar betapa logiknya ajaran Islam berbanding agama asal mereka.

Kejayaan pendakwah Dr Zakir Naik, menarik ramai bukan Muslim kepada Islam adalah kerana beliau pakar dalam perbandingan agama. - Kredit foto: YouTube Dondy Tan
Memahami konsep ketuhanan kedua-dua agama atau pelbagai agama, dengan pertimbangan akal fikiran waras individu itu akhirnya dapat menentukan yang mana betul dan salah, yang mana logik atau pun tidak, bersandarkan penelitian ayat dan surah dalam kitab kitab terbabit.
Dengan pemahaman yang meluas dalam pelbagai agama, menjadi asas yang kuat untuk berdebat atau menyampaikan penerangan dalam dakwah.
Buktinya kekuatan Dr Zakir Naik, pendakwah tersohor asal India menarik ramai bukan Muslim kepada Islam adalah kerana beliau pakar dalam ilmu perbandingan agama, selain fasih berbahasa Inggeris.
Pengetahuan dan kefahamannya dalam pelbagai agama memudahkan beliau untuk berbahas berdasarkan fakta dengan rujukan ayat-ayat dalam pelbagai kitab.
Berapa ramai daripada kalangan Muslim (sejak lahir) yang rajin mengkaji perbandingan agama? Rata-rata kita dididik supaya tidak mendekati agama lain seperti Kristian menyebabkan kita takut untuk menyentuh kitabnya, apatah lagi membaca.
Pada hal pengetahuan mengenai ketuhanan agama lain, memudahkan individu itu untuk berhujah bersandarkan bukti petikan ayat daripada kitab kitab terbabit.
Dalam video di atas ini, Dondy Tan mengislamkan dua anak muda sewaktu mengunjungi Rumah Quran Yayasan Garda Mualaf, tempat tinggal saudara baru yang tiada rumah selain di sini juga mereka belajar Islam dan quran (tahfiz). - Kredit video: YouTube Dondy Tan.

Felix Siauw
Dennis Lim
Di Indonesia, ada beberapa Muslim asal mualaf, gigih berdakwah seperti Dondy Tan, Felix Siauw dan Dennis Lim. Memiliki latar belakang berbeza, namun sama dalam perjalanan spiritual yang membawa mereka kepada Islam.
Pendakwah Dondy Tan yang juga pempengaruh tersohor melalui saluran media sosialnya dan kerap memaparkan aktiviti dakwah yang dilakukan dengan gaya santai dan bersahaja.
Arif dalam Islam, Dondy Tan yang asalnya beragama Buddha juga tahu mengenai asal usul Kristian, serta bijak menyampaikan dakwah secara berdebat. Mengidolakan pendakwah Dr Zakir Naik, namun beliau juga mempunyai cara tersendiri dalam persembahan dakwahnya.
Menurut SINDOnews Kalam, nama asalnya Dondy Tan Susanto dari keturunan Tionghoa, menjadi mualaf pada 2014 setelah mempelajari Islam selama tujuh tahun.
Proses pencariannya membabitkan penelitian dan perbandingan Al-Quran dengan agama sebelumnya, dan ia akhirnya meyakini bahwa al-Quran adalah kitab suci kerana kandungannya yang sesuai dengan logika dan sains.
Kini giat berdakwah menerusi Yayasan Garda Mualaf Indonesia yang diasaskannya. Boleh tonton kegiatannya menerusi konten di saluran YouTubenya, bernama Dondy Tan.
Video dakwah santai Dondy Tan kepada anak muda Muslim yang tertarik kepada Kristian Katolik dan ingin dibaptis. Penerangan jelas membabitkan rujukan antara kitab Muslim dan Kristian telah menyedarkan anak muda ini mengenai kebenaran Islam. - Kredit video: Youtube Dondy Tan.
Yayasan Garda Mualaf Indonesia adalah sebuah yayasan bertujuan membantu dan membimbing orang yang tertarik masuk Islam serta membina dan memperkuat keimanan umat Islam yang ingin murtad selain membantu mualaf dalam menghadapi pelbagai permasalahan, menyediakan bantuan perundangan dan melakukan perang pemikiran.
Turut disediakan Rumah Quran yang menempatkan mualaf dan bukan mualaf yang ketiadaan tempat tinggal, di samping menyediakan kelas pembelajaran Quran dan menghafal.
Dondy Tan pantas memberi ceramah dan membimbing mualaf di bawah Yayasannya. Luasnya ilmu dan kefahaman beliau mengenai sejarah agama dan apa yang terkandung dalam kitab al-Quran Islam dan kitab kitab Kristian, pengetahuan mengenai siapa nabi Isa, Yesus dan Paulus misalnya, memudahkan beliau untuk memahamkan pendengar sewaktu berdakwah.
Dengan itu tidakkah wajar bagi pendakwah Muslim (sejak lahir) tahu juga mengenai sejarah dan fakta agama lain sebagai sokongan untuk mereka berdakwah?
Video Ustaz asal Muslim, Fatih Karim belajar sejarah@asal usul Kristian daripada Dondy Tan, bagaimana daripada agama monotheism bertukar trinitas dan bagaimana perkaitannya dengan Yahudi. Di akhirnya, Fatih mengakui penerangan pendakwah asal mualaf itu meningkatkan lagi keyakinannya kepada Islam. - Kredit video: Youtube Dondy Tan
Atas alasan itu, seorang ustaz asal Muslim di Indonesia tampil belajar dengan ustaz mualaf, Dondy Tan (asal Buddha) mengenai asal usul @ sejarah Kristian.
Ustaz asal Muslim itu diperjelas panjang lebar mengenai asal kepercayaan Kristian yang dikatakan daripada monotheisme dan Paganisme.
Ingin tahu selanjutnya? Bersabarlah menonton dialog santai antara Dondy Tan dan Ustaz asal Muslim (Fatih Karim) selama sejam lebih, di video yang disertakan.
Kesimpulannya di sini, ilmu mengenai pelbagai agama itu penting untuk berdakwah, dengan hanya arif dalam Islam, takut nanti kalah berbahas sebelum bermula. Bagaimana hendak menyanggah fakta lawan daripada agama lain jika tidak tahu menahu mengenai hal yang perkatakan pihak satu lagi itu?
Bagi yang berilmu luas, pantas sahaja dapat mengupas pernyataan dari sudut kedua-dua agama dan membandingkannya dalam menunjukkan kebenaran.
Hidayah memang milik Allah, tetapi penerangan yang jelas dan kukuh mampu membantu memahamkan pihak lawan dalam sesuatu hal yang dibangkitkan.

Pendakwah asal mualaf yang juga pempengaruh di Indonesia, Dondy Tan
Mengidolakan Dr Zakir Naik sebagai indvidu yang mempengaruhinya kepada Islam, kata Dondy Tan beliau mengikut teknik Dr Zakir Naik berdakwah iaitu melalui perbahasan @ perbandingan agama namun dilakukan dengan gayanya tersendiri.
Sopan dan lembut tutur katanya, terkadang tegas serta lantang apabila perlu. Itulah rahsia kejayaannya berdakwah.
Pendakwah asal mualaf yang telah berjaya mengislamkan ramai secara indvidu, berkumpulan, sekeluarga, daripada kalangan biasa mahupun bekas pendeta. - KitaReporters