Tan Lek Khang beramah mesra dengan tetamu yang hadir ke Jamuan Aidilfitri PKJPM di Gelanggang Bola Keranjang Bekok, Johor.
Tan Lek Khang (kanan) merakam gambar kenangan bersama Hamzah Zainudin ketika Jamuan Aidilfitri PKJPM di Dewan Bola Keranjang Bekok, Johor pada 12 Mei 2024.
Lebih 200 murid di beberapa sekolah di Cha'ah dan Bekok, Johor mendapat menafaat penganjuran program tuisyen percuma anjuran Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin Malaysia (PKJPM) yang turut mendapat kerjasama guru-guru serta pentadbiran sekolah terbabit sejak sebulan lalu.
Pengerusi PKJPM, Tan Lek Khang berkata, sebelum ini pihaknya aktif menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan dan kewangan kepada golongan yang memerlukan, namun semua itu lebih bersifat penyelesaian jangka pendek sahaja.
"Kami sedar perlu ada pelan jangka panjang yang dapat membantu golongan kurang berkemampuan keluar daripada belenggu kemiskinan dan antara senjata paling ampuh dalam usaha membasmi kemiskinan adalah pembangunan pendidikan dalam kalangan anak-anak mereka.
Tan Lek Khang (kiri) memerhati Hamzah menyampaikan motosikal hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang tetamu bertuah.
"Program kelas tambahan yang kami anjurkan ini merupakan salah satu usaha memastikan anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan mendapat peluang untuk maju dalam pelajaran seperti rakan mereka daripada keluarga berkemampuan," katanya kepada pemberita semasa Jamuan Aidilfitri PKJPM di Gelanggang Bola Keranjang Bekok, Johor pada 12 Mei 2024.
Lebih 2,000 penduduk setempat hadir memeriahkan program yang turut dihadiri Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Pengunjung turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk lima buah motosikal dan barangan elektrik yang disediakan sebagai hadiah cabutan bertuah.
Menurutnya, menjelang akhir tahun ini pihaknya bercadang untuk memperluas program kelas tambahan itu kepada murid tahun satu hingga tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) berbanding hanya melibatkan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ketika ini.
Acara memotong kek sebagai simbolik sambutan Hari Ibu ketika Jamuan Aidilfitri PKJPM di Gelanggang Bola Keranjang, Bekok, Johor.
Katanya, peringkat permulaan ini mata pelajaran terlibat adalah Bahasa Melayu dan dalam masa sama dia tidak menolak untuk menambah subjek teras lain sekiranya terdapat keperluan pada masa akan datang.
"Saya percaya jika kita membangunkan pendidikan anak-anak golongan kurang berkemampuan secara menyeluruh, kita akan mampu menangani masalah kemiskinan walaupun mungkin tidak mampu mengatasi sepenuhnya.
"Saya harap usaha murni PKJPM ini akan membuka mata pihak lain untuk sama-sama berganding bahu dengan kami menghulurkan tangan membantu golongan kurang berkemampuan bukan sahaja dalam bentuk barangan keperluan harian, malah apa yang lebih penting memastikan pembangunan pendidikan anak-anak golongan miskin secara berterusan." katanya. - KitaReporters
Kemesraan jelas tergambar antara tetamu dan Tan Lek Khang ketika Jamuan Aidilfitri PKJPM di Dewan Bola Keranjang Bekok, Johor.
Tags: