Hari indah hari barokah. Rezeki juga melimpah ruah. Andai ingat bersedekah, buat segera jangan berlengah.
Sedikit banyak bukan ukuran. Yang dinilai oleh Allah keikhlasan. Kepada insan golongan pilihan. Moga kita dapat keberkatan.
Kita buat, kita dapat. Amalan baik, elok teruskan. Dari membuang masa, baik kutip pahala, tambah saham akhirat.
Cara macam mana tak kisah asal buat.
Demikian luahan Yati, seorang pesara, juga seorang rakan yang baik hati. Sangat suka menolong orang terutama di kampung-kampung.
Mengenali Yati satu anugerah. Kami berkongsi aktiviti dan minat yang sama. Mensyukuri nikmat Allah dan menyantuni yang memerlukan.
Istimewanya hamba Allah bernama Yati ini adalah cara dia membantu orang.
Mengisi bonet kereta dengan keperluan harian seperti minyak, tepung, susu, telor, beras dan biskut, dia memandu kereta bersama rakan-rakan sejiwa dengannya masuk ke kampung-kampung mencari asnaf yang perlukan bantuan.
Saya pula tumpang sedekah Telekung Wakaf Siti Aishah juga sumbangan hamba-hamba Allah yang berhati mulia pilihan Allah.
Sepanjang jalan jika terjumpa orang berjualan sayur-sayuran atau buah buahan, kami akan berhenti dan memborongnya untuk disedekahkan.
Itulah rutin mingguannya. Paling tidak dua kali sebulan. Menjelang Ramadan semakin ligat langkah Yati dan grupnya. Ada kala sampai berkonvoi kereta.
Seronok dapat berjemaah dalam kerja kerja amal begini. Singgah masjid bersolat dan beramah mesra dengan orang kampung. Makan ABC dan cendol, sambil borak borak, eratkan silaturahim.
Kata Yati, hendak sedekah banyak tak mampu, ini sahaja yang ada. Cara saya. Cara kami. Moga Allah terima dan berkati. Insya-Allah.
Tidak semua orang, Allah hadiahkan hati yang bersih, ikhlas dan mahal. Hanya yang terpilih dan Yati antaranya yang dipilih oleh Allah.
Khabarnya Yati masih teruskan aktivitinya. Saya pula rindu saat-saat itu. Semoga Allah sentiasa buka jalan untuk Yati dan grupnya terus beramal. Kerja baik jangan berhenti.
Saya juga mendoakan perkara yang sama. Mudah-mudahan saya dapat terus berbuat amal terutama menjelang Ramadan nanti.
Iktibar dari kisah ini:
Jangan kedekut untuk bersedekah. Tidak jatuh miskin jika bersedekah malah Allah gandakan pahala.
Kita harus ingat, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Kena kongsi. Jangan tamak dengan rezeki yang ada, Allah tak suka.
Walau hampir kehabisan wang, insya-Allah Allah akan datangkan rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka, jika rajin bersedekah.
Mereka yang tidak bersedekah jiwanya tidak tenang, resah dan sentiasa merasa tidak cukup pada hal hidup tak pernah susah.
Jangan tunggu orang minta. Hulurkan melalui gerak hati. Peka keadaan keliling, perhati.
Ada insan yang menanti. Untuk sesuap nasi, seteguk air. Buat menyambung, tarikan nafas. Menghadap esok yang entah bagaimana. Bersama doa, usaha dan tawakal. Sambil berserah kepada Allah.
Keluarkan sedikit harta untuk bersedekah, agar Allah memberikan kita janji-janji mulia-Nya tentang ganjaran bersedekah.
Sedikit tidak mengapa asal ada. Jangan sampai tak buat langsung!! - KitaReporters