JANUARI 2024 menjadi bulan yang sedikit mengejutkan rakyat England selepas khabar Raja Charles menjalani rawatan berjadual akibat prostatnya yang kian membesar dan dalam masa yang sama, menantunya, Kate Middleton melalui rawatan pemulihan di hospital, London selepas pembedahan abdomen.
Majalah people memetik jurucakap istana melaporkan pembedahan Kate tiada kaitan dengan barah dan tidak berbahaya manakala Raja Charles pula dijangka menjalani rawatan prostat itu tanpa penjelasan lanjut.
Pihak istana mahu mendiamkan maklumat rasmi mengenai kesihatan raja dua beranak tersebut.
Istana juga tidak memberitahu apa pembedahan abdomen yang dilalui Kate yang juga isteri Putera Wales, William yang akan ditabalkan sebagai raja selepas bapanya.
Merujuk kepada keadaan Kate yang dilaporkan diletakkan dalam pengawasan rapi membuatkan seisi istana gementar apalagi warga negara itu yang baru saja kehilangan Queen Elizabeth II dan Putera Philip dalam jarak masa yang rapat..
Berdasarkan laporan Hospital Mount Sinai, pembedahan abdomen boleh membabitkan salah satu prosedur organ iaitu appendik, pundi kencing, hempedu, usus, buah pinggang, tiub yang bersambung ke ginjal, hati, pankreas, limpa, perut atau Uterus, tiub falopia dan ovari.
"Raja Charles, 75, mengambil peluang melawat Puteri Wales, 42, yang kini sudah beransur sembuh selepas menjalani pembedahan di hospital di London sebelum baginda menjalani rawatan untuk dirinya," demikian dilaporkan jurucakap kepada Majalah People itu.
Sebelum itu, William mengambil keputusan menangguhkan sebarang tugasan menghadiri dan merasmikan acara keluarga diraja termasuk lawatan ke luar negara berikutan mahu menjaga tiga anaknya dan berada di sisi isterinya. Kate diberi cuti selama dua minggu sehingga Easter (31 Mac 2024) bagi memastikan keadaan benar-benar sembuh.
The Sun melaporkan hampir setiap hari William berada di sisi isterinya dan menguruskan anak-anak sekolah yang selama ini dibuat oleh Kate. Malah isteri tengku mahkota itu tidak lupa bertanyakan perihal anak-anaknya walaupun mereka masih belum boleh bertemu dengannya.
William tidak disediakan dengan ramai kakitangan menyebabkan dia perlu membahagikan masa menjaga Putera George, 10, Puteri Charlotte, 8, dan Putera Louis, 5 dibantu oleh seorang pengasuh di Istana Windsor.
Pasangan itu dalam Instagram mereka meminta maaf kepada pihak terbabit dengan penangguhan acara itu.
Kate selamat dibedah pada 16 Januari, 2024 dan Istana Buckingham turut mengesahkan Raja Charles juga akan dirawat di hospital yang sama untuk rujukan rawatan yang dijadualkan.
Kate Middleton bersama Puteri Charlotte, Putera George, William dan Putera Louis meraikan Krismas 2023 iaitu hari terakhirnya menyertai acara awam. - Kredit gambar: Mark Cuthbert/UK Press Via Getty
Sebelum ini ada penganalisis diraja meramalkan tahun ini sekali lagi kerabat diraja itu akan melalui satu lagi "kematian" seseorang yang penting.
Malah ada pula yang mendakwa Kate dirawat bukan sakit apapun. Ia lebih kepada kemurungan yang dilaluinya akibat media massa negara tu menuduh William mempunyai skandal menyimpan gundik yang merupakan kawan baik mereka juga.
Sehingga ada gosip liar khabarnya, Putera Harry mungkin diminta kembali ke istana untuk mewakili acara keluarga diraja dan paling "menakutkan" mengaitkan mungkinkah Harry ditabal naik takhta! - KitaReporters