Insan & Komuniti 04 Feb, 2021

Perundangan taman Sabah! Asbab Ustaz Ebit Lew tangguh misi bantuan di pulau sekitar Semporna!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this


Masyarakat satu Malaysia yang terkedu dengan berita Ustaz Ebit Lew (UEL) memberhentikan bantuan di pulau sekitar Semporna, masih tertanya-tanya sebab larangan dan apakah kesalahan yang dilakukan membuat beliau boleh dikenakan denda RM100,000 dan penjara 3 tahun.

Pelbagai ulasan netizen, sesetengah setakat meluah komen sesuka hati, manakala ada juga ulasan mungkin betul.

Bagi yang tidak tahu hal, memang terkejut, tetapi bagi orang di sekitar kawasan terbabit mungkin lebih arif, alasan mereka lebih logiknya. Paling banyak komen berkait fakta `kawasan itu berbahaya.'


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Ustaz Ebit Lew:

https://kitareporters.com/search?search=ebit+lew


Pemandangan perairan Pulau Tetagan tempat kunjungan Ustaz Ebit Lew dalam misi bantuannya baru-baru ini. Penduduk berperahu yang dikatakan tiada warga negara itu bagaikan salah satu daripada tarikan semula jadi Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) itu. - Kredit foto: PulauMabul.com


Ada kata UEL main terjah (tanpa perancangan), ada kata mungkin sebab keselamatan, dua-dua tak mungkin sebab UEL sudah buat perancangan teliti, timnya diiringi ahli pengawal keselamatan siap bersenjata (PDRM, PGA, ATM) dan pelbagai pihak membantunya dari segi pengurusan membawa barangan.

Soal menimbulkan fitnah, menyebabkan orang lain yang bertanggunjawab dalam hal `penjagaan` kawasan di sana tersinggung, bukan juga masalah besar, takkan sampai kena penjara dan RM100,000 dendanya? 

Lagi pun UEL ada sebut, dia tahu ramai sudah pihak yang membantu sebelumnya, bahkan beliau menyebut sambil memberi penghargaan kepada pihak-pihak terbabit. Jadi apakah sebabnya?

Ulasan dalam laman Facebook (FB) Sabah Edition, rasanya boleh diterima akal.

“Hari ini, satu Malaysia terkedu dengan kenyataan UEL di FB berhubung penangguhan program bantuan di pulau sekitar Semporna. UEL memaklumkan antara hukuman, boleh dikenakan denda RM100,000 dan penjara 3 tahun. Keadaan itu menyebabkan timnya menangguh pembinaan sekolah kecil dan pusat kegunaan masyarakat yang diutarakan beberapa hari sebelumnya.”

Menurut Sabah Edition lagi, admin (mewakili masyarakat Sabah secara tidak rasmi), menyambut baik dan berterima kasih kepada pasukan UEL kerana sudi membantu masyarakat di seluruh Malaysia termasuk Sabah, khususnya masyarakat Palauh di Semporna.


Indahnya perairan Sibuan, salah satu pulau di Taman Marin Tun Sakaran. - Kredit foto: Global Lepa Car Rental & Tours


Memetik perkongsian seorang temannya berhubung situasi berkenaan, menurut admin lagi:

“Namun, admin tertarik dengan perkongsian seorang teman berhubung situasi ini termasuk PERUNDANGAN DI BAWAH TAMAN-TAMAN SABAH yang sudah termaktub dan antara kesalahannya MEMBINA APA-APA BANGUNAN DI DALAM SESUATU TAMAN, dan hukumannya denda RM100,000, penjara 3 tahun jika sabit kesalahan, iaitu sama dengan kenyataan denda yang dimuat naik di Facebook UEL sebelum ini.”

Dalam muat naik status di FB beliau, UEL hanya menyebut kesalahan denda tetapi tidak memberitahu hukuman itu berkait kesalahan apa, membuat orang ramai tertanya-tanya apa sebenarnya kesalahan boleh membawa kepada hukuman itu? Jadi masyarakat, terutamanya netizen, yang prihatin resah dan berteka-teki.

 "Sebagai rekod; kawasan PULAU TETAGAN termasuk dalam gugusan TAMAN MARIN TUN SAKARAN (TMTS), seperti juga Pulau Bohey Dulang, Sibuan dan sebagainya. Justeru, admin berpendapat secara tidak langsung, termaktub dalam perundangan Taman-Taman Sabah juga.”

Posting itu turut membentangkan perkongsian pencarian di Wikipedia mengenai Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), yang jelas menyebut kedudukan pulau-pulau yang ada dalam gugusan Taman itu.



Keindahan panorama pesisiran laut Pulau Selakan di Semporna, Sabah. - Kredit Foto: Facebook Semporna Di Hati 


Selain itu, admin itu juga berpendapat, kawasan perairan Semporna sering menjadi sasaran jenayah rentas sempadan dan penculikan dari negara jiran, jadi sebarang perancangan pembangunan, perlu melalui penelitian dan perancangan rapi bagi berdepan sebarang kemungkinan terutama membabitkan aspek keselamatan negara. Namun tambahnya lagi, catatannya itu hanyalah pandangan admin.

Selain itu, memetik maklumat sokongan bersumberkan Wikipedia, antaranya kata admin, "Semporna adalah daerah yang sangat berpotensi dalam meningkatkan ekonomi dalam sektor pelancongan bukan sahaja di negeri Sabah tapi Malaysia."

Turut diulas, latar belakang pembentukan TMTS sepintas lalu. “Pada 2004, Mohd Lan Adun Sulabayan, ialah individu bertanggungjawab dalam menggubal undang-undang dan terbabit dalam meluluskan pulau-pulau di TMTS, selain menyebut 6 perkara dalam Warta Kerajaan Negeri Sabah mengenai Perisytiharan Taman Marin Tun Sakaran 22 Julai 2004. Ada di antara pulau itu dikatakan mempunyai pemilik atau pewarisnya."


Ustaz Ebit Lew menghentikan usaha pembinaan tiga sekolah di Pulau Tetagan untuk kegunaan anak Bajau Laut berkait isu halangan yang timbul. - Kredit Foto - Facebook UEL.


Sehingga kini kawasan kira-kira 35,000 hektar yang terletak di permukaan laut Teluk Darvel, meliputi pulau Bodgaya, Selakan, Boheydulang, Tetagan, Sibuan, Maiga, Sebangkat dan Mantabuan bersama-sama dengan terumbu karang yang mengelilingi pulau itu. Individu bertanggungjawab ke atas tergubalnya undang-undang melindungi pulau di sekitar Semporna sehingga diwartakan pada tahun 2004, harus disanjungi, tulisnya.

Tertarik dengan 6 perkara mengenai hak-hak keistimewaan yang jelas menunjukkan bahawa ia sangat berguna kepada pemilik dan waris TMTS iaitu anak jati tempatan Semporna yang mempunyai peluang dalam memajukan pelancongan negara Malaysia khususnya daerah Semporna.

Pulau-pulau yang ada di TMTS boleh dikatakan bertahap 'World Class' sebagai contoh, aktiviti diving dan sebagainya, jelas menunjukkan ada tarikan tersendiri yang mampu menarik pelancong antarabangsa. 

Sebagaimana kita ketahui taman-taman laut di negara ini, ada peraturan dan larangannya. Ada juga netizen menyebut, memberi bantuan kepada orang susah di situ mungkin tak jadi hal, tetapi membuat binaan kekal mungkin tidak dibolehkan.

Respon kepada larangan diterima, UEL serta merta mengumumkan penangguhan misi bantuan yang dirancang buat masyarakat dalam kawasan terbabit, dan meneruskan misi bantuan ke tempat lain di negeri itu.

Semoga ada jalan lain mengikut peraturan yang membolehkan UEL meneruskan bantuan dan dakwahnya di kepulauan berkenaan, terutama hasrat mengadakan tempat selesa untuk mengajar. 


Anak-anak Bajau Laut yang berkumpul sewaktu kedatangan UEL dalam misi menyampaikan bantuan kepada orang susah di Semporna Sabah. - Kredit foto: Facebook Ebit Lew.





Apa pun, MAKLUM BALAS KEPADA KENYATAAN USTAZ EBIT LEW PADA 02 FEBRUARI 2021 DALAM MEDIA SOSIAL daripada pihak TAMAN TAMAN SABAH pada 3 Februari 2021, menjawab persoalan ramai mengenai kemusykilan kes UEL di pulau perairan Semporna, Sabah.

Menurut kenyataan itu, susulan aduan dan kenyataan dimuat naik dalam media sosial bernama Ebit Lew pada 2 Februari 2021, pihak Taman-Taman Sabah mendapati kawasan pulau-pulau di Semporna dimaksudkan beliau adalah kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Semporna.

Sebagaimana telah dimaklumkan dalam media sosial rasmi Taman-Taman Sabah pada 12 Januari 2021, seluruh kawasan Taman-Taman Sabah ditutup sementara kepada orang awam bermula 13 Januari 2021 selaras arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, menurut kenyataan itu lagi:

  • Rombongan Ustaz Ebit Lew adalah rombongan orang awam yang tertakluk kepada SOP Perintah Kawalan Pergerakan dan pada masa sama pihak Taman-Taman Sabah tidak menerima makluman awal untuk kebenaran khas memasuki kawasan TMTS, Semporna.
  • Selain itu, pembinaan struktur bangunan di dalam kawasan TMTS juga tertakluk kepada prosedur dan garis panduan telah ditetapkan. Perkara ini berkaitan kepentingan komuniti penuntut hak waris di pulau-pulau ini seperti terkandung dalam Surat Pewartaan Taman Marin Tun Sakaran tahun 2004.
  • Pihak Taman-Taman Sabah membenarkan rombongan Ustaz Ebit Lew memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran hanya setelah mendapat makluman daripada pihak Majlis Keselamatan Negara.
  • Pihak Taman-Taman Sabah sangat menyokong usaha murni bantuan prihatin yang disalurkan kepada komuniti di dalam semua Taman di seluruh Sabah.
  • Kebenaran khas diperlukan untuk memasuki mana-mana kawasan Taman yang kini ditutup kepada orang awam sepanjang tempoh PKP.
  • Taman itu kini dalam fasa rekuperasi atau kerehatan daripada gangguan pelancong dan pelawat taman.
  • Perlindungan dan pemuliharaan alam semulajadi taman di seluruh Taman-Taman Sabah akan tetap diteruskan termasuk semasa tempoh Pelaksanaan PKP pandemik Covid-19 dan tempoh perintah berkurung di seluruh negara.

Semoga penjelasan dan kenyataan ini meredakan sedikit sebanyak kekalutan dan keriuhan berkenaan apa yang berlaku ke atas ustaz kesayangan ramai, Ustaz Ebit Lew itu. - KitaReporters


 

 

3
1
0
1
0
You will be interested