Insan & Komuniti 28 Apr, 2020

SYABAS!! SKUAD UNITI KRT BESUT CAKNA RAKYAT

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

KETIKA banjir mereka meredah air, apabila kerajaan mengistiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19 yang sedang melanda negara, tugas mereka membantu komuniti dari rumah ke rumah tetap digerakkan demi menunaikan slogan “Cakna Rakyat”. : KitaReporters

Sukarelawan Skuad Uniti Besut bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut, Kuala Besut dan Kota Putera ziarah rumah penduduk


Begitulah khidmat bakti yang dilakukan Skuad Uniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Besut, Terengganu yang sentiasa aktif mendekati rakyat dengan pelbagai aktiviti sosial dan kebajikan demi membantu komuniti yang memerlukan bantuan.

Ditubuhkan sejak 10 tahun lalu hasil gabungan 56 KRT seluruh daerah Besut, Skuad Uniti menjadi antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang paling aktif menolong rakyat ketika berada dalam kesusahan terutama menghadapi bencana.

Pengerusi Skuad Uniti Besut, Ali Haidzir Mustafa 


Pengerusinya, Ali Haidzir Mustafa berkata, skuad berkenaan sebelum ini banyak membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu tidak terhad kepada aktiviti berkenaan, malah ia disesuaikan dengan keperluan semasa.

Katanya, sukarelawan skuad berkenaan sedia turun padang membantu masyarakat yang memerlukan apa juga bentuk bantuan mengikut keadaan dan kes semasa.

Beliau berkata, ketika rakyat berhadapan dengan isu COVID-19 menyebabkan ramai yang terjejas pihaknya tidak melepaskan peluang untuk membantu semua komuniti tanpa mengira kaum dan agama.

Ali Haidzir (kanan) bersama Pegawai Kanan Perpaduan Besut, Mohd Nasir Salleh (kiri) menyampaikan sumbangan kepada keluarga warga asing di Kampung Raja, Besut.


“Sesuai dengan NGO di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integerasi Nasional, gerak kerjanya memberi fokus kepada semua kaum termasuk warga asing di negeri ini,” katanya.

Ramadan yang bermula pada Jumaat, 24 April 2020 bukan menjadi penghalang kepada skuad itu untuk turun padang membantu masyarakat dengan mengagihkan bantuan makanan kepada individu sekitar daerah Besut.

Warga emas yang terlantar turut mendapat perhatian Skuad Uniti Besut


Katanya, walaupun pergerakan sukarelawan skuad agak terhad berikutan PKP, namun ia dapat dilaksanakan secara baik dan tersusun dan membolehkan sukarelawan mengagihkan bantuan dari rumah ke rumah.

“Kami amat bersyukur kerana gerak kerja skuad itu mendapat sokongan dan kerjasama banyak pihak terutama pemimpin kerajaan,” katanya.

Nasib OKU juga tidak dilupakan oleh Skuad Uniti Besut semasa mengagihkan keperluan makanan dalam tempoh PKP.


Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Besut serta Ketua Polis Daerah Besut yang mempermudahkan usaha pihaknya menyalurkan bantuan kepada penduduk terutama dalam tempoh PKP.

Haidzir berkata, semangat kental yang ditunjukkan ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daerah Besut untuk menjadi sukarelawan juga menjadi penyebab skuad itu sentiasa bergerak aktif selain mendapat sokongan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. - KitaReporters

6
1
1
0
0
You will be interested