Insan & Komuniti 17 Oct, 2020

Lagu-lagu P Ramlee malar segar! Ustaz Badli Shah tahu kenapa

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
RAMAI antara kita mungkin tidak terfikir kenapa lagu-lagu ciptaan dan nyanyian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee popular serta digemari ramai hingga ke hari ini. Malar segar sepanjang zaman. Malahan filem-filem lakonan dan arahan beliau juga tidak jemu ditonton pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak tanpa mengira kaum biar pun sudah menjangkau tempoh hampir setengah abad.  : KitaReporters

Wajah Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee semasa usia muda (kiri) dan ketika lebih berusia. - Kredit foto-foto: Kelab Peminat P.Ramlee Pulau Pinang.


Lagi cerita-cerita berkaitan P Ramlee:

https://kitareporters.com/search?search=p+ramlee


Sekalipun sudah 47 tahun ketiadaannya selepas beliau menghembuskan nafas terakhir pada 29 Mei 1973 pada usia 44 tahun, memang tidak dapat dinafikan ketiadaan tokoh seni negara serba boleh ini tiada galang ganti. Malahan namanya terus meniti pada bibir peminat dan masyarakat.


Bagaimanapun dalam konteks ini, terdapat kalangan mereka yang tertentu membuat kajian terhadap lagu-lagu ciptaan dan nyanyian seniman berkenaan terus malar segar hingga sukar dipisahkan dalam kancah kehidupan dunia seni tanah air.

Aspek ini dikatakan kerana ia mempunyai ciri-ciri tersendiri di samping ada kaitan dengan budaya kehidupan masyarakat setempat  zaman tokoh popular berkenaan membesar. 

Disebabkan Ramli Puteh atau nama sebenar Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh lahir dan membesar di Pulau Pinang kemungkinan dia lebih terpengaruh dengan budaya kehidupan dibawa oleh masyarakat pedagang bangsa Arab, Parsi dan India yang berdagang di pulau mutiara berkenaan ketika itu.
Mungkin jugakah disebabkan faktor ini menjadikan lagu-lagu ciptaan dan nyanyian Allahyarham lebih mempunyai unsur Timur Tengah dan Hindi. Manakala filem-filem lakonan serta arahannya pula diterbitkan oleh tokoh perfileman dari negara India.



Bagi seorang pendakwah bebas dan selebriti TV tanah air, Dato' Badli Shah Alauddin yang meminati tokoh seni berkenaan sejak kecil melalui siri video ceramahnya di Batu Caves, Selayang, Selangor dipaparkan oleh kelab peminat Allahyarham menyatakan, terdapat beberapa ciri tersendiri yang menjadikan lagu-lagu ciptaan dan nyanyian P. Ramlee popular sepanjang zaman. 

Manakala filem-filem lakonan dan arahannya turut menjadi sanjungan kerana mempunyai idea bernas yang menjangkau masa di samping mampu menjadi teladan serta pengajaran berguna.


Antara senarai lagu-lagu terbaik daripada filem ciptaan dan nyanyian Allahyarham P. Ramlee yang tidak jemu didengar sehingga ke hari ini.

Katanya, selain sedap didengar lagu-lagu Allahyarham P, Ramlee mempunyai unsur sebutan 'tajwid' seperti mana tajwid dan taranum bacaan al-Quran. Sebutan huruf-hurufnya cukup dengan ciri-ciri tebal, nipis, panjang, pendek serta dengongnya sekali. 

Menurutnya, cara penyampaian nyanyian seperti ini mampu menjadi kesukaan ramai khusus kalangan orang Melayu kerana ia mempunyai unsur-unsur Arab dan Hindi yang menjadi tred kesukaan masyarakat di negara ini pada waktu itu.

Beliau dalam paparan video berkenaan menjelaskan setiap lagu sama ada yang dicipta dan dinyanyikan sendiri seniman agung berkenaan mempunyai kaedah serta peraturan tertentu bagi membolehkan ia jadi popular dan kekal lama diminati ramai.
"Orang pernah membuat kajian kenapa lagu nyanyian mahupun ciptaan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sedap didengar dan menjadi kesukaan ramai. Hasil kajian mendapati lagu-lagu berkenaan mempunyai unsur lagu al-Quran yang disampaikan secara bertajwid," ujarnya.

Lagu Selamat Hari Raya nyanyian Allahyarham Ahmad Jais ciptaan tokoh seni negara ini segar malar sepanjang zaman bila munculnya musim hari raya.
Boleh dikatakan hampir semua lagu biduan negara serba boleh ini disampaikan secara bertajwid dan bertaranum, sekalipun jika dilihat seolah-olah seperti sebutan mengada-ngada.
Malah ujar Ustaz Badli Shah, yang lebih istimewa irama lagu-lagunya diambil dari lagu al-Quran, qasidah, nasyid dan syair selawat nabi yang berasal dari Timur Tengah termasuk Morocco (Maghribi), Mesir dan Syria.
"Tidak ramai orang yang tahu mengenai lagu-lagu beliau (P Ramlee) sama ada yang dicipta atau dinyanyikan sendiri diambil iramanya dari negara-negara Arab khususnya," kata Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau di Jabatan Agama Islam Pahang Darulmakmur itu.
Dalam konteks ini, beliau turut memberikan contoh antaranya seperti lagu 'Kalaulah Kaca Menjadi Intan' nyanyian bersama Hashimah Yon dalam filem  'Nujum Pak Belalang' di mana sebutan perkataan pada bait-bait rangkap tertentu lagu berkenaan sekalipun seolah-olah seperti mengada-ngada bunyinya, tetapi sebenarnya mengikut kaedah sebutan tajwid sekali dengan mahraj, dengong, panjang, pendek, tebal dan nipis yang betul.
Antara lagu selawat qasidah yang menjadi inspirasi untuk dijadikan lagu beliau ialah 'Tholama Asyku Ghoromi' yang wujud sejak 446 tahun lalu waktu pemerintahan empayar Othmaniah di Turki pada era Sultan Murad ke-3 pada tahun 1574.
Lagu dihasilkan oleh Allahyarham bertajuk ' Alangkah Indah Di Waktu Pagi' dalam filem ' Ali Baba Bujang Lapok ' terbitan 1961 pada segmen lakonan Sarimah terlalu gembira semasa mengambil air kerana baharu dapat kerja nyanyian asal Normadiah.

Muzik merupakan antara cabang seni yang menjadi kegemaran Allahyarham P.Ramlee.

Juga Qasidah Burdah Albusiri dipopularkan oleh seorang ulama Morocco bertajuk 'Yarabibil Mustapha Baliq Makasidana' diubah suai dijadikan lagu ' Selamat hari Raya' nyanyian Allahyarham Ahmad Jais. Lagu ciptaan P.Ramlee sendiri dan lirik oleh S. Sudarmaji itu popular dan tetap segar setiap kali tiba musim hari raya.
Bagitu juga dengan lagu " Aci Aci Buka Pintu' dalam filem 'Nasib labu Labi' nyanyian bersama biduanita Saloma keluaran 1963 diambil daripada Selawat Maulid Debaei bertajuk ' Ya Rasulillah Salamunalaik Ya Rapa Asad'.

Beliau memberitahu, Allahyarham sentiasa diingati di Singapura sampai sekarang di mana Masjid Sultan akan membacakan Surah Al Fatihah dan mendoakan beliau setiap minggu sebelum solat Jumaat.

Malahan, katanya ada sebuah masjid di negara itu yang mengadakan ceramah mingguan dengan slot bertemakan filem-filem  P. Ramlee tujuannya untuk mendapat pengajaran dan teladan daripada segmen dalam filem berkenaan.

Salah satu segmen dari filem Nujum Pak Belalang lakonan Allahyarham.
Sementara itu, Kementerian Pelancongan Malaysia pada 2018 telah mengistiharkan sejumlah 149 buah lagu ciptaan dan nyanyian Allahyarham P. Ramlee sebagai antara 255 butiran warisan kebangsaan.
Antara lagu-lagu tersebut Aci Aci Buka Pintu, Engkau Laksana Bulan, Di Mana Suara Burung Kenari, Barang Yang Lepas Jangan Dikenang, Dalam Air Terbayang Wajah, Yang Mana Satu Idaman Kalbu, Tidurlah Permaisuri, Berkorban Apa Saja, Hancur Badan Dikandung Tanah, Nujum Pak Belalang dan banyak lagi.

Allahyarham seniman agung serba boleh yang sukar dicari ganti ini merupakan sebutir permata seni tetap terus berkilau sekalipun kewujudan fizikalnya di dunia sudah lama tiada. - KitaReporters


Allahyarham berkebolehan berlakun dan mengarah filem dengan baik hingga filem-filem yang melibatkan dirinya banyak yang  popular bukan sahaja sekitar tahun 50 an dan 60 an tetapi juga sekarang.

9
1
1
1
1
You will be interested