DALAM keadaan kehidupan harian sentiasa dijaga dan terbela, namun bagi anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Sijangkang (RAYAS) di Kuala Langat, Selangor sering dalam kerisauan kerana terpaksa berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Ini disebabkan premis mereka duduki merupakan bangunan yang disewa. : KitaReporters
Antara anak-anak yatim kendalian Rumah Anak Yatim dan Asnaf Sijangkang, Kuala Langat.
Lagi kisah-kisah berkaitan rumah anak yatim:
https://kitareporters.com/search?search=anak+yatim
Setelah beberapa kali beralih tempat dengan keadaan kurang selesa malahan pernah satu ketika premis kediaman anak-anak yatim terlibat diarah tutup akhirnya episod duka ini terlerai melalui ihsan dan keprihatinan seorang insan mulia yang sanggup menginfakkan sebidang tanah miliknya untuk diwakafkan bagi pembinaan rumah anak-anak yatim berkenaan.
Melalui pengorbanan disertai harapan hamba Allah tersebut semata-mata kerana untuk membela anak-anak yatim, usaha gigih dijalankan oleh pihak pengurusan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Sijangkang bagi membina premis kediaman golongan itu di atas tapak tersebut.
Reka bentuk grafik hasil idea pelukis gambaran keseluruhan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Sijangkang, Kuala langat, Selangor yang masih dalam proses pembinaan. - Kredit foto: RAYAS Selangor.
Bagaimanapun pihak pengurusan rumah anak yatim terlibat menghadapi kekangan kewangan bagi merealisasikan matlamat yang dicita-citakan oleh pihak yang mewakafkan tapak untuk tujuan pembinaan itu.
Dengan berkat kesabaran dan inisiatif yang dijalankan untuk tujuan murni itu di samping sokongan orang ramai melalui sumbangan dana serta bantuan disalurkan sejak beberapa tahun, pihak pengurusan berjaya membina sebuah bangunan dua tingkat dilengkapi pelbagai kemudahan sesuai untuk dijadikan sebagai premis kediaman/asrama bagi anak-anak yatim RAYAS.
Sehingga akhir Disember 2020, proses pembinaan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Sijangkang yang terletak di Lot 1846, Jalan Orkid Kampung Sijangkang, Kuala Langat berjalan lancar dan hampir 60 peratus berjaya disiapkan.
Namun demikian pihak pengurusan masih kekurangan dana antara RM350,000 hingga RM400,000 bagi menyiapkan keseluruhan pembinaan premis tersebut.
Kerja-kerja pembinaan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Sijangkang di Kuala Langat kini sudah siap lebih enam puluh peratus dan memerlukan dana orang ramai bagi proses menyiapkan keseluruhan.
Bagi tujuan itu, pihak pengurusan berharap orang ramai terutama golongan berkemampuan termasuk agensi-agensi tertentu dapat membantu menghulurkan dana menyiapkan keseluruhan projek pembinaanya.
Penyelia Pengurusan, Rumah Anak Yatim dan Asnaf Sijangkang, Sharifah Kamisan memohon dan berharap masyarakat dapat membantu sumbangan dana bagi membolehkan pihaknya menyiapkan segera bangunan yang bakal memberi kemudahan anak-anak yatim terlibat tinggal dalam keadaan selesa serta lebih baik.
"Hulurkan dana semampu mungkin untuk membantu anak-anak yatim yang kami kendalikan supaya mereka dapat menjalani kehidupan harian yang serba mencabar ini dalam suasana lebih baik lagi selesa," ujarnya.
Sehingga ini, seramai 42 orang anak-anak yatim dan asnaf berumur antara 5 hingga 17 tahun adalah di bawah kendalian RAYAS.
Kepada sesiapa yang ingin menyumbang dana bagi menyiapkan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Sijangkang ini boleh menyalurkannya melalui akaun bank CIMB nombor 8603040905. Juga boleh dihubungi melalui telefon 013-3595465.
Selain itu, orang ramai yang ingin membuant sumbangan juga berkunjung ke premis RAYAS yang terletak di Jalan Orkid Kampung Sijangkang.
Sharifah Kamisan.
Katanya, dengan adanya premis baharu yang masih dalam proses pembinaan bila siap nanti bakal memberi perubahan yang lebih baik dan selesa kepada anak-anak yatim berkenaan jika dibandingkan dengan premis sedia ada sekarang.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan ibu Ifah dalanm kalangan anak-anak RAYAS ingin menguruskan kehidupan anak-anak yatim berkenaan seperti sekarang sampai bila-bila.
Tugas menguruskan anak-anak RAYAS yang dilakukan dengan penuh rasa ikhlas dan tanggungjawab termasuk urusan harian persekolahan sama ada menghantar atau mengambil mereka dari sekolah.
Sharifah memberitahu beliau sebelum ini pernah menguruskan rumah anak yatim bagaimanapun terpaksa ditutup kerana menghadapi beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.
Dengan pembinaan premis baharu RAYAS ini, beliau berharap dapat meneruskan hasratnya menyumbang tenaga mengurus dan mengendali kehidupan anak-anak berkenaan pada masa hadapan.
Memandangkan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Sijangkang yang masih dalam proses pembinaan mempunyai fasiliti lebih baik dan selesa diharap akan menjadi institusi bagi anak-anak berkenaan membina sahsiah diri meningkatkan keperibadian sebagai persediaan bila mereka menjelang dewasa nanti.
Anak-anak yatim RAYAS perlu merebut peluang menggunakan segala kemudahan fasiliti disediakan bagi menjadikan mereka sebagai individu proaktif dan bergunakan kepada masyarakat. - KitaReporters
Kerja-kerja menyiapkan simen ditingkat bawah Rumah Anak Yatim dan Asnaf rancak dijalankan.
Salah seorang pekerja menyiapkan kerja-kerja pemasangan mozek di salah satu bahagian bangunan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Sijangkang.
Sebahagian anak-anak yatim Rumah Anak Yatim dan Asnaf Sijangkang, Kuala Langat yang menyertai bacaan Yasin dan tahlil pada satu majlis diadakan di rumah berkenaan.