SITUASI
tayar kereta bocor atau pancit antara perkara pernah dilalui ramai pemilik kenderaan dan ia tentunya
membahayakan keselamatan apatah lagi jika berlaku ketika sedang memandu.
Perkara tersebut kebiasaannya disebabkan tertusuk skru, paku dan besi tayar lori yang pecah bertaburan di jalanan atau mungkin terjadi apabila tayar kenderaan terlalu uzur serta perbuatan khianat.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kereta
Bagaimanapun, perkongsian sedikit berbeza oleh seorang pengguna Facebook, Mahani Wahab apabila tayar kereta dipandunya bocor akibat tertusuk spanar ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Sesuatu yang mungkin jarang didengar segelintir individu terutamanya golongan wanita sebagai punca tayar kereta bocor!
Berdasarkan perkongsiannya, dia terus berhentikan kenderaan di Kampung Pulau Kudat, Kuala Berang, Hulu Terengganu sejurus terdengar bunyi angin keluar dari sebelah kiri belakang kereta.
Melihat spanar tertusuk pada tayar kenderaan dia seakan sukar mempercayai alatan tersebut mampu menusuk ke dalam tayar.
Dua anak Mahani yang masih bersekolah menengah membantu menukar tayar kereta bocor akibat tertusuk spanar.
“Alhamdullilah, Allah masih selamatkan diri ini. Tidak tahu spanar dari mana, dalam perjalanan ke tempat kerja syif petang sedar-sedar bunyi angin lalu terus berhenti.
“Nasib anak-anak sayang ada dekat rumah, telefon terus datang tukar tayar. Bunga-bunga hati seorang ibu bila anak yang banyak berbakti untuk ibu, terlalu bersyukur memiliki anak seperti mu Ammar Danish dan Naquibul Afham.
“Terima kasih, terharu ibu,” tulis Mahani.
Mahani bersama dua anaknya. - Kredit foto: FB Mahani Wahab
Sementara
itu, perkongsian berkenaan bukan sekadar mendapat perhatian kenalan yang
menzahirkan rasa syukur kerana tiada berlaku sebarang perkara tidak diingini tetapi turut berkongsi pengalaman hadapi
situasi tayar kenderaan bocor.
Selain itu, kenalan juga meninggalkan komen Mahani cukup bertuah punyai anak-anak yang boleh diharap serta berkemahiran menukar tayar kereta walaupun masih remaja dan berada di alam sekolah menengah. - KitaReporters