Insan & Komuniti 27 May, 2020

Seronok main futsal ya!! Lapan remaja kena kompaun RM8,000!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

KESERONOKAN lapan remaja yang leka bermain futsal tanpa menghiraukan undang-undang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membawa padah apabila mereka dikenakan kompaun sebanyak RM8,000. Individu berusia antara 15 hingga 20 tahun itu yang datang dari beberapa kampung di Kuala Berang, Hulu Terengganu, dikesan bermain futsal di Binjai Kertas, Hulu Terengganu kira-kira jam 10 malam pada Selasa, 26 Mei 2020. : KitaReporters

Remaja bersama motosikal yang ditahan oleh polis - Gambar Ihsan PDRM


Dalam kejadian itu, remaja terbabit yang sedang bermain futsal terkejut ketika sepasukan anggota polis membuat rondaan di Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang. 

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Mat Daud berkata, lapan remaja terbabit bagaimanapun cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa. 

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Mat Daud 


“Mereka meninggalkan beberapa buah motosikal serta barang-barang peribadi termasuk telefon bimbit," katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, polis kemudian membawa semua barangan yang ditinggalkan itu ke Balai Polis Kuala Berang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Berang,Hulu Terengganu


Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 1 pagi Rabu, 27 Mei 2020, semua remaja terbabit hadir ke balai polis itu dan seterusnya ditahan untuk siasatan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Tambah beliau, semua mereka telah dikompaun RM1,000 setiap seorang. 

Katanya, akibat kedegilan bermain futsal ketika tempoh (PKPB), lapan remaja terbabit terpaksa membayar kompaun keseluruhan berjumlah RM8,000 selepas perbuatan mereka dikesan oleh polis. 

Mohd Adli menasihatkan orang ramai supaya tidak mengadakan aktiviti secara berkumpulan kerana ia menyalahi Prosedur Standard Operasi (SOP) ketika dalam penguatkuasaan PKPB yang masih berjalan. - KitaReporters

5
2
1
0
1
You will be interested