Insan & Komuniti 10 Aug, 2020

Beruk besi bantu petik kelapa! Atasi gayat untuk cari rezeki

@fatimah itayah
Mula ceburi dunia kewartawanan sebagai wartawan akhbar. Masih banyak perlu dipelajari!

Share this

MEMETIK kelapa dengan bantuan beruk atau nama saintifiknya 'Macaca Nemestrina' bukanlah sesuatu yang asing. Namun, beruk dimiliki pemetik kelapa dari Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu ini tiada jantan atau betina, tetapi beruk besi.  Garang kot beruk ni kerana diberi gelaran beruk besi? : KitaReporters

Beruk besi dimiliki Mohd Zulfiza Mat Yusof membantunya memetik kelapa dengan mudah meskipun dia seorang yang gayat.


Meskipun mengalami masalah gayat, siapa sangka seorang bapa tiga anak dari Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu mampu jadikan pekerjaan memetik kelapa sebagai sumber pendapatan sampingan dengan bantuan beruk besi.

Mohd Zulfiza Mat Yusof, 40, berkata beruk besi yang merupakan alat memanjat pokok kelapa itu mula menjadi temannya sejak Ramadan lalu dan sehingga kini dia telah berjaya ‘menawan’ hampir 200 batang pokok dengan anggaran paling tinggi sekitar 23 meter.

Menurutnya,  walaupun tiada asas memanjat kelapa tetapi dengan adanya beruk besi sepanjang lebih kurang satu meter dan berat kira-kira lima kilogram itu membolehkannya memanjat lima hingga 10 pokok kelapa sehari untuk memetik buah.

“Saya bekerja sebagai operator pengeluaran, jika bertugas shif malam pada siang hari saya tidak buat apa-apa. Bulan puasa lalu, saya tergerak hati untuk pinjam beruk besi daripada bapa sepupu, Wahab Mat Ali, 60, yang sudah puluhan tahun cari rezeki dengan memetik kelapa.

Mohd Zulfiza memasang beruk besi pada batang pokok kelapa sebelum mula memanjat. 



“Tiga batang pokok kelapa di kawasan rumah mentua di felda ini jadi tempat percubaan saya berjinak-jinak dengan beruk besi.

Memandangkan saya alami masalah gayat, kali pertama panjat kedua belah kaki terketar-ketar sehinggakan saya terpaku tidak boleh bergerak.

“Ketinggian ketika itu sekitar lima meter sahaja. Saya kemudiannya cuba bertenang dan berbual-bual dengan anak yang berada di bawah, apabila perasaan kembali tenang baharulah diteruskan niat serta usaha untuk sampai ke atas pokok,” katanya kepada KitaReporters.

Tambah Mohd Zulfiza, bermula daripada situ dia semakin ‘mesra’ dengan beruk besi sehinggakan mampu memperoleh pendapatan sampingan kira-kira RM1,000 pada Ramadan lalu ekoran permintaan terhadap perkhidmatan memanjat pokok kelapa sangat tinggi.

Katanya lagi, rekod paling banyak berjaya dipetiknya bagi sebatang pokok kelapa ialah sebanyak 103 biji dan khidmatnya itu bukan sekadar mendapat permintaan masyarakat di kawasan tanah rancangan itu sahaja tetapi juga daripada kampung-kampung sekitar.

Kadar upah pula ialah RM0.50 sebiji, namun sekiranya pemilik pokok tidak mahu kelapa, buah akan dibahagi dua antara kami. Jika bagi kelapa, saya  akan jual kepada komunti setempat kerana permintaan terhadap kelapa da air kelapa sentiasa ada kerana ia kegunaan harian.

Harga jualan pula sekitar RM1.50 sebiji bagi kelapa yang telah siap dikupas kulit dan dihantar terus ke rumah dalam kawasan Felda ini. Syukur, dengan bantuan beruk besi saya dapat cari rezeki sampingan untuk keluarga , besarkan anak yang kini berusia 13, 9 dan 5 tahun.

Mohd Zulfiza (kanan) sedang berurusan dengan pelanggan yang ingin membeli kelapa dipetiknya dengan bantuan beruk besi. 


Ujar Mohd Zulfiza, meskipun masih terus diselubungi rasa gayat tatkala memanjat, namun dia kuatkan semangat dengan hanya fokus untuk memetik kelapa demi mencari rezeki tanpa melayan perasaan yang dirasakan itu.

“Hanya orang yang gayat sahaja boleh faham bagaimana rasanya apabila berada di tempat tinggi. Menggunakan beruk besi sewaktu memanjat pokok, pergerakan seperti kita melangkah tangga sahaja, apabila rasa gayat saya akan segera nafas dalam-dalam dan bertenang seketika.

“Komponen utama beruk besi ini ialah besi, kabel serta tayar lori, manakala usianya dianggarkan sekitar 30 tahun. Beruk besi ini dibeli bapa sepupu dari Manir, Kuala Terengganu dan kini ia membantu saya yang gayat ini memanjat pokok kelapa,” katanya dengan rasa puas hati. - KitaReporters

5
3
0
0
1
You will be interested