Insan & Komuniti 20 Jun, 2020

Pembayar setia zakat bina rumah baharu!! Untuk pasangan OKU!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

BULAN Syawal 1441 Hijrah menjadi sejarah bagi pasangan insan istimewa individu kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan bisu berikutan pemberian rumah baharu oleh pembayar setia zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS). Pasangan ini sebelumnya hanya tinggal di rumah yang kurang selesa sebagai tempat kediaman dengan keadaannya agak uzur. : KitaReporters

Rumah baharu kelurga Arsat Gomberi @ Kamari sumbangan seorang pembayar setia zakat Lembaga Zakat Selangor (kanan). Gambar kiri menunjukkan rumah lama yang agak daif menjadi kediaman pasangan istimewa itu. - Kredit foto-foto: Ibrahim Selamat LZS Cawangan Kuala langat.


Rezeki yang tidak pernah termimpi dan dijangka sama sekali tetapi qadak dan qadar Allah penentu segalanya.

Mungkin ini semua sudah tertulis sejak azali lagi bagi pasangan yang mempunyai anak tunggal lelaki itu.

Bagaimana pun bagi Arsat Gomberi @ Kamari bersama isteri dan anaknya masih bersekolah tinggal di daerah Kuala Langat, Selangor tetap menyatakan rasa syukur dan berdoa berpanjangan sebagai mensyukuri nikmat Allah selain sebagai tanda terima kasih hamba-Nya dengan yang berkuasa atas kurnian rezeki itu, juga mungkin ada anggapan sebagai tuah anak.

Pasangan keluarga ini dikategorikan istimewa di mana kedua-duanya merupakan individu OKU cacat pendengaran dan bisu, hidup dalam keadaan daif lagi kekurangan tidak mempunyai kediaman yang agak baik lagi selesa.   

Namun begitu keluarga bahagia ini masih mampu mengukir senyuman sekali pun tidak seperti insan lain yang hidup mereka lebih baik dan beruntung dengan kehidupan harian agak selesa jika pun tidak mewah.

Syawal tahun ini beliau anggapkan suatu limpahan rezeki yang tak pernah terbayang dalam impian sepanjang hayat hidupnya.

Pasangan istimewa, Arsat Gomberi @ Kamari, yang merupakan asnaf fakir Lembaga Zakat Selangor bersama isteri  (kanan). Gambar kiri penyumbang kos pembangunan rumah baharu Arsat Gomberi, Datuk Nordin Selamat dan pasangannya Datin Samidah pada majlis penyerahan kunci rumah baharu berkenaan di Kuala Langat, Selangor.


Sekali pun Aidilfitri 1441 Hijrah belum berakhir namun tarikh keramat ini bakal terpahat dalam kenangan dairi memori  kehidupan keluarga Arsat kerana pada hari berkenaan beliau yang diwakili anak tunggalnya menerima kunci dan memasuki rumah baharu sumbangan pembayar setia zakat di LZS.

Datuk Nordin Selamat dan pasangannya Datin Samidah merupakan pembayar setia zakat di LZS sejak 11 tahun lalu menanggung kos pembangunan rumah baharu berkenaan dan LZS menyumbang kos pendawaian serta pemasangan bekalan elektrik.

Disebabkan kedaifan dan kesusahan hidup pasangan keluarga istimewa ini mendorong Nordin bersama isteri menyumbang kos pembangunan rumah baharu berkenaan bagi menggantikan kediaman lama yang agak uzur dan kurang selesa didiami.

Nordin Selamat (tiga daripada kiri) menyampaikan replika bantuan bina rumah kepada anak Arsat sebagai tanda penyerahan rumah berkenaan. Turut sama pada majlis tersebut Ahli Lembaga, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Mohd Farid Ravi Abdullah (lima daripada kanan).


Disebabkan kesusahan hidupnya, Arsat dan keluarga didaftarkan sebagai asnaf fakir (Mustahiq) oleh LZS bagi daerah Kuala Langat sejak tahun 2010.

Dengan itu, beliau merupakan penerima bantuan kewangan bulanan, pakej makanan bulanan dan bantuan persekolahan anak tunggalnya dari LZS.

Satu majlis penyerahan kunci rumah baharu itu oleh Nordin Selamat kepada anak tunggal pasangan istimewa itu berlangsung pada 9 Jun 2020 dalam satu majlis ringkas, tetapi penuh makna khusus bagi keluarga Arsat di rumah itu di Kuala Langat.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Lembaga, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid.

Untuk tujuan ini, pihak LZS merakamkan jutaan penghargaan kepada penderma yang prihatin dengan kesusahan pasangan istimewa itu, di samping semua pembayar zakat di Selangor dan mereka dianggap sebagai hero yang membela golongan kurang mampu. - KitaReportes

Datuk Nordin Selamat (kiri)pembayar setia zakat di Lembaga Zakat Selangor sejak 11 tahun lalu menyatakan sesuatu mengenai kemudahan dan kelengkapan dibahagian dapur rumah baharu berkenaan.

3
0
0
0
0
You will be interested