Anfaal Saari bertanyakan kesihatan Balludengan diperhatikan oleh Ismail Abi Hashim
WANITA terutama suri rumah digalakkan mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang dilancarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang sasaran utamanya untuk golongan B40 bagi melindungi suri rumah yang melakukan kerja harian termasuk menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah.
Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim menasihatkan suri rumah tetap boleh mendapat perlindungan walaupun tidak bekerja kerana skim itu menawarkan perlindungan bukan saja kematian dan penyakit kronik, malah meliputi kemalangan semasa menguruskan rumah tangga.
Ia termasuk semasa menghantar anak sekolah, membeli barangan keperluan harian di pasar dan juga aktiviti menguruskan urusan di dalam rumah.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan faedah pengurusan mayat dan pencen penakat kepada Ballu, suami kepada mendiang Sivakami Selvi seorang suri rumah sepenuh masa yang meninggal dunia pada 3 Februari 2024 lalu.
Beliau mengiringi Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari ketika melawat dan memberi sumbangan kepada suami mendiang.
Berpandukan senarai nama pada pangkalan data JPN pada 13 Februari 2024, Pejabat PERKESO Rawang menerima laporan kematian mendiang Sivakami Selvi dan mendapati layak di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) atas caruman Inisiatif Kerajaan.
PERKESO Rawang mengambil langkah proaktif untuk menghubungi waris dan menguruskan permohonan faedah dan waris layak menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat PERKESO kepada suami mendiang sehingga dia berumur 55 tahun.
Anfaal Saari memberi nasihatkan kepada wanita berkenaan manfaat mencarum.
Sebelum ini, Sivakami Selvi yang menjaga dan menguruskan suaminya Ballu penghidap penyakit sakit jantung, sakit tulang belakang, kencing manis dan patah pergelangan tangan akibat kemalangan jalan raya.
Mendiang yang telah mencarum di bawah skim itu sejak 1 Disember 2022 merupakan salah seorang daripada pencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) PERKESO di bawah tajaan Inisiatif Kerajaan berdasarkan pangkalan data e-Kasih.
Melalui tajaan Inisiatif Kerajaan 2023 tersebut seramai 400,000 pencarum telah dicarumkan dan seterusnya dilindungi di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838).
Semasa menguruskan proses pembayaran faedah kepada suami mendiang, Pihak PERKESO mendapati suami mendiang iaitu Ballu juga merupakan seorang penerima pencen ilat sejak tahun 2016 dengan kadar pencen bulanan sebanyak RM1,792.92.
Perkeso sangat prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga ini dan berharap pencen bulanan daripada tuntutan ilat dan pencen penakat melalui SKSSR tersebut dapat meringankan beban sara hidup Ballu.
Anfaal (dua dari kiri) dan Ismail Abi Hashim (dua dari kanan).
Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) mula diperkenal pada 1 Disember 2022. Berdasarkan statistik semasa, PERKESO telah membayar Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat kepada seramai 354 waris Suri Rumah Berinsurans.
Dengan bayaran hanya RM120 setahun, pencarum akan mendapat perlindungan terhadap bencana domestik atau keilatan.
"Justeru itu, saya ingin menyeru dan menggalakkan semua wanita Malaysia untuk mendaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) ini demi melindungi diri mereka tatkala berlaku sebarang musibah dan bencana yang tidak diingini dan tidak juga terduga." kata Ismail. - KitaReporters