Insan & Komuniti 06 Mar, 2024

Apa dah jadi? Culas bayar sewa rumah PPR/PA tapi diberi hadiah baucar, cenderahati? Ramai tak setuju!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Program Perumahan Rakyat (PPR) diwujudkan bagi membantu golongan B40. - Kredit foto: Google Image


Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kebanyakan kota besar seperti Kuala Lumpur dibina untuk penempatan semula setinggan yang berkelayakan serta memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah atau kumpulan B40.

PPR terdiri daripada dua kategori iaitu PPR Disewa dan PPR Dimiliki. Kadar sewa PPR Disewa serendah RM124 sebulan tidak termasuk kos penyelenggaraan. Namun, ada segelinitir penduduk yang culas membayar sehingga berlakunya tunggakan.

Pada tahun 2023, DBKL mendedahkan mereka terpaksa menanggung tunggakan sewa terkumpul berjumlah RM29.8 juta, berikutan penyewa PPR dan perumahan awam (PA) di bawah seliaan PBT itu culas membayar sewa.



Isu ini berlaku bukan baharu sehari dua, tetapi sejak program ini dimulakan pada tahun 2002. Malah, ada penama dan penyewa bertindak melampau dengan menyewakan rumah PPR kepada warga asing. 

DBKL berhak menamatkan kontrak penama atau penyewa PPR sekiranya ia dibuktikan sahih.

Dek kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Hanya kerana sekelompok yang culas membayar sewa, penama atau penyewa PPR yang betul-betul patuh dan bertanggungjawab, terpalit sama dengan pandangan negatif orang luar.



Pada 26 Februari 2024 lalu, DBKL menerusi laman Facebook mereka, telah mengadakan kempen Jom Bayar Sewa PA/PPR.  

Dalam kempen tersebut, DBKL menyeru penyewa agar membuat pembayaran tertunggak bagi mengelakkan tindakan tegas diambil. 

“Kempen Jom Bayar Sewa PA/PPR. Kepada penyewa PA/PPR seliaan DBKL di luar sana, hadiah baucar tunai dan cenderahati menanti anda jika anda melakukan pembayaran syarat yang ditetapkan. 

"Jangan lepaskan peluang ini, tawaran ini sah sehingga 15 Mac 2024. Bayar Sewa, Jelas Tunggakan, Elak Tindakan,” tulis kenyataan tersebut.



Namun kempen tersebut mendapat reaksi tidak senang netizen kerana DBKL dilihat terlalu berlembut dan memberi muka kepada penama dan penyewa yang culas. 

Mereka merasakan pemberian baucar tunai dan cenderahati adalah tindakan salah kerana ia membuatkan penyewa yang culas makin besar kepala.



“Hairan penguat kuasa berikan saguhati kepada mereka yang melanggar undang-undang. Trafik saman, PTPTN, sewa PPR. Galakan untuk nmemupuk sikap tidak bertanggungjawab? 

"Kasihan mereka yang jelaskan hutang setiap bulan,” tulis salah seorang netizen yang tidak berpuas hati.

Namun ada juga yang bersyukur dan gembira terhadap tindakan DBKL tersebut. Pemberian baucar tunai dan cenderahati mungkin dapat membuka hati penyewa yang culas membayar sewa. - KitaReporters


12
16
0
9
0
You will be interested