Insan & Komuniti 18 Sep, 2025

al-Quran wakaf! Usaha Sahabat Kelas Al-Quran BTHO, XMRSMKT! Untuk PEWARIS, warga emas, penduduk!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Wakaf al-Quran adalah satu bentuk sedekah jariah apabila seseorang menyumbang naskhah al-Quran kepada institusi atau pun individu seperti kepada pelajar di pusat tahfiz, anak yatim, masjid, surau dan rumah kebajikan orang Islam sebagai satu ibadah.


Azmi Mat Napiah berucap pada majlis penyerahan mushaf al-Quran yang diwakafkan menerusi SKAQ dan XMRSMKT.


Al-Quran itu apabila dibaca dan diamalkan penerimanya akan menjamin pahala berpanjangan dan mengalir kepada mereka yang berwakaf baik ketika masih hidup mahupun sesudah meninggal dunia selagi kitab suci itu dimanfaatkan penggunaannya.  

Berbarengan itu, Sahabat Kelas Al-Quran, Bandar Tun Hussein Onn (SKAQBTHO), Cheras, Selangor dan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA Kuala Terengganu 82-86 (XMRSMKT 82-86) berkolaboratif mencari pewakaf untuk menyumbangkan mushaf Al-Quran kepada Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka (PEWARIS), Kubang Pasu, Kedah.

Ketua SKAQ, Ustaz Alias Ahmad, berkata selepas diuar-uarkan kepada SKAQ dan XMRSMKT 82-86 itu, mereka bersetuju mengadakan kolaboratif bersama bagi menjayakan program bermanfaat berkenaan bukan sahaja di dunia malah akan menjadi bekalan pahala untuk dibawa ke akhirat.

Menurutnya, usaha itu dilakukan selepas beliau dimaklumkan oleh Setiausaha PEWARIS, Azmi Mat Napiah untuk membantu pusat jagaan berkenaan mendapat mushaf al-Quran secara wakaf daripada orang ramai atau organisasi pada 7 September 2025. 

Tambahnya, rentetan itu dalam tempoh lebih seminggu SKAQ, rakan pelajar XMRSMKT 82-86 serta beberapa individu menghulurkan sumbangan untuk pembelian mushaf al-Quran sebagai wakaf mereka untuk kegunaan di pusat jagaan berkenaan yang amat memerlukan sokongan masyarakat bagi menjayakan aktiviti keagamaan setiap hujung minggu. 


Ustaz Alias Ahmad dan Aniza Abd Ghani melakukan gimik pembukaan almari tempat menyimpan mushaf al-Quran selepas digunakan.


“Hasil sumbangan wakaf itu sebanyak 94 naskhah mushaf al-Quran bersaiz A4 berserta panduan tajwid berwarna di samping terjemahan dapat dibeli dan berjaya diserahkan kepada PEWARIS pada 12 September 2025 untuk kegunaan warga emas di pusat jagaan berkenaan dan juga penduduk sekitar yang turut hadir mengikuti kelas pengajian agama,” ujarnya yang juga penceramah bebas dan guru al-Quran.

Sempena majlis penyerahan al-Quran itu, Ustaz Alias diberi peluang untuk memberikan penerangan ringkas mengenai Tausiyah iaitu berkaitan kelebihan menuntut ilmu dan belajar al-Quran kepada penghuni pusat itu serta warga emas dalam kalangan penduduk kampung yang hadir.  

Beliau juga mengadakan sesi Tahsin Surah Al-Fatihah sebelum diteruskan majlis berkenaan dengan kuliah tajwid oleh Ustaz Abu Mu’az yang merupakan aktiviti setiap pagi Jumaat dan mendapat sambutan ramai dalam kalangan penduduk sekitar. 


Azmi dibantu petugas menyusun mushaf al-Quran dalam almari khas di pusat jagaan berkenaan.


Sementara itu wakil XMRSMKT 82-86, Aniza Abd Ghani yang turut hadir, berkata rakan bekas pelajar MRSMKT berkenaan sentiasa memberi sokongan dan bersama beliau dalam aktiviti atau kerja amal jariah serta kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Jelasnya, walaupun tidak berada berdekatan dan berjauhan kerana bertugas namun dalam aktiviti amal dan kebajikan mereka sentiasa bersatu malah sudah dipupuk sejak sekian lama bagi mencari keberkatan serta saham akhirat di samping berkongsi pahala dengan ibu bapa yang sudah meninggal dunia dan sebagainya.

“Aktiviti sebegini juga turut mengeratkan ukhuwah antara kami semua. manakala kolaboratif dengan SKAQ adalah satu usaha bersama yang berterusan sejak beberapa tahun lalu dan berkebetulan pula ada XMRSMKT rakan rapat kepada sahabat kelas mengaji berkenaan,” ujarnya.


Ustaz Alias memberi penerangan mengenai Tausiyah kepada penghuni dan warga emas yang hadir.


Manakala Azmi pula menzahirkan rasa terharu dengan usaha SKAQ dan XMRSMKT mencari pewakaf untuk mushaf al-Quran dalam tempoh waktu yang singkat demi membantu PEWARIS dapat meneruskan kelas pengajian agama di pusat berkenaan.

Menurutnya, selepas beroperasi sejak beberapa tahun lalu, PEWARIS membuka kelas pengajian agama seperti fardu ain, tafsir al-Quran dan mengaji yang bukan sahaja untuk penghuni juga penduduk sekitar pelbagai peringkat usia termasuk warga emas.

Tambahnya, usaha itu sebagai langkah untuk memberi manfaat dengan kewujudan PEWARIS di situ kepada penduduk sekitar supaya dapat menimba ilmu agama bersama-sama ustaz yang dijemput setiap hujung minggu.

“Apa yang dilakukan SKAQ dan XMRSMKT ini amat kami berbangga kerana al-Quran yang diwakaf akan digunakan semua penduduk yang hadir malah menyuntik lagi semangat mereka dapat memegang serta membaca mashuf al-Quran baharu,” ujarnya. - KitaReporters


Penghuni dan warga emas dalam kalangan penduduk kampung mengikuti kelas pengajian agama dan mengaji al-Quran di Pusat Jagaan PEWARIS pada setiap Jumaat.

16
16
0
10
0
You will be interested