Memang tak sangka JPJ dapat menyelesaikan aduan dan masalah pelanggan dengan cepat, sekali gus melaksanakan obligasi sosial yang menambah keyakinan masyarakat pada agensi berkenaan.

Syabas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Padang Jawa, di Shah Alam, Selangor yang cepat menyelesaikan masalah pelanggan dalam tempoh sehari saja.
Hari ini saya hendak berkongsi pengalaman yang sangat menyentuh hati dan rasa bersyukur yang sangat tinggi terhadap perkhidmatan yang baik daripada JPJ Padang Jawa.
Kisahnya begini, anak saya pergi ke JPJ Padang Jawa untuk uruskan salinan geran kereta atas nama ayahnya. Geran asal dah hilang, jadi kami perlu buat semula untuk memudahkan urusan penjualan kereta berkenaan
Anak berjumpa beberapa staf di sana dan mereka berkata untuk mendapat salinan geran, pemilik kereta mesti hadir untuk diambil cop jarinya.
Anak saya mula bingung dan beritahu staff bahawa ayahnya sakit strok serta terlantar dan sukar untuk dibawa ke sana.
Staf JPJ berkenaan kata itu prosedurnya. Pelanggan perlu ikut. Anak saya balik dan bercerita dengan saya mengenai prosedur dan masalah berkenaan.


Saya cuba luahkan hal ini dalam media sosial Facebook dan bertanya siapa ada kenalan di JPJ untuk saya minta bantuan.
Tak sangka, inilah "the power of" media sosial. Sekejap saja selepas itu, saya dihubungi oleh Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan sendiri. Beliau dengan penuh simpati berjanji akan bantu selesaikan masalah saya.
Alhamdulillah, petugas JPJ Padang Jawa begitu pantas ambil tindakan dan akhirnya masalah selesai pada hari yang sama.
Kes ini diselesaikan dengan bantuan Mohd Fikri, Ketua Bahagian Perlesenan Kenderaan, yang bukan sahaja menghubungi saya untuk minta maaf atas kesilapan stafnya tetapi juga mahu membantu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

Azrin Borhan
Saya petik komen sahabat saya Sunarti Kibat mengenai JPJ katanya bila terjadi kes seperti ini, sebenarnya ini satu peluang pada JPJ membuktikan pada masyarakat bahawa agensi ini mempunyai keperdulian yang tinggi pada obligasi sosial.
Bila masalah diselesaikan dengan segera kepercayaan masyarakat terhadap JPJ semakin kuat dan padu. JPJ akan diangkat sebagai hero dalam memudahkan urusan masyarakat khususnya mereka yang OKU dan yang terlantar sakit.
Syabas dan tahniah kepada JPJ Padang Jawa serta pimpinan mereka yang begitu prihatin. Layanan mesra, pantas dan manusiawi. Macam inilah yang rakyat harapkan serta sesuai dengan slogan "Malaysia Madani, Rakyat disantuni".
Semoga JPJ memperbaiki kelemahan mereka yang terlepas pandang dari semasa kesemasa untuk kesejahteraan pengguna.
Terima kasih sekali lagi JPJ -- anda bukan sekadar jalankan tugas, tapi benar-benar menyentuh hati kami sekeluarga. ❤️ - KitaReporters
