Insan & Komuniti 30 Dec, 2025

Buah Fikiran| Melawan kesepian! Pengajaran daripada warga emas! Kisah dari Kedai Mesra Hati di Seoul!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


Oleh MOHAMED NASSER MOHAMED

Penulis Bebas


Ketika kecil, antara memori yang paling melekat ialah wajah seorang lelaki tua yang saban petang datang ke kedai kopi ayah saya. Dia sering menjadi pelanggan terakhir meninggalkan kedai. 

Ayah pernah bercerita -- selepas isterinya meninggal dunia, hidupnya menjadi sunyi. 



Kadang dia berbual dengan ayah, kadang hanya duduk di surau kampung. Anak cucunya merantau ke bandar. Itu kisah setengah abad lalu, tetapi kesunyian warga emas bukan cerita semalam.

Dari kedai kopi kecil di kampung, kita beralih ke Dongdaemun, Seoul. 

Di sini, ada sebuah “kedai” yang tidak menjual apa-apa. Ruangnya seperti ruang tamu rumah -- kerusi empuk, beanbag untuk bersandar, sudut filem, kerusi urut yang berdengung, dan rak berisi mi segera percuma. 

Setiap hari, pengunjung datang bukan untuk membeli, tetapi untuk duduk, berbual, atau sekadar diam bersama.

Inilah “kedai mesra hati” -- inisiatif bandar Seoul untuk melawan kesepian. Sasaran awalnya adalah warga emas, tetapi realitinya, ramai anak muda turut singgah. Mereka datang kerana di luar pintu kedai ini, dunia terasa terlalu sunyi.



Sepi di Bandar

Kisah Hee-Kyung, 29 tahun, mencerminkan realiti ramai di bandar besar. Dahulu remaja lari dari rumah, kini dia tinggal sendirian, menganggur, dan tidak lagi berbual dengan keluarga. 

Temannya kebanyakannya kenalan jauh yang ditemui secara dalam talian. Hidupnya banyak dihabiskan dengan menonton video kucing di telefon. 

Kedai ini menjadi satu-satunya tempat di mana dia boleh berbual dengan orang lain, walaupun hanya untuk beberapa jam.

Dalam masa lima bulan, empat kedai ini telah menerima lebih 20,000 pengunjung -- empat kali ganda daripada sasaran tahunan. 

Statistik bandar menunjukkan hampir 40% isi rumah di Seoul kini dihuni seorang diri. Kajian pada 2022 pula mendedahkan lebih 130,000 anak muda berusia 19–39 tahun di bandar itu mengalami pengasingan sosial.

Cermin untuk Malaysia

Fenomena ini tidak asing di Malaysia. Di Kuala Lumpur, Johor Bahru, atau Georgetown, semakin ramai memilih hidup sendirian -- sama ada kerana tuntutan kerja, kos sara hidup, atau sekadar pilihan gaya hidup. 

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan isi rumah tunggal meningkat secara konsisten, selari dengan trend global.

Bezanya, di Korea Selatan isu ini diangkat sebagai masalah nasional, sehingga wujud “Bahagian Menangani Kesunyian” di pejabat bandar raya.

Di Malaysia, perbincangan mengenai kesepian masih terpinggir. Kita lebih selesa bercakap tentang ekonomi dan teknologi, tetapi jarang bertanya bagaimana rakyat mengharungi sunyi yang senyap.



Warga Emas: Sekolah Sosial yang Hilang

Ada ironi besar di sini -- warga emas sebenarnya lebih tahan melawan kesepian berbanding generasi muda. Mereka membesar dalam keluarga besar, terbiasa berkongsi lauk di meja, saling membantu tanpa perlu diminta. 

“Jiran adalah keluarga” bukan sekadar kata-kata manis, tetapi amalan hidup.

Ramai warga emas masih selesa menegur orang asing di pasar atau mengajak berkongsi meja di kedai makan. Mereka tidak takut diam dalam perbualan, dan tidak canggung melihat mata orang ketika berbual. 

Semua ini adalah kemahiran sosial yang dibentuk oleh zaman sebelum telefon pintar -- kemahiran yang kini semakin pudar dalam generasi muda.

Generasi Muda: Terhubung Tapi Terasing

Generasi muda hidup dalam dunia yang “terhubung” 24 jam melalui media sosial. 

Kawan beratus-ratus dalam senarai, tetapi ketika memerlukan sokongan emosi, tiada siapa di sebelah. Mereka berani berkongsi cerita peribadi di TikTok, tetapi tidak selesa menceritakannya di meja makan.

Budaya “makan seorang” di restoran kini bukan lagi pengecualian, malah menjadi norma. Di LRT atau bas, semua tunduk pada skrin. Dalam majlis keluarga, ada yang duduk di sudut sambil “scroll” tanpa henti. 

Kesunyian di sini tidak datang kerana tiada orang, tetapi kerana tiada hubungan yang benar-benar wujud.



Pelajaran dari Seoul

“Kedai mesra hati” Seoul dibina dengan satu falsafah: hilangkan stigma. Nama “kedai” dipilih agar ia tidak kelihatan seperti pusat bantuan atau klinik psikologi. Siapa pun boleh masuk tanpa rasa malu. 

Aktiviti ringkas seperti menonton filem bersama atau makan mi segera di meja yang sama menjadi pintu kecil untuk membina semula kebiasaan berinteraksi.

Pengurus kedai tahu ramai pengunjung tidak selesa berbual pada mulanya. Ada yang mahu bungkus mi untuk makan di rumah. Tetapi mereka diajak sekurang-kurangnya duduk bersama di meja. 

Hubungan tidak dibina dalam sehari, tetapi melalui detik kecil yang berulang.

Isu Global, Tindakan Berani

Apa yang dilakukan di Seoul bukan satu-satunya contoh. Pada 2018, United Kingdom melantik Menteri Kesepian -- langkah pertama seumpamanya di dunia. 

Dua tahun kemudian, Jepun menubuhkan Agensi Menangani Kesepian dan Pengasingan Sosial, selepas mendapati masalah itu semakin meruncing semasa pandemik Covid-19. 

Kedua-dua negara ini mengiktiraf kesepian sebagai cabaran kesihatan awam, setara dengan isu obesiti atau tabiat merokok, yang memerlukan dasar tersusun dan jangka panjang.



Tindakan Nyata di Malaysia

Baru-baru ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan program khidmat peneman sukarelawan komuniti untuk warga emas yang hidup bersendirian. Sukarelawan hadir ke rumah, menyediakan makanan, membantu mengemas, dan menjadi teman berbual. 

Inisiatif ini turut merangkumi Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) yang menyalurkan warga emas ke rawatan kesihatan.

Lebih penting, kerajaan sedang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang memberi kerangka perundangan menyeluruh -- bukan hanya kebajikan, tetapi juga hak-hak sosial warga emas --  dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun depan (2026).

Langkah ke Hadapan untuk Malaysia

Malaysia memerlukan ruang sosial terbuka dan mesra untuk semua peringkat umur di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan. 

Konsepnya santai, tanpa label “pusat bantuan” supaya tiada stigma. Ia perlu dilengkapi kerusi selesa, sudut permainan papan, sudut bacaan, dan minuman asas percuma. 

Ruang ini boleh dihidupkan dengan program mikro harian seperti tayangan filem mingguan, sesi bercerita, kelas memasak ringkas, atau kelab permainan tradisional. Sesi “makan bersama” juga wajar diadakan untuk menggalakkan interaksi lintas generasi.

Latihan sukarelawan sebagai ‘Rakan Sunyi’ perlu digerakkan, merekrut NGO, pelajar IPT, dan persatuan belia sebagai fasilitator ringan. 

Platform digital “Jumpa di Sini” boleh dibangunkan untuk memadankan orang dengan aktiviti komuniti berdekatan. 

Pada masa yang sama, kempen kesedaran nasional melalui TV, radio, dan media sosial mesti mengangkat mesej bahawa mencari teman berbual bukan tanda kelemahan, tetapi tanda kekuatan untuk terus hidup dengan sihat.



Mengalahkan Kesepian Sebelum Terlambat

Kesepian bukan sekadar perasaan. Jika dibiarkan, ia boleh membawa kepada kemurungan, masalah kesihatan fizikal, dan bahkan kematian pramatang. 

Di Seoul, kebimbangan terhadap “kematian sunyi” mendorong tindakan segera.

Malaysia sudah mengambil langkah untuk membantu warga emas, tetapi generasi muda juga semakin terdedah kepada bahaya kesepian. 

Dalam hal ini, kita mungkin perlu mengaku bahawa warga emas sudah lama mengajar kita caranya: bercakap dengan orang di sebelah, berkongsi makanan, dan hadir secara fizikal dalam hidup orang lain.

Persoalannya, adakah kita sanggup belajar daripada mereka -- sebelum sunyi menjadi bahasa rasmi generasi muda? - KitaReporters


Mohamed Nasser Mohamed ialah Editor Perunding lebih 150 penerbitan sejak tahun 2008, selain aktif berpuisi dan menulis blog. Artikel ini adalah pandangan penulis.


11
8
0
5
0
You will be interested