Di sebalik hening suasana Muzium Matang dekat Taiping, Perak, berdiri megah di atas tapak Kota Ngah Ibrahim sejarah bangsa Melayu yang kembali bernafas bangga dan gagah.

Inilah buku Kota Ngah Ibrahim: Dalam Lipatan Sejarah.... Buku terbitan Jabatan Muzium Malaysia dijual dengan harga RM80 senaskhah pada Seminar Pengkisahan Perjuangan Tengku Menteri Ngah Ibrahim di Dewan Muzium Matang di Matang, dekat Taiping, Perak.
Batu-bata yang tersusun di dindingnya bukan sekadar peninggalan zaman, tetapi simbol ketamadunan Melayu yang pernah mendahului zaman kolonial.
Pada 1 November 2025, kira-kira 100 tokoh-tokoh akademik, sejarawan dan pemimpin berhimpun untuk memperingati perjuangan seorang bangsawan yang berjiwa reformis -- Tengku Menteri Ngah Ibrahim, sosok Melayu abad ke-19 yang berfikir jauh melangkaui sempadan zamannya.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Datuk Abdul Khalid menegaskan bahawa bangsa Melayu bukanlah masyarakat terbelakang sebelum kedatangan penjajah British.
Sebaliknya, mereka sudah memiliki sistem pentadbiran yang moden dan tersusun mengikut keperluan serta standard antarabangsa ketika itu.

“Kita bukan bangsa yang duduk bawah pokok atau di dalam gua. Kita sudah ada sistem tersendiri pada masa itu dan tokoh ini bukan sekadar pentadbir, tetapi juga seorang pemikir strategik yang memperkenal sistem pentadbiran moden di Larut, lengkap dengan pasukan keselamatan, mahkamah, pelabuhan antarabangsa dan sistem ekonomi tersusun sebelum kedatangan penjajah British,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Mengenang Perjuangan Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan Pelancaran Buku Kota Ngah Ibrahim: Dalam Lipatan Sejarah anjuran Persatuan Warisan Perak dan Muzium Matang di Muzium Matang, dekat Taiping pada 1 November 2025.
Menurut Mohammad Zahir, Ngah Ibrahim, merupakan reformis Melayu awal yang setanding dengan Raja Mongkut, Raja Chulalongkorn di Thailand serta Maharaja Meiji di Jepun.
"Seminar yang diadakan itu membawa makna istimewa iaitu memperingati dua detik bersejarah: 150 tahun pembunuhan Residen British pertama Perak, J.W.W. Birch (1875–2025) dan 130 tahun pemergian Ngah Ibrahim (1895–2025).

Mohammad Zahir Mohd Khalid (dua, kiri) melihat bunting selepas merasmikan Pelancaran Buku Kota Ngah Ibrahim: Dalam Lipatan Sejarah.
Di sebalik pembentangan akademik dan pelancaran buku “Kota Ngah Ibrahim: Dalam Lipatan Sejarah”, terselit rasa bangga yang sukar disembunyikan.
Setiap fakta yang dikongsi seolah-olah menghidupkan semula kehebatan seorang tokoh yang pernah menggoncang keangkuhan penjajah.
Ngah Ibrahim bukan tokoh biasa. Pentadbirannya moden dan berlandaskan undang-undang antarabangsa.
Mohammad Zahir berkata, beliau melantik peguam, membawa isu ke London dan menghormati diplomasi antara negara.
"Ini bukti kita bangsa yang berfikir dan bertindak secara teratur,” katanya.
Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri dan Persekutuan disaran menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengesan serta membawa pulang khazanah yang dirampas semasa penjajahan iaitu manuskrip, batu nisan, dan artifak warisan yang sarat nilai sejarah.
“Negara lain sudah menuntut semula harta warisan mereka. Kita juga perlu lakukan perkara yang sama,” katanya.
Tegasnya, usaha menggali semula sejarah bukan sekadar kerja akademik, tetapi usaha membina jati diri bangsa.
“Sejarah ialah maruah bangsa. Dengan bukti dan kajian lengkap, dunia akan tahu bahawa kita sudah maju sebelum penjajah datang.”
Mohamad Zahir mahukan agar sejarah ditulis semula -- berpaksikan dokumen dan bukti sahih yang kini semakin mudah diakses melalui arkib antarabangsa.
“Dulu banyak dokumen kita tersimpan di London, Hague, malah Rusia. Kini masa untuk kita gali semula dan betulkan naratif agar sejarah kita berdasarkan fakta, bukan persepsi,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zahir mahukan pengkaji dan penyelidik sejarah memperbanyak penganjuran program ilmiah, seminar serta kajian lapangan bagi memperkaya kefahaman masyarakat terhadap sejarah dan warisan negeri Perak.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan fakta sejarah dapat diteliti semula berdasarkan penemuan dokumen dan sumber baharu yang kini lebih mudah diakses oleh penyelidik.
“Penulisan semula sejarah wajar dilakukan bagi mendapatkan gambaran lebih tepat tentang peristiwa yang berlaku, bukan sekadar berdasarkan tafsiran atau pandangan peribadi.
“Dahulu bahan rujukan kita terhad, malah banyak dokumen penting berada di luar negara seperti di United Kingdom dan Belanda," jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, dengan adanya kemajuan teknologi, bahan-bahan ini boleh dirujuk oleh pengkaji.
Ngah Ibrahim adalah anak Long Jaafar iaitu pelopor perlombongan bijih timah di Larut. Beliau seorang pembesar negeri dan pentadbir yang berpandangan jauh, pemimpin yang berwibawa dan tokoh bangsa yang berani menentang penjajah. - KitaReporters